
Terbaru, jaguh lari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencuri perhatian selepas mencipta sejarah apabila muncul sebagai salah seorang daripada sembilan pelari pecut terbaik dunia bawah 20 tahun, sekaligus melayakkan diri ke pentas final acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (U20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat.
Atlet yang kini berusia 19 tahun itu memastikan slot ke peringkat akhir selepas mencatatkan masa 10.36 saat dalam aksi separuh akhir, menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan meneruskan kemaraan dalam kejohanan berprestij tersebut.
Kejayaan bersejarah itu turut mendapat perhatian Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) yang menyifatkan pencapaian Danish sebagai satu lagi detik penting buat arena olahraga negara selepas beliau berjaya bersaing bersama barisan pelari muda terbaik dunia.
“Kejayaan ini menyaksikan Danish muncul sebagai salah seorang daripada sembilan pelari pecut terbaik dunia U20, sekaligus melakar satu lagi detik bersejarah buat olahraga Malaysia. Tahniah Danish, semoga berjaya memburu keputusan terbaik di pentas akhir,” tulis Olahraga Malaysia menerusi sebuah hantaran di Facebook.
Difahamkan, pencapaian tersebut melengkapkan perjalanan peningkatan prestasi Danish yang sebelum ini muncul sebagai antara prospek utama acara pecut negara selepas mencipta rekod peribadi 100m dengan catatan 10.18 saat pada Sukan SEA 2025.
Selain itu, atlet kelahiran Johor berkenaan turut mencipta nama apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 200m menerusi catatan masa 20.72 saat, membuktikan potensi besar untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
BACA: Muhammad Azeem & Danish Iftikhar Cipta Sejarah, Tawan Podium 100m Di Terbuka India
Danish yang juga merupakan anggota Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini mengambil keputusan memberi tumpuan kepada acara 100m di Kejohanan Dunia B-20 selepas turut layak beraksi dalam acara 200m.
Sebelum melangkah ke pentas dunia, Danish terlebih dahulu mempamerkan aksi konsisten apabila mara ke final 100m pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Hong Kong, selain merekodkan masa terbaik musim ini iaitu 10.38 saat pada peringkat separuh akhir.
Kini, tumpuan terarah kepada aksi final 100m yang dijadualkan berlangsung esok jam 11.50 pagi waktu Malaysia, dengan Danish bakal membawa harapan negara untuk mencipta satu lagi kejayaan membanggakan di pentas olahraga antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.