Berita

Cuaca Sejuk Luar Biasa, Beberapa Kawasan Di Malaysia Catat Suhu Serendah 18°C

Share

Fenomena suhu sejuk luar biasa yang dirasai di beberapa kawasan di Malaysia sejak beberapa hari lalu dikenal pasti berpunca daripada angin sejuk luruan monsun dari Tanah Besar China.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berdasarkan data yang direkodkan, suhu minimum di kebanyakan kawasan di seluruh negara didapati lebih rendah daripada kebiasaan.

Suhu Menurun Antara 3 Hingga 5 Darjah Celsius

Jelas beliau, penurunan suhu antara tiga hingga lima darjah Celsius telah berlaku pada 10 hingga 13 Januari lalu.

Keadaan sama dijangka akan berulang pada 19 hingga 21 Januari ini, bergantung kepada pola angin luruan yang berlaku.

Beberapa Kawasan Catat Suhu 18 Darjah Celsius

“Pagi tadi suhu sudah kembali normal. Bukan di Dungun, Terengganu sahaja tetapi banyak tempat seperti di kawasan pedalaman Dabong dan Gua Musang, masing-masing di Kelantan turut merekodkan suhu 18 darjah Celsius.

“Memang normal sekarang ini suhu di negara ini sejuk sedikit sebab anginnya yang datang dari kawasan sejuk,” katanya kepada pemberita.

Berlaku Pada Waktu Awal Pagi, Orang Ramai Tidak Perlu Bimbang

Tambah Mohd Hisham, suhu rendah tersebut kebanyakannya berlaku pada awal pagi dan orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan berkenaan.

Penduduk Dungun Terpaksa Pakai Jaket Tebal

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati penduduk di daerah Dungun, khususnya di kawasan luar bandar, mula merasai suhu yang agak luar biasa sejak Ahad lalu.

Suhu sejuk antara 18 hingga 20 darjah Celsius itu menyebabkan sebahagian penduduk terpaksa mengenakan jaket tebal ketika keluar pada waktu pagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Bernama

Published by
Fath