
Malaysia mungkin bukan negara bersalji, tetapi semangatnya tetap membara di pentas dunia.
Pada saingan di Pusat Ski Alpine Tofane itu, Aruwin menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 minit 54.82 saat (s) untuk menduduki tempat ke-44 daripada 53 pelumba yang berjaya menamatkan kedua-dua larian.
Pingat emas menjadi milik jaguh Amerika Syarikat, Mikaela Shiffrin yang mencatat masa 1:39.10s, diikuti Camille Rast dari Switzerland (1:40.60s) manakala gangsa diraih Anna Larsson dari Sweden (1:40.81s).
Namun bagi Aruwin, kejayaan kali ini lebih daripada sekadar catatan masa.
Pencapaian itu menebus kekecewaannya apabila gagal menamatkan perlumbaan pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022
.Daripada kegagalan ke kebangkitan, Aruwin membuktikan bahawa pengalaman adalah guru terbaik buat seorang atlet muda yang berani bermimpi besar.
Lebih membanggakan, atlet berusia 22 tahun itu muncul kedua terbaik Asia di belakang Piera Hudson dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan mengatasi tiga lagi pelumba benua itu iaitu Tallulah Proulx (Filipina), Wen Yi Lee (Taiwan) serta Sadaf Savehshemshaki (Iran).
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norza Zakaria, mengucapkan tahniah atas pencapaian itu sambil menyifatkan Aruwin sebagai simbol kebangkitan atlet sukan musim sejuk negara di pentas dunia.
“Kami amat berbangga apabila beliau muncul pelumba terbaik dalam kalangan empat atlet Asia yang menamatkan perlumbaan. Ini satu pencapaian yang cukup membanggakan negara,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro online