“Jangan Kita Diam Atau Tunggu Ada Lagi Zara Yang Lain, Tolonglah Pantau Anak-Anak Kita” -Bella Astillah

Share

Tragedi menyayat hati melibatkan kematian seorang pelajar tingkatan satu di Sabah baru-baru ini nyata mengundang reaksi penuh emosi daripada selebriti popular, Bella Astillah.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Bella meluahkan rasa hancur hati serta menuntut agar pihak bertanggungjawab tampil memberi penjelasan.

Pelajar berusia 13 tahun itu, Allahyarham Zara Qairina, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya di Papar.

Namun, kematiannya kini menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk dakwaan dibuli dan disakiti sebelum kejadian berlaku.

“Adik Zara Qairina, 13 tahun, anak Sabah, perginya dalam keadaan penuh tanda tanya. Dikatakan dibuli, disakiti tapi sampai hari ini belum ada siapa yang tampil bertanggungjawab.

“Tepuk dada, tanya selera. Kalau ini berlaku pada anak kita sendiri, sanggupkah kita berdiam? Sebagai seorang ibu dan juga orang Sabah, hati saya hancur,” luahnya penuh emosi.

Bella turut mengajak orang ramai untuk melihat isu ini dari sudut seorang ibu, yang pastinya tak sanggup melihat anak kecil menderita dalam diam, lebih-lebih lagi apabila jauh dari keluarga.

“Bayangkan, anak kecil jauh daripada keluarga, menghadapi semuanya seorang diri. Kenapa sampai begini baru kita mula buka mata? Takkan kita nak biarkan saja apatah lagi melibatkan nyawa!

“Siapakah orang yang sepatutnya bertanggungjawab memantau mereka di asrama tempat ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan mereka di sana. Allahu, di mana letaknya perikemanusiaan kalian semua,” katanya lagi.

“Buli Bukan Hal Remeh. Tolong Pantau Anak-Anak Kita.”

Dalam masa sama, penyanyi Lebih Indah Berpisah

itu turut mengingatkan masyarakat agar tidak memandang ringan isu buli, terutama yang berlaku dalam kalangan pelajar asrama. Katanya, penderitaan emosi dan mental seperti ini tidak sepatutnya dibebani kepada remaja seusia Zara.

“Seorang anak kecil, pada usia muda begitu, terpaksa menanggung penderitaan yang tak sepatutnya. Buli bukan hal remeh.

“Jangan kita diam, atau tunggu ada lagi Zara yang lain. Tolonglah pantau anak-anak kita.

“Dengarkan, didik mereka supaya jadi manusia yang ada empati dan bukan (jadi) yang kejam,” tambahnya.

Bella juga menegaskan bahawa dia tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus bersuara demi keadilan buat arwah Zara.

“Zara bukan sekadar nama dalam berita, dia adalah anak kita juga. Kita gagal bila anak-anak terbiar dalam sistem yang membuatkan hati dan menutup kebenaran.

“Saya doakan keadilan yang akan datang. Saya akan terus bersuara untuk Zara. Semoga Allah SWT tempatkan adik Zara di syurga tertinggi,” katanya.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 1 sebuah sekolah di Papar, Sabah meninggal dunia selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Tragedi ini turut membuka semula perbualan masyarakat mengenai keselamatan, kesihatan mental serta budaya buli yang masih membelenggu sistem pendidikan negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath