‘Bermati-Matian Usaha Untuk Nampak Tenang & Waras’ – Elyana ‘Upload’ Foto Berkepala Botak

Share

Hantaran terbaharu yang dikongsikan oleh penyanyi dan pelakon terkenal, Elyana di akaun Instagram miliknya nyata mencuri perhatian ramai. Dalam satu foto yang dimuat naik, penyanyi berusia 38 tahun ini dilihat berdiri di hadapan cermin tandas dengan kepalanya botak .

Menerusi kapsyen yang ditulis, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal berkongsi kata-kata penuh makna dan menyentuh hati.

“Proses kehidupan kita, hanya kita sahaja yang lalui… hanya kita sahaja yang tahu. Bermati-matian berusaha untuk nampak tenang dan waras tanpa bercerita,” tulisnya, seolah-olah memberi gambaran betapa beratnya beban yang ditanggung namun disembunyikan di balik wajah yang tetap tenang.

Bukan sekadar luahan, kapsyen panjang itu turut menjadi wadah nasihat buat teman-teman seperjuangan yang turut melalui fasa hidup sukar.

Satu lagi bait kapsyennya yang menyentuh hati:

“Jika akhirnya kamu mendengar cerita buruk tentang diriku dari mereka, fahamilah aku juga pernah baik pada mereka, cuma mereka tidak menceritakan bahagian itu.”

Kata-kata tersebut nyata memberikan refleksi mendalam tentang sifat manusia dan bagaimana kita berhadapan dengan penghakiman orang lain, terutama ketika berjuang dalam diam.

Kata-kata Semangat

Rata-rata warganet dan rakan artis tampil memberikan kata-kata semangat buat Elyana, mendoakan agar beliau terus diberikan kekuatan dan ketenangan jiwa. Malah ramai yang menyifatkan penyanyi lagu Kalis Rindu

ini sebagai simbol ketabahan dan inspirasi kepada ramai pesakit kanser di luar sana.

Sebagai info, Elyana pernah mengejutkan negara apabila secara terbuka mendedahkan bahawa beliau menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir daripada rancangan Gegar Vaganza musim keempat (GV4)

pada tahun 2017. Sepanjang beberapa tahun selepas itu, Elyana kerap berkongsi perkembangan dirinya serta perjalanan rawatan, tanpa berselindung tentang realiti sebenar pesakit kanser.

Namun begitu, dalam satu perkongsian pada tahun 2022, Elyana menyatakan bahawa beliau telah disahkan bebas daripada kanser, satu berita yang menggembirakan peminat dan seluruh industri hiburan tanah air.

BACA LAGI : Elyana Luah Rasa Kecewa Difitnah Hanya “Berlakon” Sakit Kanser

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Nana