
Para peminat BLACKPINK pastinya tidak asing lagi mengetahui bahawa Lisa merupakan peminat tegar karakter popular, Labubu. Apa yang lebih menakjubkan, idola K-Pop popular ini juga menerima hadiah eksklusif daripada penciptanya secara langsung iaitu Kasing Lung.
Menerusi sebuah gambar di Instagram Story miliknya, Lisa atau pemilik nama sebenar Lalisa Manobal (28) berkongsi momen istimewa itu dengan kapsyen ringkas tetapi penuh makna berbunyi, “akhirnya!!!”.
Pelantun lagu ‘Moonlit Floor (Kiss Me)’ itu kelihatan telah bertemu dengan Kasing Lung sambil memegang patung plush Labubu edisi istimewa. Patung yang diberi nama Mokoko, menampilkan bulu merah jambu ikonik serta ditandatangani sendiri oleh Kasing Lung dengan mesej peribadi.
“Untuk Lisa, terima kasih atas sokongan kamu yang luar biasa,” tulis Kasing.

Dalam pada itu, sewaktu konsert jelajah dunia BLACKPINK di London baru-baru ini, Lisa turut mencuri perhatian apabila tampil mengenakan kostum Labubu merah jambu, sekaligus mengukuhkan lagi hubungannya dengan karakter comel itu.
Peminat (BLINK) segera menyedari bahawa hadiah ini bukan sekadar pemberian biasa, sebaliknya sebagai tanda penghargaan daripada Kasing Lung terhadap peranan Lisa dalam mempopularkan koleksi Labubu ke seluruh dunia.
Sebagai antara selebriti pertama yang dilihat memiliki anak patung Labubu, bintang kelahiran Thailand itu secara tidak langsung telah membantu karakter ini melonjak ke tahap fenomena global.

Hubungan mesra antara Lisa dan Kasing Lung juga memberi gambaran bagaimana pengaruh seorang artis boleh melangkaui sempadan muzik, merentas dunia fesyen serta budaya pop. Kolaborasi tidak rasmi ini membuka ruang lebih luas buat Labubu menjadi jenama koleksi yang semakin digilai generasi muda.
Pemberian Mokoko ini juga seakan mengesahkan status Lisa bukan sahaja sebagai ikon K-Pop, tetapi juga sebagai trendsetter global yang mampu mengangkat sesuatu jenama ke peringkat antarabangsa hanya melalui personaliti dan gaya uniknya.
Sementara itu, dengan hadiah istimewa ini, Lisa bukan sahaja meninggalkan momen manis buat dirinya, malah mengukuhkan lagi ikatan dengan peminat Labubu di seluruh dunia. Jadi tidak hairanlah jika Mokoko kini dianggap sebagai simbol eksklusif yang mengabadikan hubungan istimewa antara Lisa dan Kasing Lung.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











