Berita

Selangor Umum Cuti Peristiwa Pada 25 Oktober Sempena 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin

Share

Rakyat Selangor bakal menikmati Hari Kelepasan Am Gantian pada Isnin, 26 Oktober 2026 susulan pengumuman cuti peristiwa Selangor sempena sambutan Jubli Perak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia susulan pengumuman 25 Oktober 2026 sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh Negeri Selangor sempena genap 25 tahun pemerintahan baginda.

Memandangkan 25 Oktober jatuh pada hari Ahad, hari berikutnya iaitu Isnin, 26 Oktober ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam sidang media di SUK.

Menurutnya, pengumuman cuti peristiwa Selangor berkenaan dibuat bagi membolehkan rakyat bersama-sama menyemarakkan sambutan bersejarah itu.

“Kerajaan negeri Selangor mengumumkan cuti peristiwa ini bagi menyemarakkan lagi keraian bersejarah ini bersama rakyat.

“Sebanyak 20 program dan majlis rasmi dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November 2026 sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda,” katanya.


20 Program Sempena Jubli Perak Sultan Selangor

Menurut Ahmad Fadzli, sebanyak 20 program dan majlis rasmi telah disusun sepanjang tempoh sambutan Jubli Perak berkenaan.

Kesemua program itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan.

“Semua program yang disusun ini sudah dipersembahkan kepada Tuanku merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan memastikan keseluruhan sambutan dilaksanakan secara sederhana dan berhemah.

Ahmad Fadzli berkata, perkara tersebut selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu sambutan berkenaan berlangsung tanpa sebarang pembaziran.

“Bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, kerajaan negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran,” katanya.

Cuti Peristiwa Selangor, Acara Kemuncak Berlangsung 25 Oktober

Acara kemuncak sambutan dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2026, bersempena genap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tarikh berkenaan turut menjadi tarikh cuti peristiwa Selangor yang diumumkan kerajaan negeri sempena sambutan Jubli Perak tersebut.

Menurut Ahmad Fadzli, acara tersebut melibatkan tiga istiadat utama termasuk Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan.

Turut diadakan ialah program kerohanian menerusi Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.

Selain itu, program Warisan & Dokumentasi Sejarah akan membabitkan Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta.

Sambutan Berakhir 1 November

Rangkaian sambutan Jubli Perak Sultan Selangor yang bermula pada 28 September itu akan melabuhkan tirainya pada 1 November 2026.

Majlis penutup akan berlangsung menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor.

Ia turut melibatkan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

Sambutan Jubli Perak berkenaan diadakan bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan pelbagai program dijadualkan berlangsung bersama rakyat sepanjang tempoh lebih sebulan.

Pengumuman cuti peristiwa Selangor pada 25 Oktober dan Hari Kelepasan Am Gantian pada 26 Oktober pula memberi ruang kepada rakyat negeri itu untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah pemerintahan Sultan Sharafuddin.

Sumber : Berita Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy