Berita

Bermula Dengan YouTube, Remaja Autistik Kini Kejar Impian Jadi Atlet Berkuda

Share

Setiap anak dilahirkan dengan keistimewaan tersendiri. Apa yang membezakan mereka hanyalah peluang, sokongan dan ruang untuk berkembang.

Begitulah kisah inspirasi seorang remaja autistik tahap ringan, Aryan Rayqal Abadi Mohamad Shaiful Rizal, 14, yang membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk mengejar impian dalam bidang yang diminatinya.

Bermula sekadar menonton video sukan berkuda di YouTube, Rayqal kini semakin menyerlah dalam sukan tersebut selepas mengikuti terapi dan latihan secara konsisten sejak tahun 2023.

Minat Bermula Daripada YouTube

Bapa Rayqal, Mohamad Shaiful Rizal Mohamad Saed, 41, berkata minat mendalam anak sulungnya terhadap kuda mula disedari apabila Rayqal sering menghabiskan masa menonton video berkaitan sukan itu selain gemar mencari maklumat mengenai haiwan tersebut.

“Dia bukan sekadar suka menonton, tetapi sanggup membuat kajian sendiri mengenai kuda dan boleh mengingati hampir 30 ekor nama kuda di Papan Roses Horse Park.

“Selepas sebulan mengikuti terapi berkuda, jurulatih mula melihat potensi yang ada pada Rayqal. Dari situ Rayqal beralih ke kelas cara menunggang kuda dengan betul,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki, Aryan Isa Asadel berusia lima tahun.

Perjalanan Membesarkan Anak Istimewa

Menurut Mohamad Shaiful Rizal, Rayqal mula menunjukkan tanda-tanda kelainan sejak kecil apabila kurang bergaul, kerap mengalami tantrum serta sering mengepakkan tangan ketika terlalu teruja.

“Sebagai ibu bapa, sudah tentu kami melalui pelbagai cabaran dalam membesarkan anak istimewa ini yang memerlukan kesabaran, komitmen dan pengorbanan, namun kami percaya setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri jika diberi peluang dan sokongan yang betul,” katanya.

Terapi Berkuda Ubah Rayqal Jadi Lebih Yakin

Sementara itu, ibunya, Siti Nur Syahuda Abd Karim, 40, berkata Rayqal pada awalnya mengalami kesukaran untuk memberi tumpuan dan memahami arahan ketika mengikuti terapi berkuda.

Namun, perubahan positif mula kelihatan apabila dia mula membina hubungan dengan kuda-kuda kesayangannya yang dikenali sebagai Saloma, Benita dan Alpha.

“Rayqal sebenarnya sangat gayat dan takut pada ketinggian. Dia sampai hari ini tidak berani mengayuh basikal, tetapi apabila menunggang kuda dia menjadi sangat tenang dan gembira. Walaupun pernah beberapa kali jatuh, dia tetap bersemangat untuk terus cuba belajar,” katanya.

Menurut beliau, sukan berkuda bukan sahaja membantu meningkatkan fokus dan disiplin Rayqal, malah membina keyakinan dirinya untuk berinteraksi dengan orang lain.

Malah, Rayqal kini memasang impian untuk menjadi atlet lompat berkuda profesional serta mewakili negeri dan negara suatu hari nanti.

Jurulatih Nampak Potensi Besar

Jurulatih di Papan Roses Horse Park, Muhammad Akmal Arsyad Mohd Rosli, 22, berkata perkembangan yang ditunjukkan Rayqal membuktikan kanak-kanak autistik juga mampu cemerlang apabila diberikan ruang dan bimbingan yang sesuai.

“Pada peringkat awal agak sukar untuk mendapatkan perhatian dan berinteraksi dengannya, tetapi sekarang Rayqal semakin yakin serta konsisten semasa menjalani latihan.

“Setiap anak autistik mempunyai cabaran berbeza. Yang penting ialah kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan,” katanya yang telah berkecimpung dalam sukan berkuda sejak 10 tahun lalu.

Beliau turut berkata persepsi bahawa sukan berkuda hanya sesuai untuk golongan tertentu semakin berubah apabila semakin ramai ibu bapa melihat manfaat aktiviti itu dalam membentuk disiplin, kestabilan emosi dan keyakinan diri anak-anak.

Dalam masa sama, Muhammad Akmal Arsyad berharap kisah Rayqal dapat menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik supaya tidak takut mencuba pendekatan baharu dalam membantu perkembangan anak mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Bernama

Published by
Fath