Berita

Cristiano Ronaldo Tambah Koleksi Rekod, Jadi Pemain Pertama Jaring Gol Dalam Enam Edisi Piala Dunia

Share

Bintang bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam enam edisi berbeza Piala Dunia FIFA, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai antara legenda terbesar dalam sukan bola sepak dunia.

Memetik laporan Olympics, pemain berusia 41 tahun itu melakar pencapaian bersejarah tersebut ketika membantu Portugal menewaskan Uzbekistan dalam aksi Kumpulan K. Ronaldo membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi penyudah kemas hasil hantaran João Cancelo.

Dalam pada itu, jaringan berkenaan menyaksikan kapten Portugal itu terus memperbaharui rekod peribadinya di pentas antarabangsa. Ia juga merupakan gol kesembilan

penyerang Portugal berkenaan dalam sejarah penampilan di Piala Dunia sejak membuat debut kejohanan tersebut pada tahun 2006.

 

 

Tidak terhenti di situ, Ronaldo sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada separuh masa pertama selepas memanfaatkan serangan balas pantas yang dimulakan Bruno Fernandes. Hantaran tepat ke ruang kosong berjaya disudahkan dengan tenang untuk gol kedua peribadinya dalam perlawanan tersebut.

Lebih manis, jaringan itu turut membolehkan Ronaldo mengatasi rekod legenda Portugal, Eusébio, sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak negaranya dalam sejarah Piala Dunia. Sorakan ikonik “Siu!” yang menjadi identitinya turut bergema di stadium apabila penyokong bersama-sama meraikan detik bersejarah itu.

BACA: Cristiano Ronaldo Jadi Pemain Bola Sepak Pertama Bergelar Bilionair

Walaupun masih ketinggalan di belakang Lionel Messi dari segi jumlah jaringan keseluruhan dalam kejohanan tersebut, pencapaian Ronaldo membuktikan pengaruh dan konsistensinya di pentas tertinggi bola sepak dunia selama lebih dua dekad.

Selepas tamat perlawanan, Ronaldo meluahkan rasa gembiranya terhadap prestasi pasukan sambil menegaskan bahawa kejayaan Portugal lebih penting berbanding pencapaian individu. 

“Saya sangat gembira. Tetapi bagi saya, perkara yang paling penting ialah usaha yang kami tunjukkan dan keyakinan yang ada dalam pasukan. Kami bermain dengan sangat baik dan menunjukkan banyak peningkatan,” katanya.

Pada masa yang sama, pemenang lima kali Ballon d’Or itu masih menyimpan misi besar untuk menjuarai Piala Dunia buat kali pertama dalam kariernya. Meskipun terus memecahkan pelbagai rekod individu, Ronaldo dilihat lebih mengutamakan kejayaan Portugal serta hasrat membawa pasukan itu mencapai objektif yang ditetapkan dalam kejohanan berprestij tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE