
Brunei tukar ‘Ringgit’ kepada ‘Dolar Brunei’ menerusi pengeluaran Siri Baharu Wang Kertas Keluarga yang diumumkan oleh Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB). Siri baharu ini bakal diedarkan pada separuh pertama tahun 2026, melibatkan lima denominasi iaitu BND1, BND5, BND10, BND100 dan BND500.
Perubahan istilah ini dilakukan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai serta menggalakkan penggunaan nama rasmi “Dolar Brunei” secara lebih meluas. Menurut BDCB, penggunaan istilah yang lebih konsisten ini penting untuk mengukuhkan identiti mata wang Brunei, khususnya di peringkat antarabangsa.
Selain penggantian nama, siri wang kertas baharu ini turut hadir dengan ciri keselamatan moden yang dipertingkatkan. Inovasi ini bertujuan melindungi integriti mata wang negara dan mengekang risiko pemalsuan, selaras dengan perkembangan global dalam industri kewangan.
Identiti kebangsaan Brunei tetap dikekalkan dalam rekaan wang kertas baharu. Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah akan terpampang pada denominasi BND1, BND5, BND10 dan BND100. Sementara itu, potret Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien akan menghiasi wang kertas BND500.
Lebih menarik, siri baharu ini turut memperkenalkan ciri DOMINO™, iaitu titik timbul di bahagian bawah kanan wang kertas dengan susunan unik bagi setiap denominasi. Ciri ini direka khas untuk membantu golongan cacat penglihatan mengenal pasti nilai wang dengan lebih mudah.
Walaupun siri baharu akan diedarkan, BDCB memberi jaminan bahawa wang kertas lama tetap sah diperlakukan dan boleh digunakan bersama-sama dengan siri baharu.
Bagi remaja yang suka mengumpul wang kertas sebagai hobi, pelancaran ini pasti mencuri perhatian. Selain reka bentuk moden dan ciri keselamatan terkini, wang kertas ini juga menjadi simbol kebanggaan dan identiti negara Brunei yang semakin menyerlah di pentas dunia.
BACA LAGI : Buli Di MRSM: Asyraf Wajdi Dedah Ramai Pelaku Datang Dari Keluarga Bermasalah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.