Figura hebat seorang ini tidak asing lagi dalam arena sukan tanah air, malah antarabangsa…
Dirinya ditakdirkan menjadi salah seorang pelumba basikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sentiasa komited dan bersemangat sebagai seorang atlet.
Tapi ada yang menariknya ada pada figura yang diberi gelaran ‘The Terminator Shah’ ini, bukan sahaja hebat dalam arena sukan berbasikal, malah Muhammad Shah juga mempunyai bakat terpendam dalam bidang muzik.
Siapa sangka, pelumba ini mahir bermain gitar tau! Bukan itu sahaja, malah Muhammad Shah turut mempunyai lontaran suara yang sedap didengar halwa telinga.
Menurutnya, beliau menyifatkan dirinya mewarisi bakat bapa saudaranya, iaitu Rain yang merupakan seorang ahli kumpulan muzik Rajawali, sebuah kumpulan pemuzik terkenal pada era 90-an.
Bukan sekadar minat ‘suka-suka’, beliau juga mempunyai studio di rumahnya dan sering menjadikan aktiviti bermain gitar dan menyanyi untuk mengisi masa lapang dan tekanan.
“Selalu di rumah saya akan bermain gitar, rumah di kampung saya memang ada studio, saya selalu luangkan masa bersama ayah dan bapa saudara untuk jamming, selalu mainkan lagu rock.
“Saya mula main muzik sejak kecil dengan bapa saudara sebab dia memang pemuzik, ayah saya juga ada band masa muda-muda, mungkin darah ahli muzik mengalir di badan saya sebab itu saya minat,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba berusia 27 tahun itu berkata selain bermain gitar, beliau akan sentiasa meluangkan masa mengayuh basikal yang dianggap sebagai terapi ketika sedih dan menghadapi sebarang tekanan.
“Luar daripada trek saya tetap akan kayuh basikal, gembira atau sedih saya akan luangkan masa untuk kayuh, sebab dengan berbasikal memang buat saya rasa lega, kadang-kadang saya akan ke tasik, sungai atau kedai kopi sendirian mengayuh basikal,” katanya.
Untuk rekod, Muhammad Shah pernah meraih pingat perak di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dalam acara pecut berpasukan.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Penggunaan ayat atau perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah kini semakin berleluasa dan menjadi perbualan santai dalam kalangan remaja.
Mereka tidak lekang menggunakan perkataan “bodoh” dan melemparkan kata-kata kurang sopan antara satu sama lain, seolah-olah penggunaan bahasa kesat bukan lagi perkara luar biasa atau dianggap memalukan walaupun diucapkan dalam khalayak terbuka.
Remaja mungkin beranggapan bahawa penggunaan kata-kata seperti itu dalam kalangan rakan sebaya merupakan simbol kemesraan sesama mereka yang hanya boleh diterima dalam kalangan mereka tanpa mempedulikan tanggapan dan perasaan orang lain yang berada di sekitarnya.
Lebih banyak perkataan kesat disebut, lebih ramai rakan yang akan memberikan tindak balas. Keadaan seperti ini seolah-olah memeriahkan komunikasi antara golongan remaja yang “miskin adab” ini sehingga terbawa-bawa apabila pulang ke rumah.
Penggunaan kata-kata kurang sopan juga seringkali terbawa-bawa digunakan sesama adik-beradik. Sumber Foto Hiasan: Pexels
Sikap keterbukaan yang melampau akan menyebabkan mereka tidak mengenali batas komunikasi ketika bercakap dengan ibu bapa dan ahli keluarga di rumah. Ada yang sanggup menengking dan menghina sesama sendiri. Justeru, keharmonian berkeluarga akan tercalar dengan perlakuan remaja yang “miskin adab” ini.
Golongan “miskin adab” ini mudah dikenali melalui penggunaan kata-kata seperti “bodoh”, “sial” dan sebagainya ketika bergurau sesama rakan melalui media sosial.
Mereka sudah terbiasa memanggil nama rakan-rakan dengan perkataan tidak senonoh. Justeru, kita mudah mengenali pengucapan seperti itu datangnya daripada golongan remaja yang kurang peka terhadap pengguna media sosial yang lebih tua daripada mereka.
Natijahnya, mereka akan dilabel sebagai golongan “miskin adab” kerana tidak pandai menggunakan kata-kata yang sopan. Benarlah, kata-kata mencerminkan keperibadian kita sendiri.
Sudah tiba masanya masyarakat kita memperkasakan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian. Jika dibiarkan budaya “miskin adab” ini menjadi kebiasaan dalam masyarakat, keadaan bakal menjadi barah yang merosakkan keharmonian komunikasi dalam masyarakat kita. Bahasa itu indah jika penuturnya juga memiliki sikap terpuji dan kaya budi bahasa.
Bahasa itu indah jika penuturnya juga memiliki sikap terpuji dan kaya budi bahasa. Hayatilah pantun Melayu ini;
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ditulis oleh Faridah Mohamad Saad.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Naib juara Dewi Remaja 2022, Siti Nur Aishah Bee binti Md Nor atau lebih mesra dipanggil Bee Aishah.
Gadis berusia 22 tahun ini baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Perfileman di Kolej Pengajian Kreatif, Universiti Teknologi MARA. Minatnya dalam dunia penyiaran dan seni hiburan mendorong Bee untuk mendalami bidang tersebut. Tidak sia-sia, dia dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam majlis konvokesyen UiTM ke-95 baru-baru ini.
Bukanlah mudah untuk mendapat anugerah ini kerana setiap pelajar perlu konsisten mendapat keputusan Anugerah Dekan setiap semester, tambahan pula dia merupakan antara pelajar yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menyasarkan untuk mencapai keputusan Anugerah Dekan setiap semester. Tetapi apabila satu satu tugasan diberikan oleh pensyarah saya sangat mengambil berat terhadap hal tersebut.
“Oleh itu, saya akan memastikan bahawa saya memahami setiap perkara yang diperlukan supaya saya boleh mencapai markah tertinggi untuk tugasan itu. Jika ini tugasan kumpulan, saya akan pastikan saya memilih orang yang boleh saya bekerjasama dan memastikan mereka juga selesa dengan gaya kerja saya.
“Apabila bercakap tentang tugasan bertulis, baca pruf adalah satu kemestian, semak tiga kali sebelum menghantar. Apabila saya rasa tidak pasti tentang satu-satu perkara, saya selalu mendapatkan nasihat daripada pensyarah. Saya rasa itulah cara saya berjaya mengekalkan keputusan saya,” ujarnya berkongsi amalan yang dilakukan sepanjang pengajian.
Setelah menamatkan pengajian dan baru-baru ini menyertai pertandingan Dewi Remaja 2022 sehingga berjaya bergelar naib juara, gadis tinggi lampai ini mahu menumpukan perhatian kepada kerjayanya terlebih dahulu. Kini, Bee merupakan pengacara dan juga content creator untuk platform media sosial Sinar Daily yang merupakan sebuah portal berita berbahasa Inggeris. Selain itu dia juga sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri arahan pengarah terkenal tempatan.
Apabila ditanya soal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dia berkongsi pandangan. “Bagi saya pembelajaran tidak mempunyai tarikh luput, jadi saya sentiasa boleh kembali ke dunia akademik. Sebenarnya saya sedang belajar sekarang tetapi dalam perspektif dan sudut yang berbeza. Saya sedang belajar membina diri,” ujarnya yang memperoleh CGPA 3.83 secara keseluruhan.
Setiap anak muda pasti memiliki idola mereka sendiri. Begitu juga dengan Bee, namun begitu idolanya bukanlah orang terkenal, sebaliknya individu tersebut ialah ibunya sendiri.
“Ibu saya. Dia sentiasa menjadi orang yang saya hormati. Melihat bagaimana dia bertungkus-lumus membesarkan tiga orang anak seorang diri dan tidak pernah gagal memberikan anaknya kehidupan yang selesa membuatkan saya rasa bersyukur dan terinspirasi untuk menjadi seperti dia.
“Saya tidak pernah melihat sesiapa yang bekerja keras seperti dia. Jadi saya cuba untuk menjadi seperti dirinya. Ibu mungkin tidak sempurna dari segala segi tetapi sekurang-kurangnya dia tidak pernah berputus asa dengan kami. Saya mahu menjadi seorang wanita yang boleh bergantung pada dirinya sendiri, berjaya dan dihormati oleh semua orang seperti ibu saya,” ujarnya mengakiri bicara kami.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penyanyi Luluh dan Bayang, Khai Bahar semalam telahpun mencatatkan satu lagi momen membanggakan dalam graf sebagai seorang anak seni apabila beliau dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan Bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Al Azhar Care.
Pelantikan pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Bin Baharuddin itu adalah signifikan buatnya dan juga pertubuhan tersebut memandangkan penyanyi itu jelas menggunakan pengaruhnya terutama di medan media sosial bagi membantu usaha kesukarelawan.
Malah, Khai juga disifatkan sebagai salah seorang figura am muda yang rela hati untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan selagi berkelapangan tanpa menetapkan tempoh kerjasama.
Dalam majlis di ibu negara yang disaksikan oleh Presiden Al Azhar Care, Alif Mahari itu; Khai mendedahkan bahawa dirinya akan mengambil bahagian dalam misi ibadah korban menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023 sebagai Ikon Kemanusiaan Al Azhar Care.
Menurutnya lagi, ini bukanlah kali pertama beliau terlibat dalam sesebuah aktiviti kebajikan bersama organisasi tanpa mengikat kontrak.
Sebaliknya, kerja sukarelawan ini dilakukannya dengan niat untuk memberi manfaat kepada individu lain.
Sebagai info, delegasi sukarelawan Al Azhar Care telahpun berlepas ke Afrika pada 26 Jun 2023 bagi menjayakan program korban, akikah, wakaf Quran dan wakaf telaga di sana.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!