Berita

Brooklyn Beckham Akhirnya Bersuara: Konflik Keluarga, Jenama Diutamakan & Perasaan Isteri Terabai

Share

Brooklyn Beckham akhirnya bersuara. Anak sulung kepada pasangan selebriti terkenal dunia, David dan Victoria Beckham, tampil membuat pendedahan paling jujur mengenai konflik keluarga yang didakwa kini berada pada tahap paling tegang.

Menerusi satu hantaran panjang di Instagram, Brooklyn Beckham meluahkan rasa kecewa mendalam terhadap ibu bapanya yang menurutnya terlalu mengutamakan reputasi, imej awam serta kepentingan jenama keluarga, sehingga perasaan isterinya, Nicola Peltz, sering diabaikan.

Brooklyn Beckham meluahkan rasa kecewa terhadap ibu bapanya

Luahan tersebut sekali gus menepis spekulasi lama yang menyalahkan Nicola sebagai punca keretakan hubungan keluarga Beckham.

“Saya Yang Dikawal Mereka Sepanjang Hidup”

Menjawab dakwaan kononnya Nicola mengawal kehidupannya, Brooklyn Beckham menegaskan naratif tersebut sama sekali tidak benar dan dianggap sebagai cubaan memesongkan realiti sebenar.

“Naratif yang mengatakan isteri saya mengawal saya adalah sangat tidak tepat. Hakikatnya, saya yang dikawal mereka hampir sepanjang hidup,” tulis Brooklyn dalam hantaran tersebut.

Bekas model berusia 27 tahun itu turut mendedahkan kehidupannya sebelum ini dipenuhi tekanan emosi dan kebimbangan melampau, sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Saya hidup dalam kerisauan yang tidak berkesudahan. Buat kali pertama dalam hidup, sejak menjauh daripada mereka, anxiety itu hilang. Setiap pagi saya bangun dengan rasa syukur dan lega,” luahnya lagi.

Tangkap layar antara pendedahan mengejutkan Brooklyn terhadap ibu bapanya, David dan Victoria Beckham dalam Instagram.

Jenama ‘Beckham’ Didahulukan Segalanya

Menurut Brooklyn Beckham, keluarganya meletakkan keutamaan terhadap imej dan sokongan jenama melebihi hubungan kekeluargaan. Katanya, kasih sayang sering diukur berdasarkan kehadiran di acara awam, penampilan di media sosial dan kesediaan mematuhi jadual profesional demi mengekalkan imej keluarga sempurna.

“Jenama ‘Beckham’ sentiasa didahulukan. Kami hadir ke setiap pertunjukan fesyen dan majlis media demi menampilkan imej keluarga bahagia, walaupun ia menjejaskan kehidupan peribadi kami,” dedahnya.

Brooklyn turut menyatakan bahawa tekanan untuk sentiasa tampil sempurna di mata umum telah membentuk satu persekitaran toksik yang sukar dielakkan.

Brooklyn dan isterinya, Nicola Peltz

Nicola Peltz Didakwa Tidak Pernah Diterima

Dalam luahannya, Brooklyn Beckham turut mendakwa isterinya tidak pernah benar-benar diterima sebagai ahli keluarga, malah sering dipandang rendah, khususnya oleh ibunya sendiri.

Tambahnya, ibunya dikatakan kerap mengaitkan bekas-bekas teman wanita dalam kehidupan mereka sekarang, satu tindakan yang dianggap sebagai cubaan meremehkan dan mensabotaj rumah tangganya bersama Nicola.

“Isteri saya sering tidak dihormati walau sekuat mana kami cuba bersatu sebagai keluarga,” tulis Brooklyn.

Insiden Paling Menyakitkan Hati

Antara insiden yang paling melukakan perasaan Brooklyn ialah apabila ibunya bersetuju untuk berjumpa dengannya, namun menetapkan syarat agar Nicola tidak dibenarkan hadir.

“Itu benar-benar satu penghinaan,” luahnya.

Keadaan bertambah buruk apabila keluarga Beckham dikatakan enggan berjumpanya langsung ketika berada di Los Angeles, satu tindakan yang dianggap sebagai penolakan total terhadap hubungan kekeluargaan.

Brooklyn Beckham dan bapanya David Beckham

Konflik Kini Libatkan Tindakan Undang-Undang

Media antarabangsa melaporkan konflik keluarga Beckham kini semakin serius sehingga melibatkan campur tangan peguam. Brooklyn Beckham didakwa menghantar surat undang-undang kepada ibu bapanya, walaupun mereka dilaporkan masih berharap hubungan itu dapat diperbaiki.

Brooklyn dan Nicola kini menetap di Amerika Syarikat sejak perkahwinan mereka pada tahun 2022 dan dilaporkan semakin rapat dengan keluarga Peltz, termasuk bapa Nicola, pelabur bilionair Nelson Peltz, yang banyak memberi sokongan moral dan nasihat perniagaan.

Antara Nama Besar & Ketenangan Diri

Kisah Brooklyn Beckham ini membuka mata ramai bahawa di sebalik nama besar, kekayaan dan kehidupan mewah, konflik keluarga tetap tidak dapat dielakkan.

Kadangkala, mempertahankan cinta, maruah pasangan dan kesihatan mental memerlukan keberanian untuk memilih jalan sendiri, walaupun terpaksa berdepan kehilangan paling perit.

Bagi generasi muda, kisah ini menjadi peringatan bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar imej sempurna di mata dunia, tetapi kebebasan untuk menjadi diri sendiri dan hidup dengan tenang.

BACA LAGI : Sir David Beckham: Bekas Kapten England Terima Gelaran Kesatria Dari Raja Charles III

Published by
Nana