“Dari Kecil Sentiasa Berdua” —Pasangan Kembar UIAM Ini Raih Master Bersama, Kongsi Momen Paling Bermakna

Share

Pasangan kembar seiras ini sekali lagi membuktikan bahawa perjalanan hidup mereka memang tak pernah terpisah. Ain Syafiqah Balqis dan Ain Syakirah Balqis Azman mencuri perhatian apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dan diraikan pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-41.

Berasal dari Terengganu dan merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik, kejayaan ini menjadi titik manis perjuangan mereka sejak awal pengajian lagi.

‘Ada Adik, Ada Kekuatan’

Bagi si kakak, Ain Syafiqah Balqis, kehadiran kembarnya di dalam kelas sentiasa menjadi sumber semangat yang tak pernah putus.

“Bila saya ada satu kelas dengan dia, rasa macam ada support system. Jadi kami lebih bersemangat walaupun ada cabaran.

“Kadang-kadang kami sama-sama rasa tak yakin atau tak faham tapi bila berbincang dan buat bersama, keyakinan itu muncul. Banyak tugasan kami siapkan berdua,” katanya.

Kata-kata itu cukup menggambarkan bagaimana perjalanan akademik mereka bukan sekadar tentang belajar, tetapi tentang menyokong satu sama lain tanpa henti.

Belajar Sama-Sama, Kuat Sama-Sama

Bagi Ain Syakirah pula, pengalaman menamatkan pengajian bersama kakaknya adalah nadi utama usaha mereka.

“Kami sentiasa saling membantu antara satu sama lain, kongsi nota dan bertukar pendapat.

“Apa saja yang salah seorang tak capai, kami usahakan sama-sama. Walaupun pencapaian akademik berbeza, kami seimbangkan dalam kelas. Ada masa saya kuat dalam satu topik, ada masa kakak pula,” kongsinya.

Sejak kecil hingga ke universiti, mereka memang tak pernah berpisah. Tiada persaingan, hanya saling melengkapi.

Hadiah Buat Ibu Ayah

Momen berada di pentas konvokesyen bersama-sama menjadi saat yang paling menyentuh hati buat mereka, lebih-lebih lagi sebagai tanda penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa mengiringi perjalanan mereka dengan doa dan sokongan.

Kini, setelah bergelar graduan sarjana, Ain Syafiqah dan Ain Syakirah telah melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya dan masing-masing sudah memulakan tugas dalam sektor perbankan terkemuka di ibu negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: FB IIUM

Published by
Fath