
Penyanyi bertaraf antarabangsa, Shila Amzah yang juga merupakan juri dan komposer bagi rancangan realiti terbaru, Raise The Star Malaysia baru-baru ini menekankan kepentingan penjagaan rehat dan kesihatan dalam kalangan peserta program nyanyian untuk mengekalkan prestasi vokal yang optimum.
Menurut Shila atau pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah (35), pesanan itu bukan sekadar nasihat kosong, sebaliknya berpandukan pengalaman peribadi beliau ketika menyertai pertandingan nyanyian di China.
“Kalau nak tahu kan, semasa saya bertanding di China. Kadang-kadang orang ingat kita dapat lagu terus nyanyi tapi saya pernah lalui saat dimana contohnya hari Ahad pertandingan tapi dapat pilih lagu hari Selasa. Kemudian, hari Khamis atau Jumaat baru dapat arrangement,” katanya ketika ditemui REMAJA selepas sidang media Raise The Star Malaysia pada Ahad.
Dalam pada itu, jelas Shila, proses pemilihan dan penyusunan lagu dalam pertandingan luar negara sangat mencabar dan memerlukan stamina fizikal dan mental yang tinggi. Ada ketikanya, beliau terpaksa menukar lagu saat akhir dan ini memaksa dirinya keluar dari zon selesa.
“Kadang-kadang ada minggu yang saya kena tukar lagu hari Jumaat. Jadi, jika hal seperti itu terjadi, saya kena jadi ‘kuda lawan’ lah. Lebih lagi kalau dapat lagu berbahasa lain,” jelas Shila.
Pada masa yang sama, Shila turut menegaskan bahawa aspek kecergasan fizikal memainkan peranan besar dalam penjagaan suara. Vokal juga terdiri daripada otot yang perlu dijaga sama seperti otot tubuh badan yang lain.
Tambahnya, jika seorang penyanyi kurang tidur atau gagal melakukan pemanasan dengan betul, ianya boleh menyebabkan kecederaan otot vokal.
“Sebab itu saya sangat menitikberatkan ‘fitness’ kepada para peserta”
“Bila mereka tak cukup tidur, vocal cord kita ini ada muscle. Jika mereka tak jaga dan tak warm-up dengan betul, sama dengan otot badan yang lain, dia akan sakit,” ujarnya lagi.
@remaja.my Korang pun mesti setuju yang Shila Amzah semakin bertambah cantik & flawless kan!🥰 Rupa-rupanya tipnya saja, memang kena rajin jaga kesihatan. Rahsia paling penting sekali rajin pakai mask!🤗 Bagi korang yang nak jaga vocal cord pula, mungkin patut dengar pesanan Shila supaya kesihatan korang maintain sepanjang pertandingan😉✨ #majalahremaja #remajamalaysia #remaja ♬ original sound – Remaja
Sementara itu, pelantun lagu ‘Patah Seribu’ itu turut menasihatkan peserta agar tidak berlatih secara berlebihan atau terlalu sedikit sekaligus mengingatkan tentang keseimbangan dalam latihan.
“Minum air yang cukup dan kekalkan hidrasi itu sangat penting. Saya juga nak cadangkan mereka untuk ambil suplemen dari enzim nenas kerana ia memang baik untuk semua otot dan sendi termasuk pita suara kita”
“Boleh minum teh hangat juga, namanya ‘Throat Coat tea’ memang sesuai untuk nak kekalkan tekak kita lebih hidrasi dan bagi kelembapan. Jadi bila kita nak nyanyi nanti dan cukup warm-up, dia smooth dan tak terlalu memaksa dekat tekak,” nasihat Shila.
Intihanya, nasihat dan tip yang dikongsikan oleh Shila Amzah ini jelas menunjukkan komitmen dan profesionalisme beliau dalam dunia seni suara serta keprihatinannya terhadap bakat baru yang bakal menjadi pelapis dalam industri muzik pada masa akan datang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.