Berita

Bekas Banduan Kini Graduan USM, Kisah Kejayaan Yang Bermula Dari Balik Tirai Besi -“Saya Harap Ijazah Ini…”

Share

Tidak semua orang diberi peluang kedua, namun bagi Mohd Khairul Ab Aziz, 43, perjalanan hidupnya membuktikan bahawa penyesalan bukan penamat, tetapi permulaan untuk bangkit kembali.

“Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian diri tapi bagi pulihkan maruah saya sebagai seorang bekas banduan.

“Sebagai bapa kepada dua anak yang kini berusia 14 dan 19 tahun, saya harap ijazah ini mampu tebus kesalahan lalu kepada mereka,” katanya.

Pada usia 43 tahun, anak sulung daripada tiga beradik ini akhirnya menggenggam Ijazah Sarjana Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Lebih manis, kejayaan tersebut bukan hanya miliknya, tetapi simbol harapan untuk dua anaknya, keluarganya, dan mereka yang pernah tersungkur dalam gelap masa lalu.

Ujian Demi Ujian, Namun Hati Tetap Mahu Berubah

Mohd Khairul tidak menafikan, kejayaan itu lahir daripada dorongan ramai pihak iaitu keluarga yang setia, Jabatan Penjara Malaysia serta para pensyarah yang percaya pada potensinya.

Menceritakan kembali detik perubahan, semuanya bermula pada tahun 2016. Ketika menjalani hukuman berkaitan dadah di Penjara Seberang Perai, beliau menyertai program bersama Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dan di situlah hati yang lama tertutup, kembali terbuka.

Selepas melihat realiti kehidupan banduan yang berulang kali keluar masuk penjara, semangatnya kian membara.

“Ada yang lebih 34 kali keluar dan masuk penjara, itulah yang bermain dalam fikiran dan saya tidak mahu jadi seperti itu.

“Kemudian saya mendaftar bagi menyambung pengajian pada 2020 di Penjara Seberang Perai iaitu lima bulan sebelum saya dibebaskan,” ujarnya.

Belajar Dengan Cahaya Lampu Koridor Demi Masa Depan

Bukan mudah belajar dari dalam penjara. Akses internet hanya tiga puluh minit setiap sesi. Nota dan bahan rujukan? Hanya sempat ditelaah ketika tubuh lain sedang tidur.

“Hampir setiap malam saya duduk di pagar sel hanya ditemani sorotan cahaya lampu koridor bagi menelaah bahan rujukan,” katanya.

Namun cabaran itu tidak mematahkan semangatnya. Dengan bantuan adik yang menanggung yuran pengajian, Mohd Khairul meneruskan baki pengajiannya selepas dibebaskan, tanpa menoleh ke belakang lagi.

Beliau ditemui media ketika majlis khas selepas Upacara Konvokesyen ke-63 USM, diraikan bersama Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed serta Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Sharif.

Bukan Lagi Sekadar Graduan Tetapi Pencetus Inspirasi

Kejayaannya lebih bermakna apabila beliau menjadi individu pertama di Malaysia menjalankan kajian mengenai penggunaan dadah kokain yang turut dilaporkan dalam

Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC) Vienna 2023. Satu pencapaian besar, lahir dari seseorang yang pernah dipinggirkan masyarakat.

Kini, Mohd Khairul tidak lagi melihat masa lalu sebagai beban. Sebaliknya, ia menjadi bahan bakar untuk masa depan yang lebih cerah. Dalam masa terdekat, beliau bakal tampil sebagai usahawan makanan ringan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online

Published by
Fath