
Begitulah kata-kata penuh semangat daripada Zulfaqar Aslam Zulkefli, 24, pemuda orang kurang upaya (OKU) kategori cerebral palsy yang baru sahaja menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu ini bukan nama asing bagi warga kampus. Zulfaqar sering berkongsi kisah kehidupannya sebagai pelajar OKU di TikTok, di mana dia berkongsi cabaran, kisah harian, dan semangat untuk terus berdikari.
Menariknya, kedua ibu bapanya iaitu Zulkefli Mamat dan Rohana Sulong, kedua-duanya bekas guru yang menjadi sumber kekuatan utama buat dirinya sejak kecil. Mereka sentiasa menanam keyakinan bahawa pendidikan adalah kunci untuk membuka peluang dan mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU.
Sebagai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Zulfaqar tidak menafikan ada cabaran yang harus dihadapinya sepanjang pengajian. Namun, dia memilih untuk membuktikan kemampuan melalui kerja keras dan semangat yang tinggi.
“Kadang-kadang orang rasa kasihan apabila tengok fizikal saya tapi saya tidak mahu dikasihani. Sebaliknya saya mahu dihormati kerana usaha dan pencapaian sendiri,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, nama Zulfaqar kembali tular selepas video di majlis konvokesyennya mendapat perhatian ramai. Dalam rakaman tersebut, para hadirin memberikan tepukan gemuruh dan ‘standing ovation’sebagai tanda penghormatan terhadap semangat luar biasa pemuda ini.
Di sebalik senyumannya yang tenang, tersimpan kisah perjuangan yang menjadi inspirasi ramai. Zulfaqar membuktikan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang sempurna, tetapi milik mereka yang
tidak pernah berputus asa.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo! & TikTok Unisza