Berita

Cik Afzaa Fadini Dikurniakan Gelaran Datin Paduka Seri Setelah Istiadat Pernikahan Diraja

Share

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.

Istiadat kurniaan ini berlangsung setelah beliau sempurna diijabkabulkan dengan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Dalam kenyataan rasmi oleh akaun Selangor Royal Office, ia memaklumkan bahawa gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.

Menerusi kenyataan rasmi ini juga, rakyat telah melihat busana yang digayakan oleh Datin Paduka Seri Afzaa Fadini hari ini rekaan Adila Long.

FOTO: Instagram // Selangor Royal Office

Terdahulu seawal jam 7 pagi hari ini, rakyat Selangor terutamanya mula membanjiri pekarangan bagi menyaksikan perarakan sempena istiadat pernikahan Diraja.

Setelah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah diarak menaiki kenderaan Rolls Royce sejauh 1.2 kilometer, Istiadat Pernikahan Diraja telah disempurnakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang yang diketuai oleh Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir.

BACA: 11 Das Tembakan Meriam Simbolik Sempurnanya Istiadat Pernikahan Diraja RMS – Cik Afzaa Fadini

Tidak lama lagi, istiadat persandingan diraja dan majlis santapan diraja bagi memuliakan perkahwinan Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober depan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ