Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman sebelum ini bukan sahaja melegakan dirinya, malah turut mengangkat beban yang sekian lama dipikul seluruh ahli keluarga.
Bagi ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, keputusan tersebut membuka ruang untuk mereka akhirnya memberi sepenuh perhatian kepada satu lagi detik bermakna dalam kehidupan Syed Saddiq iaitu persiapan perkahwinannya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Sebelum Ini Tiada ‘Mood’ Buat Persiapan
Menerusi laporan media tempatan, Sharifah Mahani mengakui mereka langsung tidak membuat sebarang persiapan kerana mahu menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu.
“Kita memang tak ada buat persiapan lagi sebab tunggu keputusan hari ini.
“Setiap kali orang tanya bila majlis (perkahwinan), saya takkan jawab. Saya hanya tunggu keputusan mahkamah hari ini.
“Jadi bila keputusan memihak kepada Syed Saddiq, hati saya gembira. Bayangkan kalau sesuatu yang negatif berlaku pada hari ini, bagaimana? Saya tak nak mengecewakan anak orang, berdosa,” katanya.
Ads
sumber foto: Astro Awani
Kini Fokus Pada Hari Bahagia
Menurut Sharifah Mahani, selepas keputusan yang memihak kepada anaknya, mereka kini boleh memulakan segala persiapan menjelang majlis yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.
“Sekarang kita boleh ikat bunga telur. Sebelum ini memang tak ada ‘mood’ nak buat persiapan disebabkan (kes mahkamah) ini.
“Ini bukan kes setahun dua, ia sudah lama. Jadi biarlah kebahagiaan ini untuk mereka,” katanya.
Tidak Tidur, Hilang Selera Makan
Dalam masa sama, Sharifah Mahani turut mengakui dirinya berdepan tekanan emosi sehingga tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan yang bakal diumumkan.
Ads
“Memang saya tak tidur, tak boleh makan juga.
“Orang kata kalau bercinta sampai tak mandi, tetapi ini lain pula ceritanya,” katanya.
Hargai Pengorbanan Bella Astillah
Selain meluahkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah, Sharifah Mahani turut menzahirkan penghargaan kepada Bella Astillah yang disifatkannya sentiasa setia menemani Syed Saddiq sepanjang tempoh sukar itu.
Ads
Menurutnya, bukan mudah untuk seseorang menerima kehidupan yang dipenuhi dengan cabaran termasuk perlu berulang-alik ke mahkamah, namun Bella tetap teguh berada di sisi anaknya.
“Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang mendampingi Syed Saddiq, selama ini dia perlu turun naik mahkamah.
“Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama?
“Alhamdulillah, Bella sanggup. Insya-Allah mudah-mudahan dengan keizinan Allah, mereka dapat bersama kerana saya nampak Bella berjuang bersama-sama Syed Saddiq mencari rezeki kerana beliau tak ada peruntukan, tak ada apa-apa.
“Dia juga berjaya memberi kegembiraan kepada anak saya. Orang yang boleh memberi kegembiraan untuk anak saya, dialah yang layak jadi menantu saya,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, rakyat Malaysia kini boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi diwajibkan mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara bagi mendapatkan lesen memandu fizikal, berkuat kuasa mulai 23 Januari, hari ini.
Menerusi satu kenyataan rasmi oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa orang awam kini bebas memohon cetakan kad lesen memandu fizikal tanpa sebarang syarat tambahan seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Walau bagaimanapun, cetakan lesen fizikal tersebut akan dikenakan bayaran sebanyak RM20 kepada warganegara Malaysia, manakala bukan warganegara pula dikenakan bayaran RM100.
Menurut MOT, permohonan boleh dibuat di semua kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, sekaligus memberi fleksibiliti kepada setiap pengguna.
“Permohonan cetakan lesen memandu fizikal kini dibuka secara terbuka dan tidak lagi terhad kepada kategori tertentu seperti yang ditetapkan sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, pemohon perlu mengemukakan bukti perjalanan antarabangsa seperti tiket penerbangan sebagai syarat untuk mendapatkan lesen memandu fizikal, susulan pelaksanaan lesen digital secara menyeluruh sejak tahun lalu.
Mengulas lanjut, MOT juga menjelaskan langkah terbaru ini masih selari dengan dasar pendigitalan lesen memandu yang diperkenalkan sejak Februari 2023, di mana orang ramai digalakkan menggunakan lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ bagi urusan pembaharuan.
Sementara itu, MOT turut mengesahkan bahawa golongan tertentu termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang lesen Kelas A1 dan A serta Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar akan terus menikmati kemudahan lesen memandu fizikal secara percuma.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada pagi Rabu di usia 86 tahun.
Perkara berkenaan disahkan peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dalam kes mahkamah.
Tun Daim merupakan tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia yang terkenal. Beliau dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Malaysia dan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Selain itu, Tun Daim dikenali sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan pada era 1980-an dan 1990-an, terutamanya semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau memainkan peranan besar dalam membantu Malaysia mencapai pembangunan pesat dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang fokus kepada perindustrian dan eksport.
Kredit: Sinar Plus
Semasa kepimpinannya sebagai Menteri Kewangan, Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan beberapa pembaharuan dalam sektor kewangan serta pelaburan infrastruktur.
Beliau juga terkenal dengan pendekatan pragmatik dalam pengurusan kewangan negara dan dikenali sebagai seorang tokoh yang berdedikasi dalam menggalakkan pembangunan ekonomi.
Di luar politik, Tun Daim terlibat dalam pelbagai perniagaan dan pelaburan. Beliau dianggap sebagai salah satu individu yang berpengaruh dalam dunia korporat di Malaysia.
Tun Daim lantang dalam menyuarakan pendapatnya tentang isu-isu nasional, terutamanya dalam bidang ekonomi.
Walaupun telah bersara daripada politik aktif, beliau masih memainkan peranan penting dalam memberi pandangan terhadap polisi-polisi ekonomi negara.
Al-Fatihah…
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berkongsi khabar gembira selepas dikurniakan cahaya mata pertama mereka yang merupakan seorang puteri.
Menerusi sebuah perkongsian di media sosial milik baginda, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kelahiran puteri sulung hasil perkahwinan bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
“Alhamdulillah. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Beta mengumumkan kelahiran puteri kami.”
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan buat anakanda kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan kami sekeluarga,” titah baginda.
Dalam hantaran sama, baginda turut memperkenalkan nama puteri sulung mereka iaitu Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah, sebuah nama yang dipilih dengan penuh makna dan melambangkan keindahan warisan Melayu.
Susulan itu, nama Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah kemudiannya menjadi perhatian ramai apabila warga internet memuji pemilihan nama tersebut yang disifatkan mempunyai elemen Melayu klasik, lembut serta penuh kesopanan.
Sementara itu, di ruangan komen media sosial rasmi Raja Muda Selangor turut dipenuhi ucapan tahniah dan doa daripada rakyat serta kenalan yang mendoakan agar puteri sulung baginda membesar dengan sihat, menjadi anak yang solehah serta sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.
Untuk rekod, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober 2025. Pasangan diraja tersebut dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dengan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Kelahiran Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah bukan sahaja membawa kegembiraan kepada keluarga diraja Selangor, malah turut diraikan rakyat yang mengikuti perkembangan institusi kesultanan negeri itu. Ramai berharap agar puteri sulung pasangan diraja berkenaan membesar sebagai insan berakhlak mulia, berilmu serta menjadi kebanggaan keluarga diraja dan rakyat Selangor.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!