
Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, kerjaya sebagai pencipta kandungan atau content creator kini bukan lagi sekadar hobi semata-mata. Malah, ramai anak muda berjaya menjadikan media sosial sebagai platform untuk menjana pendapatan dan membina kerjaya yang stabil.
Menyedari potensi besar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Dato’ Abd Rahman Soltan komited untuk melahirkan lebih ramai pencipta kandungan yang bukan sahaja popular, malah mempunyai hala tuju serta masa depan yang lebih terjamin.
Menurut Abd Rahman, fokus utama yang sedang diberi perhatian tahun ini adalah membimbing lebih ramai influencer dan content creator agar mampu menjadikan pengaruh mereka sebagai sumber pendapatan yang konsisten.
Katanya, melalui program IPP, generasi muda dapat mempelajari cara terbaik untuk memanfaatkan platform digital dalam membina kehidupan yang lebih stabil.
“Tahun ini antara fokus utama kami adalah untuk membentuk lebih ramai influencer dan content creator yang bukan sekadar mengejar populariti, tetapi mampu menjadikan platform mereka sebagai sumber pendapatan dan masa depan yang lebih baik.
“Melalui program IPP, kita mahu membantu generasi muda memahami bagaimana mereka boleh menggunakan pengaruh yang ada untuk menambah pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil,” katanya.
Beliau ditemui ketika majlis sambutan hari lahir yang menghimpunkan hampir 100 pempengaruh baru-baru ini.
Menariknya, sambutan ulang tahun kelahiran tersebut diinspirasikan daripada legenda muzik dunia, Michael Jackson.
Menurut Abd Rahman, pemilihan tema itu dibuat kerana beliau melihat Michael Jackson sebagai simbol legasi yang terus hidup walaupun selepas pemergiannya.
“Walaupun sudah lama tiada, generasi muda masih mengenali lagu dan karya beliau. Itu menunjukkan bahawa hasil kerja yang memberi impak akan terus hidup merentas generasi,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, minat generasi muda terhadap figura legenda seperti Michael Jackson juga boleh membuka lebih banyak peluang untuk pembangunan kandungan kreatif yang dekat dengan citarasa masa kini.
Abd Rahman turut menjelaskan bahawa platform yang dibangunkan bukan hanya memberi ruang kepada pencipta kandungan, malah membantu penyanyi, pelakon serta usahawan muda mengembangkan potensi mereka.
Menurutnya, ramai anak muda hari ini memulakan perjalanan mereka melalui media sosial sebelum berkembang ke bidang lain yang lebih besar.
“Populariti yang diperoleh boleh dijadikan asas untuk membina perniagaan sendiri, menghasilkan jenama produk, melakukan ulasan secara profesional atau membuka peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan beberapa bakat yang pernah dibimbing, Abd Rahman menyifatkan perkembangan pempengaruh seperti Imranul Effendy dan Harissa Adlynn sebagai bukti bahawa platform digital mampu mengubah kehidupan seseorang.
Katanya, terdapat ramai individu yang bermula sebagai content creator sebelum berjaya menembusi industri lakonan dan perfileman.
“Kalau ditanya sama ada saya bangga, itu memang sebahagian daripada misi dan visi yang kami bawa sejak awal.
“Kita sudah melihat sendiri bagaimana ada yang bermula sebagai content creator dan akhirnya berjaya melangkah ke bidang lebih besar termasuk lakonan dan filem,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abd Rahman turut mendedahkan pihaknya kini sedang merancang pembangunan beberapa projek mini siri dan filem yang akan mengetengahkan bakat-bakat influencer tempatan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk berkembang sebagai pelakon dan bakat kreatif dalam industri hiburan.
“Kami mahu menghasilkan lebih banyak projek yang membuka ruang kepada influencer untuk berkembang sebagai pelakon dan bakat kreatif.
“Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan sekadar dikenali di media sosial tetapi mampu mencipta kerjaya yang lebih besar dalam industri,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.