Hiburan

Tiada Penyingkiran! Lapan Peserta Mara Ke Pentas Suku Akhir Big Stage Rocketfuel

Share

Pentas Big Stage Rocketfuel minggu kelima menyaksikan lapan peserta berjaya meneruskan saingan selepas tiada penyingkiran diumumkan, sekaligus memberi peluang kepada semua bintang yang beraksi untuk kembali memperlihatkan kemampuan masing-masing dalam pertandingan tersebut. Keputusan itu menyaksikan Danny, Aliff Kimiey dan Yad-Z terselamat walaupun berada dalam kelompok tiga peserta dengan markah terendah daripada juri.

Dalam pada itu, Adam Nazmie mencuri perhatian apabila berjaya menduduki kedudukan pertama pada minggu ini menerusi persembahan lagu ‘Da Bomb’ duet bersama Sarah Suhairi yang menerima pujian daripada barisan juri. Duo berkenaan mencatatkan markah sebanyak 79.50 peratus, serta mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara peserta yang semakin menyerlah dalam saingan Big Stage Rocketfuel.

Tempat kedua pula menjadi milik Ranisha yang memperoleh markah 78.50 peratus hasil persembahan bertenaga bersama Danial Chuer menerusi lagu ‘Kamu’, membuktikan peningkatan konsisten penyanyi berkenaan sepanjang pertandingan, selain berjaya mengekalkan saingan sengit bersama peserta lain.

Yad-z, Danny & Aliff Kimiey merupakan peserta dengan markah terendah pada minggu 5

Sementara itu, Hussain melengkapkan kedudukan tiga teratas apabila meraih 73.75 peratus daripada juri. Pencapaian tersebut menunjukkan kemampuan Hussain untuk terus memberikan saingan meskipun berdepan persaingan yang semakin mencabar apabila peserta kini menghampiri fasa akhir pertandingan.

Bagi minggu kelima, Danny, Aliff Kimiey dan Yad-Z pada awalnya berada dalam zon penyingkiran selepas menerima markah terendah daripada juri. Namun, pengumuman tiada penyingkiran memberikan kelegaan buat ketiga-tiga peserta berkenaan untuk meneruskan perjuangan dalam pentas Big Stage Rocketfuel.

BACA: Big Stage Rocketfuel Kembali, Pentas Lahirkan Bintang Baharu & Terus Perkukuh Legasi Alumni

Memasuki minggu keenam atau pentas suku akhir, seramai lapan peserta masih meneruskan saingan iaitu Hussain, Qilo, Danny, Aliff Kimiey, Yad-Z, Ranisha, Danial Kifli serta satu-satunya peserta berkumpulan, Adam & Nazmie. Kesemua peserta kini perlu memberikan persembahan terbaik bagi merebut peluang mara ke peringkat seterusnya.

Juri tetap Hael Husaini, Aisha Retno & Akim Ahmad bersama juri jemputan Ajai.

Big Stage Rocketfuel menampilkan 11 peserta yang bersaing sepanjang lapan minggu pertandingan dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.

Difahamkan, kontrak tersebut merangkumi pelbagai aspek pembangunan artis termasuk penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.

Program Big Stage Rocketfuel yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria. Persaingan dijangka semakin sengit apabila setiap peserta bakal berdepan cabaran baharu dalam usaha membuktikan kemampuan masing-masing untuk melangkah ke pentas akhir pertandingan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE