Bermula Dari Kedai Bunga, Scha Nuril Taruh Bakat Di Raise The Star MY. “Dulu Saya Rasakan Industri Pentingkan Rupa…”

Share

Scha Nuril sudah lama mengimpikan peluang untuk mengukuhkan bakat seni di pentas nyanyian. 

Berbekalkan semangat dan keberanian, Nuril yang juga merupakan seorang penggubah bunga dari Gombak, Selangor melangkah penuh harapan dalam program realiti Raise The Star (RTSMY) agar boleh suatu hari nanti bergelar penyanyi sepenuh masa.

Kata Nuril, 27, keluarganya menjadi inspirasi utamanya untuk mendalami bidang nyanyian setelah minatnya itu dipupuk hasil dorongan ibu dan ayah sejak kecil.

“Waktu saya kecil mereka belikan CD nyanyian kanak-kanak dan mereka pasang setiap hari untuk saya berlatih. Bila saya berusia 10 tahun baru saya sedar, oh, saya boleh nyanyi di atas pentas!” katanya.

Sebelum menyertai RTSMY, Nuril sebenarnya pernah menyertai sebuah pertandingan nyanyian popular pada tahun 2024. Ditebak mengenai punca Nuril kembali mencuba nasib dalam sebuah lagi program pada tahun berikutnya, dia mengakui format pertandingan RTSMY-lah yang menarik minatnya untuk berada di sini.

“Antara cabaran yang saya rasakan dahulu… bukanlah nak cakap saya tak cantik. Cuma saya sedar saya perlu berusaha untuk groom diri sendiri. Dulu saya rasakan industri hanya pentingkan rupa semata-mata. Tapi dunia hiburan itu sendiri sudah makin berubah dan terbuka untuk menerima penyanyi pelbagai rupa.

“Keduanya, cabaran terbesar saya adalah untuk memiliki sebuah killer song. Memang terbukti, sebuah lagu yang bagus boleh mengangkat seseorang penyanyi. Dan itu juga salah satu sebab saya berada di pentas RTS MY.

Format pertandingan ini lain daripada yang lain apabila pemenang akan mendapat lagu baharu ciptaan salah seorang daripada lima komposer hebat tanah air. Saya percaya untuk tembus masuk ke industri, saya memerlukan sebuah lagu yang bagus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nuril juga dengan hati terbuka akan menerima komen daripada para juri yang menilai persembahannya setiap minggu. Biarpun ada minggu di mana Nuril tidak berada dalam kalangan ‘The Five’ (lima peserta terbaik RTS MY),  setiap minggu yang berlalu itu tetap memberikan satu pengajaran penting baginya untuk memperbaiki diri.

“Kalau komen kurang positif, saya ambil sebagai salah satu langkah untuk saya perbaiki diri. Sebenarnya apa mereka cakap itu betul. Mereka tidak berniat untuk menghentam tapi lebih untuk menjadikan diri saya lebih baik.”

Apabila diminta menggambarkan dirinya sebagai satu bunga, Scha memilih bunga matahari dan menyifatkan dirinya sebagai seorang yang ceria, seperti bunga tersebut yang memberikan ketenangan kepada sesiapa yang melihatnya.

 

Scha Nuril Si Gadis Bunga

Di antara bidang gubahan bunga dan bidang nyanyian, Nuril mengakui ada perbezaan yang wujud dari segi kepakaran dan tekanan yang hadir daripada setiap bidang tersebut.

“Gubah bunga tak berapa nak stres sangat. Dalam pertandingan ini pula, saya boleh rasa tekanan itu pada setiap minggu kerana setiap pesaing mempunyai ‘barang’ masing-masing. Sesiapa sahaja boleh menonjol pada setiap minggu. Memang tak tenang saya dibuatnya!” seloroh Nuril. 

“Saya akan fokus menjadi penyanyi kalau rezeki. Kerjaya sebagai f

lorist ini telah saya mulakan sejak 2019. Satu hari nanti mana tahu apabila sudah stabil kerjaya nyanyian ini, saya boleh teruskan semula kerjaya sebagai florist dan melakukan kedua-duanya,” ujarnya penuh harapan.

BACA: Aril Eles, Daripada Penyanyi TikTok Ke Pentas Raise The Star MY, Dianggap Salah Seorang Peserta ‘Underdog’ – Remaja

Memasuki minggu separuh akhir pada Ahad ini, teruskan menonton Raise The Star Malaysia secara langsung pada setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria atau strim hanya melalui Astro One dan Sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE