Drama Filem

Bront Palarae Terima Pengiktirafan Serantau, Raih Anugerah Kehormat BKKIFF 2026

Share

Pelakon terkenal, Bront Palarae baru-baru ini meraih perhatian peminat selepas berjaya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara penggiat seni Malaysia yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat serantau.

Menerusi sebuah gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin (47) meluahkan rasa syukur selain menzahirkan ucapan terima kasih atas penghargaan yang diterimanya di Suratsawadi Gala & Award Night sempena Bangkok International Film Festival 2026 (BKKIFF 2026) di Bangkok, Thailand, pada Khamis.

“Dari lubuk hati saya, terima kasih kepada @bkkiffofficial. Orang yang hebat, pilihan filem yang hebat dan teman yang hebat,” katanya menerusi perkongsian tersebut.

Untuk makluman, pengiktirafan berkenaan diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan, komitmen serta perjalanan seni individu yang terus memberikan warna kepada industri perfileman, selain memainkan peranan dalam menghubungkan penggiat seni tempatan dengan rangkaian antarabangsa.

Menariknya, Bront merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang menerima anugerah dalam kategori berkenaan bersama lapan lagi penerima dari beberapa negara Asia. Korea Selatan menampilkan Jeong Jinwoon dan Clara Lee, manakala Shun Shioya mewakili Jepun.

Turut menerima penghargaan ialah wakil Indonesia, Yesaya Abraham Sitanggang, selain dua penerima dari Brunei iaitu Fakhrul Razi dan Nazirul Wardy. Laos pula diwakili Anita Vipha Yaganegi serta Aliya Southammavong.

Sementara itu, pencapaian tersebut meneruskan perjalanan seni Bront yang sudah hampir tiga dekad, selain membuktikan penglibatannya dalam industri perfileman tidak terhad kepada Malaysia. Tahun lalu, pelakon itu turut membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn Ke-21 menerusi filem seram Thailand berjudul ‘The Cursed Land’.

BACA: Bront Palarae Lakar Kejayaan Di Thailand! Raih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik

Dalam pada itu, Bront turut mempunyai rekod penglibatan dalam beberapa produksi Indonesia seperti ‘Pengabdi Setan’, ‘Gundala’ dan ‘My Stupid Boss’. Suratsawadi Gala & Award Night pula menjadi antara acara khas BKKIFF 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 27 September ini, sekaligus menyediakan platform buat penggiat industri dari Thailand dan luar negara untuk berkongsi pengalaman serta membina jaringan kerjasama.

Sumber: Instagram Bront Palarae

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE