Berita

Cinta & Ilmu Seiring! Pasangan Muda Ini Tamatkan Pengajian Bersama Dengan Cemerlang, Raih Anugerah Kelas Pertama!

Share

Siapa kata cinta hanya tentang rasa? Bagi pasangan muda dari Jerteh, Terengganu, Wan Nur Fitria Wan Ismail, 27, dan Muhammad Amirul Azim Mahusin, 26, cinta mereka terbukti jadi sumber kekuatan hingga berjaya menamatkan pengajian Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPP) bersama di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Bagi Wan Nur Fitria, yang kini bertugas sebagai guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Bukit Kenak, Besut, keputusan menyambung pelajaran dibuat untuk menambah ilmu serta memperkukuh kemahiran dalam dunia pendidikan.

“Saya mahu jadi guru yang lebih berilmu dan berkesan dalam mendidik pelajar. Tak sangka pula suami turut sama menyambung DPP untuk beri sokongan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Gong Badak.

Apa yang menarik, Muhammad Amirul Azim yang sebelum ini merupakan graduan Kejuruteraan Aeroangkasa dari UIAM, pada awalnya hanya ingin menemani isterinya belajar. Tapi, siapa sangka… niat menemani bertukar jadi minat mendalam terhadap dunia pendidikan!

“Awalnya saya cuma nak teman isteri, tapi bila belajar, saya sedar bidang ini sebenarnya dekat dengan hati saya. Lagipun, ibu bapa saya sendiri guru, jadi mereka sangat menyokong keputusan ini,” jelasnya.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2023 ini mengakui pengalaman belajar sekelas memberi banyak kelebihan, dari ulang kaji bersama, saling memberi semangat ketika tugasan mencabar, hinggalah menjadi teman seperjuangan setiap kali rasa letih melanda.

Walaupun bidang pengkhususan berbeza iaitu Pendidikan Islam bagi Wan Nur Fitria dan Matematikbagi Amirul Azim, namun sekitar

80 peratus subjek yang sama membuatkan proses pembelajaran mereka lebih mudah dan menyeronokkan.

“Kami belajar satu meja, siapkan tugasan sama-sama. Kadang-kadang kelas dalam talian pun ikut bersama. Sokongan moral tu sangat penting, terutamanya bila rasa penat,” kata Amirul Azim.

Tak cukup dengan itu, mereka turut berkorban masa dan tenaga, berulang-alik dari Jerteh ke Kuala Nerus seawal jam 5 pagi, dan kadangkala bermalam berhampiran kampus demi tidak terlepas kuliah.

Semua pengorbanan itu akhirnya berbaloi apabila kedua-duanya menamatkan pengajian dengan

keputusan cemerlang serta menerima Anugerah Kelas Pertama.

“Ini pengalaman yang tak ternilai. Kami bersyukur dapat menempuh perjalanan ini bersama. Insya-Allah, lepas ini kami mahu terus berbakti sebagai pendidik sepenuh masa,” ujar mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. SUMBER: Metro & FB UniSZA

Published by
Fath