
Siti Nur Hanisah Omar Hashim, pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau mencipta sejarah apabila namanya tersenarai sebagai salah seorang daripada 50 finalis Global Student Prize 2025, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan pelajar terbaik dunia.
Remaja berusia 20 tahun ini terpilih daripada lebih 11,000 pencalonan di seluruh dunia atas pencapaian luar biasa, sumbangan bermakna, serta impaknya yang signifikan kepada komuniti pendidikan. Anugerah berprestij anjuran Varkey Foundation dan Chegg.org ini menawarkan hadiah utama berjumlah USD 100,000 (lebih RM400,000) kepada pemenang.
Lebih mengagumkan, Siti Nur Hanisah merupakan pengasas kepada Mearpet, sebuah perusahaan sosial inovatif yang mengubah pakaian dan patung terpakai menjadi boneka pendidikan. Boneka ini digunakan sebagai alat bantu mengajar untuk kanak-kanak di kawasan yang kurang mendapat akses kepada sumber pembelajaran berkualiti.
Selain itu, pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini yang juga dikenali sebagai pemimpin pelajar aktif yang sentiasa mencetuskan perubahan sosial positif. Melalui bengkel dan pertandingan anjurannya, rakan-rakannya turut menghasilkan projek bermakna seperti kelas bimbingan bahasa isyarat, kempen pengurangan sisa makanan, dan permainan pendidikan daripada bahan terbuang.
Dalam bidang akademik, beliau mengekalkan prestasi cemerlang dengan meraih anugerah pelajar terbaik setiap tahun serta pernah menjawat jawatan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.
Malah, beliau turut merintis kelas tutorial Malaysian University English Test (MUET) bagi membantu pelajar vokasional melanjutkan pelajaran dan terlibat dalam projek pembelajaran dalam talian rentas benua, Virtual, Remote, Live (VRL).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Sinar Bestari