Berita

“Bot Hampir Terbalik, Tapi Kami Ada Allah Maha Besar” –Heliza Helmi Sempat Buat Live Sebelum Bot Dipintas Tentera Israel

Share

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, yang kini bersama delegasi Global Sumud Flotilla (GSF)sempat membuat siaran langsung ketika bot yang dinaiki bersama adiknya, Hazwani Helmi, dipintas Angkatan Tentera Israel (IDF) di perairan antarabangsa pada jam 2.34 pagi waktu Gaza.

Dalam perkongsian itu, Heliza menceritakan bagaimana kapal IDF menghampiri bot mereka sebelum melemparkan cecair putih dipercayai bagi mengganggu perjalanan misi bantuan kemanusiaan.

“Israel datang dengan bot besar dan lemparkan cecair berwarna putih sehingga bot kami bergegar dan licin. Ia mengakibatkan bot kami yang kecil, hampir terjatuh dan jadi sangat licin.

“Mereka cuba ugut kami dengan cara begitu. Bot mereka memang sangat besar, tapi kita ada Allah Maha Besar,” kata Heliza dalam suasana getir itu.

Meskipun berdepan ancaman, penyanyi berusia 39 tahun itu tetap memuji semangat dan keberanian kapten bot mereka.

“Bagusnya kami semua dalam kapal ini sejiwa dan semuanya kuat semangat terutamanya kapten kami.

“Kalau ikutkan kena buang telefon terus, tapi dia suruh keluarkan telefon dan rakam video,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Heliza Helmi dan Farah Lee antara empat rakyat Malaysia terbaru yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza.

Turut ditahan ialah Hazwani Helmi serta Danish Nazram, selepas kapal mereka dipintas pihak tentera rejim. Sebelum ini, Sumud Nusantara Official turut mengesahkan lapan rakyat Malaysia lain termasuk penyanyi Zizi Kirana ditahan secara tidak sah selepas dua kapal mereka dipintas.

Published by
Fath