Berita

Bermula Dari Bilik Kolej, Kini Miliki Kilang Sendiri & Pendapatan 5 Angka Sebulan Pada Usia 23 Tahun! Kisah Inspirasi Graduan UUM

Share

Siapa sangka, pada usia hanya 23 tahun, seorang anak muda dari Bangi, Selangor ini sudah pun mencipta kejayaan luar biasa dengan memiliki kilang pengeluaran pakaian sendiri di Sabak Bernam, sambil meraih pendapatan mencecah gaji lima angka setiap bulan.

Beliau ialah Danish Aiman Ahmad Rizal, graduan Sarjana Muda Pemasaran Universiti Utara Malaysia (UUM), yang baru sahaja naik ke pentas konvokesyen menerima ijazahnya pagi ini, disampaikan oleh Pro-Canselor, Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr) Mahaleel Tengku Ariff.

Namun, kisahnya bermula jauh sebelum hari bersejarah itu.

Latar belakang sederhana bukan alasan bagi Aiman untuk bermimpi besar. Anak kepada ayah bekerja sendiri dan ibu suri rumah ini menjadikan keluarga sebagai pembakar semangat.

“Saya cuma nak ubah nasib mak ayah. Dapat tengok mereka selesa, duduk rumah besar… itu dah cukup buat saya gembira. Dan kalau boleh, saya nak nama saya dikenali,” katanya.

Segalanya bermula dari bilik kolej, ketika beliau menjual jersi universiti secara kecil-kecilan.

Cabaran tidak kurang hebatnya, isu pembekal, pengeluaran, kualiti produk semuanya pernah menggugat perjalanan beliau. Namun, ciri usahawan sejati membuatkan Aiman memilih untuk terus belajar dan bangkit.

Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menubuhkan kilang pengeluaran pakaian milik sendiri, Zentive Textile, yang menghasilkan produk di bawah jenama fesyen kampus yang semakin dikenali:

Eyeday.

Bagi Aiman, Eyeday bukan sekadar jenama, ia membawa identiti dan jiwa anak muda kampus. Setiap rekaan mencerminkan semangat pelajar untuk bergaya, berkualiti dan mempunyai nilai sentimental.

Lebih membanggakan, sistem dropship yang dibangunkan Aiman berjaya membantu

ratusan pelajar lain menjana pendapatan tambahan tanpa modal besar.

“Kalau saya boleh mula dengan modal kecil, pelajar lain pun boleh. Yang penting berani mencuba,” ujarnya.

Walaupun perniagaan semakin berkembang, Aiman tetap memilih untuk menghabiskan pengajian di UUM.

“Universiti bukan tempat dapat sijil saja. Di sini saya belajar kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa yang semua itu saya guna dalam dunia sebenar,” jelasnya.

Kini, Aiman merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat

Sarjana dan PhD, tanpa meninggalkan impiannya untuk membawa Eyeday menembusi lebih banyak pasaran.

Kini, Eyeday semakin kukuh di kampus-kampus seluruh Malaysia, menjadi inspirasi kepada anak muda lain bahawa impian besar boleh dicapai walau bermula dari langkah kecil.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UUM News

Published by
Fath