
Bekas anggota kumpulan K-Pop terkenal NCT, Taeil atau pemilik nama sebenar Moon Taeil baru-baru ini dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Daerah Pusat Seoul, pada Khamis selepas disabitkan bersalah atas kesalahan serangan seksual.
Dalam keputusan yang diumumkan, mahkamah turut mengarahkan Taeil yang kini berusia 31 tahun untuk ditahan serta-merta di mahkamah. Pada masa yang sama, dua rakan subahat yang terlibat dalam insiden itu turut menerima hukuman sama dan turut ditahan.
Sebelum ini, ketiga-tiga lelaki terbabit didakwa tanpa penahanan pada Mac lalu atas pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita warganegara asing yang berada dalam keadaan mabuk di Seoul pada Jun tahun lalu.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan mereka menjalani program rawatan keganasan seksual selama 40 jam.
“Kesalahan ini sangat serius memandangkan mangsa ketika itu dalam keadaan mabuk dan tidak berdaya untuk melawan,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.
Dalam sesi pendengaran sebelum ini, pihak pendakwa memohon agar ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, namun mahkamah menjatuhkan hukuman separuh daripada tempoh yang dimohon.
Terdahulu, Taeil telah dibuang dari kumpulan NCT pada Ogos tahun lalu selepas beliau disoal siasat oleh pihak polis berhubung dakwaan kes serangan seksual tersebut.
Kes ini telah mengejutkan ramai peminat K-pop dan menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan netizen berkenaan isu kelakuan tidak senonoh oleh selebriti. Ramai yang meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian ini di media sosial kerana mencemarkan imej industri hiburan Korea Selatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.