
Bintang K-Pop legenda, BIGBANG baru sahaja mengejutkan para peminat terutama VIP di seluruh dunia apabila mengumumkan konsert jelajah dunia terbaru mereka yang bakal berlangsung Ogos ini. Lebih mengujakan, Malaysia turut tersenarai sebagai salah satu destinasi persinggahan dalam siri jelajah berskala besar tersebut selepas sekian lama menanti kepulangan kumpulan ikonik itu.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram rasmi BIGBANG, kumpulan berkenaan mengesahkan penganjuran ‘BIGBANG 2026 WORLD TOUR’ yang akan merentasi beberapa benua termasuk Asia, Amerika Utara, Eropah dan Australia. Kuala Lumpur turut diumumkan sebagai salah satu lokasi konsert dengan persembahan dijadualkan berlangsung di TM Stadium Nasional pada 9 Januari 2027.
BACA: ‘Follow’ T.O.P Di Akaun Instagram Baru, BIGBANG Cetus Spekulasi ‘Reunion’ Sempena Ulang Tahun Ke-20
Dalam pada itu, pengumuman tersebut pastinya mengubat kerinduan peminat tempatan yang sudah hampir sedekad menantikan kemunculan semula BIGBANG di Malaysia. Kali terakhir kumpulan itu beraksi di Kuala Lumpur adalah menerusi ‘MADE World Tour’ pada tahun 2016 yang berlangsung di Stadium Merdeka dan mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Kepulangan BIGBANG ke pentas jelajah dunia kali ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila ia menjadi siri jelajah pertama mereka sejak tahun 2017. Perkara itu sekaligus menandakan babak baharu buat kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena besar dalam industri muzik Korea Selatan dan antarabangsa.
BACA: ‘Confirm’! YG Entertainment Umum BIGBANG Kembali Dengan Jelajah Dunia Sempena Ulang Tahun Ke-20
Jelajah berkenaan disahkan akan menampilkan tiga anggota utama iaitu G-Dragon, Taeyang dan Daesung. Trio tersebut dijangka mengadakan sebanyak 31 persembahan stadium sepanjang jelajah yang bakal membawa mereka bertemu jutaan peminat di pelbagai negara.
Setakat ini, pihak penganjur masih belum mendedahkan senarai lagu mahupun maklumat penjualan tiket. Walau bagaimanapun, ramai peminat sudah mula membuat pelbagai spekulasi mengenai persembahan yang bakal disajikan. Tidak kurang juga yang berharap konsert tersebut akan menampilkan himpunan lagu-lagu hit yang pernah mewarnai perjalanan karier BIGBANG sejak penubuhan mereka.
Dengan pengumuman rasmi ini, peminat (VIP) di Malaysia kini hanya perlu menunggu butiran lanjut berkaitan tiket dan penganjuran konsert. Apa yang pasti, kehadiran semula BIGBANG ke Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara K-Pop paling dinanti-nantikan menjelang tahun 2027.
Sumber: Instagram BIGBANG
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.