
Siapa sangka, seorang pelajar aliran Sastera yang hanya memperoleh 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mampu mengubah nasib dan muncul sebagai pelajar terbaik dalam bidang Kejuruteraan di sebuah universiti ternama di Amerika Syarikat?
Itulah kisah inspirasi Zul Hakim, anak muda luar biasa yang membuktikan bahawa keputusan peperiksaan bukanlah penentu mutlak masa depan. Semangat juang yang tinggi, minat yang mendalam serta kerja keras yang berterusan telah membuka jalan kejayaan buat dirinya.
Apa yang lebih mengagumkan, perjalanan beliau bukanlah bermula dari landasan yang mudah. Bermula sebagai pelajar aliran sastera dengan hanya 2A dalam SPM, semua permohonan beliau ke universiti awam ditolak.
Namun, beliau memilih untuk bangkit dan mencuba laluan TVET dengan menyambung pengajian Diploma di German-Malaysian Institute (GMI) dalam bidang Kejuruteraan Teknologi Mekatronik.
Ia merupakan satu bidang yang bukan sahaja teknikal, malah memerlukan penguasaan sains dan matematik yang tinggi.Pada tahun 2021, beliau berjaya menamatkan pengajian di GMI dengan keputusan cemerlang dan kemudiannya menerima tajaan MARA ke luar negara.
Berbekalkan cita-cita yang besar, beliau adalah memilih Purdue University yang merupakan antara universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan, sebagai tempat menimba ilmu dan mengembangkan bakat.
Sepanjang pengajian, beliau bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan akademik, malah terlibat aktif dalam pelbagai projek teknologi berimpak tinggi seperti pembangunan exoskeleton pintar dengan sensor daya dan sudut.
Beliau juga dipilih sebagai Teaching Assistant untuk kursus Lean Six Sigma dan diberi penghormatan mewakili universiti dalam Tech Expo Purdue bagi membentangkan hasil inovasi kepada pihak industri dan akademia.
Kejayaan beliau menamatkan pengajian lebih awal iaitu pada Spring 2025, berbanding jangkaan asal Fall 2025, serta dianugerahkan Golden Honor Cord iaitu merupakan lambang kecemerlangan akademik tertinggi.
Kesimpulannya, setiap orang mempunyai potensi dan jalan tersendiri. Kejayaan tidak datang dalam bentuk yang sama untuk semua orang. Apa yang penting ialah kesanggupan untuk mencabar diri, menerima kegagalan sebagai pelajaran, dan terus melangkah walaupun perlahan.
Jika Zul Hakim mampu melakukannya, anda juga mampu mencipta kisah kejayaan anda sendiri.
Sumber: Facebook MARA USA