
Fenomena El Nino yang diramal berterusan sehingga Mei bukan setakat mengakibatkan gangguan bekalan air dan memberi kesan kepada industri penanaman.
Malah, fenomena yang menyebabkan suhu harian di kebanyakan tempat melebihi 35 darjah Celsius itu juga secara tidak langsung memberi kesan terhadap kesihatan manusia, terutama mudah mendapat strok haba.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook miliknya memaklumkan, terdapat beberapa tanda boleh dikesan sekiranya diserang strok haba antaranya muka merah, sakit kepala, tangan sejuk, pening dan muntah.
Tulisnya, tanda-tanda berkenaan perlu dicegah berikutan ia boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa seseorang.

Selain itu, PHM turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa terhidrat, elak tinggal anak di kenderaan, berpakaian terang, ringan dan longgar, bermain di tempat teduh dan kekal di rumah.
Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa terhidrat dengan minum air dengan secukupnya bagi mengelakkan situasi tersebut berlaku.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Facebook Public Health Malaysia
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Syahadah Hafazan 30 Juzuk Dalam 18 Jam, Kisah Luar Biasa Pelajar Tahfiz

Syahadah Hafazan 30 Juzuk Dalam Tempoh 18 Jam
Seorang pelajar tahfiz dari Kelantan mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya menamatkan ujian syahadah hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya 18 jam tanpa sebarang kesalahan. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan institusi pendidikan, malah menyentuh hati ramai ibu bapa yang mengimpikan anak-anak membesar sebagai generasi al-Quran.

Menurut laporan Sinar Harian, pelajar berkenaan, Ahmad Fikri Abdul Hisyam, 16, dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Pengkalan Chepa, menerima pengiktirafan pangkat mumtaz selepas berjaya memperdengarkan keseluruhan hafazannya dalam masa sehari sahaja.
Bermula Subuh Hingga Malam
Anak ketiga daripada lima beradik yang berasal dari Limau Kasturi, Gua Musang itu memulakan bacaan seawal jam 5.30 pagi dan menamatkannya sekitar jam 11 malam pada Ahad lalu. Sepanjang tempoh tersebut, Ahmad Fikri hanya berhenti rehat untuk makan serta menunaikan solat, tanpa menunjukkan keletihan yang ketara.
Lebih mengagumkan, bacaan tersebut diperdengarkan di hadapan enam panel pentashih yang terdiri daripada guru-guru tahfiz berpengalaman. Ini sekali gus membuktikan ketepatan hafazan, kelancaran bacaan serta disiplin tinggi yang dimiliki Ahmad Fikri sepanjang proses syahadah hafazan 30 juzuk tersebut.
Kebiasaan Ambil Masa Tiga Hari
Pengetua MTM, Najmuddin Abdullah menyifatkan pencapaian Ahmad Fikri sebagai sesuatu yang sangat luar biasa memandangkan kebiasaannya pelajar tahfiz memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk menamatkan syahadah penuh 30 juzuk al-Quran.
“Kalau ikut kebiasaan, pelajar akan memperdengarkan sekitar 10 juzuk sehari, tetapi Ahmad Fikri hanya mengambil masa 18 jam dalam satu hari.
“Perkara ini dilakukan atas permintaan dia sendiri dan bukan disebabkan paksaan atau tekanan daripada pihak sekolah,” jelasnya.
Cipta Sejarah Di MTM
Menurut Najmuddin, kejayaan tersebut turut mencipta sejarah tersendiri di MTM sejak aliran tahfiz diperkenalkan pada tahun 2010, walaupun sekolah berkenaan telah beroperasi selama 73 tahun.

Sepanjang 15 tahun pelaksanaan aliran tahfiz, belum pernah ada pelajar yang menamatkan hafazan 30 juzuk secara penuh. Malah, kebanyakan pelajar sebelum ini hanya mampu menghafal sehingga 15 juzuk al-Quran mengikut sukatan ditetapkan.
Ini kerana MTM bukan sebuah maahad tahfiz sepenuhnya, sebaliknya hanya membuka satu kelas aliran tahfiz hasil inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ketika itu bagi memberi peluang kepada pelajar yang berminat mendalami al-Quran.
Hafaz 30 Juzuk Seawal Tingkatan Tiga
Mengikut sukatan ditetapkan, pelajar hanya diwajibkan menghafal tiga juzuk setahun bermula dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, iaitu sekitar 15 juzuk secara keseluruhan.
Namun Ahmad Fikri membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk ketika berada di Tingkatan Tiga. Beliau seterusnya mengambil cabaran untuk melengkapkan syahadah hafazan 30 juzuk penuh ketika di Tingkatan Empat.
Didikan Rumah Jadi Asas Kekuatan
Lebih menyentuh hati, Ahmad Fikri merupakan anak kepada pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
Didikan sejak kecil yang menitikberatkan hubungan dengan al-Quran, disiplin diri serta sokongan ibu bapa dipercayai menjadi faktor utama kejayaan ini. Suasana rumah yang kondusif dan konsisten dengan amalan ilmu menjadikan proses hafazan bukan satu beban, tetapi satu kecintaan.
Inspirasi Buat Mama dan Papa
Sebagai menghargai pencapaian tersebut, pihak sekolah merancang untuk mengadakan satu majlis khas bagi meraikan Ahmad Fikri pada tahun hadapan sempena pembukaan sesi persekolahan baharu.
Kisah ini menjadi bukti bahawa dengan sokongan ibu bapa, suasana rumah yang kondusif serta kepercayaan kepada kemampuan anak, lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga kuat rohaninya.
Sesungguhnya, kejayaan Ahmad Fikri dalam menamatkan syahadah hafazan 30 juzuk ini menjadi inspirasi besar buat semua mama dan papa bahawa usaha mendidik anak dengan al-Quran tidak pernah sia-sia.
BACA LAGI : Khatam Al-Quran Atas Puncak, 34 Pelajar Tahfiz Al-Muhammadi Takluk Gunung Stong
Sumber : Sinar Harian
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dari Sekolah Kampung Ke Kokpit, Guru Ini Bina Simulator Demi Impian Murid Terbang Tinggi

Bagi murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Nangka, Terengganu, langit bukan sekadar pemandangan indah tetapi destinasi impian.
Semuanya bermula apabila Syed Hasan Syukri Tuan Hadi, 48, berpindah ke sekolah itu pada tahun 2014 dan berkongsi minatnya dalam dunia penerbangan bersama murid-murid.

Setahun kemudian, beliau menubuhkan Kelab Aeronautik bagi memberi pendedahan awal tentang bidang tersebut.
“Saya tidak didedahkan kepada dunia penerbangan ketika kecil. Siapa tahu, mungkin saya sudah menjadi juruterbang,” lapor sebuah media tempatan.
Lebih mengagumkan, guru Bahasa Inggeris itu membina sendiri simulator pesawat menggunakan bahan terpakai seperti kerusi kereta dan komputer lama dengan kos sekitar RM5,000 hasil wang sendiri dan sumbangan rakan.

Melihat keterujaan murid, beliau membangunkan pula simulator kedua pada 2022 yang dinamakan ‘GoSim22’ dengan kos lebih rendah dan reka bentuk mudah alih.
Simulator tersebut memberi peluang kepada ahli kelab yang digelar “kadet” bagi merasai pengalaman mengemudi pesawat secara maya di bawah pengawasan guru.
Kelab ini turut memperkenalkan modul asas penerbangan seperti Sejarah Penerbangan, Teori Penerbangan, Sistem Pesawat dan Meteorologi yang dipermudahkan mengikut tahap murid sekolah rendah.
Selepas menamatkan modul, mereka perlu lulus Ujian Simulator dengan mematuhi prosedur operasi penerbangan.
Selain latihan di sekolah, murid juga didedahkan dengan lawatan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud serta lokasi berkaitan industri penerbangan lain bagi membuka perspektif tentang pelbagai kerjaya dalam bidang tersebut.

Sepanjang 11 tahun, seramai 90 murid telah menyertai kelab ini. Pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian akademik dan disiplin, menjadikan keahlian satu motivasi untuk pelajar terus cemerlang.
Menurutnya, beliau berharap pendedahan awal ini mampu mengubah masa depan murid yang kebanyakannya berasal daripada keluarga kampung dan B40.
Dari sudut kecil pusat sumber sekolah, impian untuk terbang tinggi kini bukan lagi angan-angan, tetapi langkah pertama menuju masa depan yang lebih cerah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mahu Ajar Anak Hidup Susah, Faktor Ibu Bapa Golongan T20 Hantar Anak Ke MRSM

Ibu bapa golongan berpendapatan tinggi (T20) sanggup menghantar anak masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk mengajar tentang kesukaran hidup.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak Sulung Terima Anugerah Sijil Penghormatan Pengetua MRSM, Rita Rudaini Luah Rasa Syukur

Presiden Anak Sains Mara (ANSARA) Malaysia, Mohd Fadzil Yusof, berkata institusi pendidikan itu dilihat sebagai tempat sesuai bagi anak mereka bergaul dengan pelajar lain daripada pelbagai latar belakang.
“Di sekolah swasta, kos pembelajaran sampai RM3,000 sebulan.
“Kalau mereka (ibu bapa T20) mampu untuk hantar anak ke sekolah swasta, kenapa mahu berebut masukkan ke MRSM?

“Saya tertanya-tanya kenapa golongan (T20) itu nak hantar anak-anak ke MRSM, dan jawapan yang diterima mengejutkan saya iaitu nak ajar anak untuk hidup susah.
“MRSM kononnya menjadi tempat terbaik untuk anak mereka berkawan dengan golongan B40,” katanya dalam Wacana Sinar edisi 426 bertajuk ‘MRSM untuk B40 sahaja?’ pada Selasa.

Program dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Sementara itu, Mohd Fadzil turut mencadangkan golongan T20 membayar kos pembelajaran di MRSM berbanding menubuhkan sekolah swasta di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Katanya, banyak proses yang perlu dilalui sekiranya ingin memulakan perniagaan dan kemungkinan sekolah swasta tersebut tidak dinamakan MRSM.
“Kita ada had dan kekangan tertentu yang membataskan corak perniagaan yang macam mana.
“Kita boleh melaksanakan kemasukan berbayar, berbeza dengan sekolah berbayar,” ujarnya
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT ARTIKEL/GAMBAR: BH, Sinar Harian
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

