Di media sosial, kita sering disajikan dengan pelbagai kisah menyentuh hati. Namun, ada cerita yang kekuatannya terletak pada perkara kecil, spontan dan tidak dibuat-buat.
Video yang dikongsi oleh seorang guru bernama Cikgu Akram menerusi akaun Threads @i_Akram adalah antara kisah yang memberi kesan mendalam tanpa perlu drama berlebihan.
Kisah ini berlaku ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung. Seperti biasa, suasana kelas berjalan normal sehinggalah Cikgu Akram menegur seorang muridnya bernama Sufi.
Teguran itu bukan berkaitan disiplin atau pelajaran, tetapi sesuatu yang lebih asas keadaan kasut sekolah murid tersebut.
“Jom, Kita Pergi Ambil Kasut”
Selepas menyedari keadaan kasut Sufi, Cikgu Akram tidak berhenti sekadar bertanya. Dengan nada bersahaja, dia membuat satu keputusan yang ringkas tetapi bermakna. Dia mengajak Sufi untuk mengikutnya ke kereta.
Dari dalam keretanya sendiri, Cikgu Akram mengeluarkan sepasang kasut Adidas berwarna hitam dan meminta Sufi mencubanya.
Jika kasut itu muat dan selesa, Sufi boleh terus memakainya ke sekolah. Jika tidak, Cikgu Akram berjanji akan membantu mendapatkan kasut sekolah lain, walaupun bukan daripada jenama yang sama.
Bukan Kasut Lebihan, Tetapi Kasut Kesayangan
Apa yang menjadikan kisah ini lebih menyentuh perasaan ialah hakikat bahawa kasut tersebut bukan kasut lama atau lebihan.
Ia adalah kasut yang Cikgu Akram sendiri pakai, malah diakui sebagai kasut kesayangannya.
Dalam perbualan ringkas itu, dia berpesan supaya kasut tersebut dipakai dan dijaga dengan baik kerana ia sesuatu yang bermakna buat dirinya.
Pesanan itu kedengaran sederhana, namun cukup untuk menunjukkan bahawa pemberian tersebut dibuat dengan penuh keikhlasan.
Memberi sesuatu yang tidak lagi diperlukan mungkin mudah, tetapi menyerahkan sesuatu yang masih digunakan dan disayangi memerlukan empati yang lebih mendalam.
Di situlah nilai sebenar tindakan Cikgu Akram terserlah bukan pada jenama Adidas atau harga kasut, tetapi pada keikhlasan di sebaliknya.
Seorang Murid Dengan Latar Kehidupan Yang Sukar

Sufi bukanlah murid yang hidup dalam keadaan serba selesa. Ibunya telah meninggal dunia, manakala ayahnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan yang terhad.
Mereka adik-beradik ramai dan kini tinggal bersama Tok Wan, yang menjadi tempat bergantung dalam kehidupan seharian.
Dalam keadaan hidup yang mencabar ini, banyak keperluan asas menjadi sesuatu yang sukar untuk dipenuhi. Namun begitu, Sufi dan adik-beradiknya tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk berputus asa.
Bola sepak menjadi ruang buat mereka menyalurkan minat dan bakat. Mereka bertiga dikenali sebagai murid yang pandai bermain bola dan sering dipilih untuk mewakili sekolah.
Melalui aktiviti sukan inilah Cikgu Akram mengenali mereka dengan lebih dekat, bukan sekadar sebagai pelajar di dalam kelas, tetapi sebagai kanak-kanak yang berusaha keras walaupun hidup serba kekurangan.
Tiada reaksi berlebihan. Tiada kata-kata simpati yang panjang. Cikgu Akram hanya meneruskan perbualan seperti biasa, seolah-olah mahu memastikan murid tersebut tidak merasa dirinya berbeza atau dipandang rendah.
Di situlah terserlah peranan seorang guru yang memahami keperluan emosi seorang anak.
Kadangkala, sokongan terbaik bukan datang dalam bentuk nasihat atau pujukan, tetapi melalui layanan yang normal, tenang dan penuh hormat.
Anda mungkin berminat dengan
Tindakan kecil ini menunjukkan bahawa mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga memanusiakan.
Kisah ini bukan tentang sepasang kasut Adidas semata-mata. Ia adalah tentang keprihatinan seorang pendidik yang memilih untuk melihat muridnya sebagai manusia dengan cerita hidup sendiri.
Apa yang dilakukan oleh Cikgu Akram mungkin kelihatan kecil pada pandangan sesetengah orang.
Namun bagi seorang murid seperti Sufi, tindakan itu membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar kasut sekolah.
Sumber : Threads i_akram
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bintang bola sepak terkenal dari Brazil, Neymar Jr., sekali lagi mencuri perhatian apabila membeli sebuah kereta mewah yang diinspirasikan daripada filem adiwira Batman pada harga AS$1.5 juta (RM6.3 juta), lapor portal berita VNExpress.
Kereta berkenaan merupakan Batmobile Tumbler, iaitu replika ikonik yang menyerupai kenderaan milik Batman dalam trilogi filem The Dark Knight arahan pengarah tersohor Christopher Nolan. Model ini bukan kereta mainan atau paparan pameran semata-mata, tetapi adalah sebuah jentera berkuasa tinggi yang boleh dipandu di jalan raya sebenar.
Hanya 10 Unit Di Dunia

Apa yang menjadikan pembelian ini begitu istimewa ialah Batmobile Tumbler ini adalah satu daripada hanya 10 unit yang dibina oleh studio Warner Bros sempena ulang tahun ke – 85 watak Batman. Ia juga direka khusus dengan dimensi yang mengagumkan sepanjang 4.65 meter dan selebar 2.8 meter, menjadikannya benar-benar menonjol di jalanan.
Lebih mengujakan, kereta ini dilengkapi dengan enjin V8 berkapasiti 6.2 liter yang mampu menghasilkan sehingga 525 kuasa kuda. Ia bukan sekadar simbolik kepada dunia adiwira, malah berfungsi sebagai kenderaan berprestasi tinggi yang seiring dengan gaya hidup mewah Neymar.
Pemilik Setia Dunia Batman
Neymar bukanlah peminat biasa apabila menyentuh soal Batman. Menurut laporan, beliau tidak pernah terlepas menyaksikan setiap tayangan filem adiwira tersebut, menjadikannya salah seorang peminat tegar watak ikonik berkenaan.

Pembelian kereta ini jelas membuktikan sejauh mana minat mendalam beliau terhadap dunia Batman menjadikan fantasi zaman kecil satu realiti melalui kuasa dan kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Gaya Hidup Mewah Seorang Ikon Sukan
Selain kereta adiwira ini, Neymar turut memiliki gaya hidup serba mewah yang mencerminkan statusnya sebagai antara atlet paling terkenal dan berpendapatan tinggi di dunia. Beliau mempunyai penthouse di Dubai bernilai AS$50 juta (RM211 juta), beberapa hartanah di Miami, serta sebuah pulau persendirian di Brazil.
Kisah Neymar ini bukan hanya tentang kemewahan semata-mata, tetapi juga bagaimana seseorang boleh mengejar minat dan menjadikannya kenyataan apabila berusaha dan berjaya dalam bidang yang diceburi.
BACA LAGI : Lamine Yamal Buat ‘Homework’ Di Euro 2024, Bintang Bola Sepak Sepanyol Usia 16 Tahun
Sumber
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Aktres dan usahawan jelita, Anzalna Nasir berkongsi pengalaman peribadi yang cukup menyentuh hati apabila mengakui sering terjaga di tengah malam untuk menunaikan solat Tahajjud tanpa bantuan jam loceng.
Menurut bekas peserta Dewi Remaja itu, perkara berkenaan bukan satu kebetulan sebaliknya tanda kasih sayang Allah SWT yang memanggilnya untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

“Saya jauh daripada sempurna. Tapi entah bagaimana, Allah selalu bangunkan saya untuk solat Tahajud tanpa jam loceng. Itu bukan kebetulan, tapi jemputan daripada-Nya untuk saya bercakap dengan Dia.
“Hati saya rasa sebak dengan rasa syukur. Walaupun saya banyak kekurangan, Dia tetap mengizinkan saya hadir di hadapan-Nya pada saat paling sunyi di malam hari.
“Besarnya rahmat dan kash sayang daripada Yang Maha Pengasih,” tulisnya panjang di media sosial.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai pengikut yang turut meluahkan rasa kagum serta mendoakan agar Anzalna terus kekal istiqamah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bukan sedikit jumlah stok yang terjual, 25,000 unit weh!
Satu mesej yang jelas untuk kesemua para usahawan yang sedang membangunkan perniagaan masing-masing, teruskan berusaha dengan gigih dan kreatif. Nescaya, tiada impian yang mustahil untuk direalisasikan.
Begitulah yang dibuktikan oleh cef selebriti dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming bersempena kempen 11.11 yang hangat berlangsung pada minggu ini.

Sekali lagi, Khairul Aming menerusi produk jualan popularnya ‘Sambal Nyet’ terus menyengat apabila kesemua 25,000 unit habis terjual sebelum jam 12 tengah malam lagi!
Produk Sambal Nyet memang tak perlu dibilang lagi popularitinya, setiap kali jualan dibukan tentunya ia akan menjadi rebutan ramai.
ARTIKEL BERKAITAN : Setahun Setengah Berniaga, Khairul Aming Buka Kilang Kedua. Jualan Sambal Cecah RM14 Juta – REMAJA
Hasil sokongan orang ramai menerusi platform Shopee inilah yang membuatkan Khairul Aming terharu dan bersemangatt untuk menyiapkan proses pengeposan pada hari ini (Ahad).
“25,000 botol Sambal Nyet sold out hari ini bersempena dengan 11.11. Terima kasih guyss,” catatnya. Hasil jualan itu juga membawa keuntungan bernilai RM375,779.58 dalam masa seharian sahaja.
Ternyata, di mana ada kemahuan di situlah ada jalan. Syabas diucapkan kepada Khairul Aming dan pasukannya yang berjaya mengembangkan perniagaan secara konsisten seterusnya menjadi inspirasi kepada orang ramai yang setia mengikut perjalanan perniagaan serta kata-kata motivasinya.
Siapa sangka daripada latar belakangnya sebagai seorang jurutera bidang minyak dan galian, Khairul Aming berjaya membuka lembaran 180 darjah dalam bidang perniagaan serta masakan pula.
BACA LAGI : Banyak Kali Gagal Sebelum Berjaya Buka 2 Kilang, Khairul Aming ‘Throwback’ Realiti Jatuh Bangun – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞