
Pada usia yang masih sangat muda, Alysa Liu sudah pun mencipta sejarah besar dalam dunia sukan. Atlet figure skating dari Amerika Syarikat itu menjadi perhatian dunia selepas memenangi dua pingat emas di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina 2026, sekali gus melonjakkan namanya sebagai ikon baharu generasi muda.
Bagi ramai pemerhati sukan, kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan biasa. Ia menandakan kemunculan seorang bintang baharu yang membawa identiti generasi muda dalam dunia sukan elit.
Namun apa yang menjadikan Alysa Liu begitu istimewa bukan hanya pencapaiannya di atas ais. Personaliti santai, gaya hidup yang jujur serta sikapnya yang tidak terlalu terikat dengan tekanan kejayaan menjadikannya figura yang sangat dekat dengan generasi Gen Z.
Di Olimpik Milano-Cortina 2026, Alysa Liu memenangi emas dalam acara women’s singles dan turut membantu pasukan Amerika Syarikat meraih emas dalam acara berpasukan.
Kemenangan tersebut menjadikannya atlet wanita Amerika pertama menjuarai acara individu figure skating Olimpik dalam tempoh lebih dua dekad. Kejayaan itu sekaligus meletakkan namanya antara atlet muda paling berjaya dalam sejarah sukan tersebut.
Walaupun berada di puncak kejayaan, Alysa Liu tetap mengekalkan sikap yang cukup sederhana. Selepas Olimpik berakhir, dia tidak terus menjalani jadual promosi atau jelajah media yang padat seperti kebiasaan atlet terkenal.
Sebaliknya, dia memilih pulang ke San Francisco Bay Area untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Bagi dirinya, kehidupan di luar sukan tetap penting walaupun statusnya kini sebagai juara Olimpik.
Dia juga sempat menikmati makanan kegemarannya serta berkongsi kenangan Olimpik bersama rakan-rakan yang ingin melihat pingat dan cenderamata yang dibawanya pulang dari Itali.
Dalam satu temubual bersama majalah Teen Vogue, Alysa Liu secara terbuka mengakui bahawa dia lebih suka menghabiskan masa bersama rakan-rakan berbanding menjalani sesi latihan tambahan jika terpaksa memilih antara kedua-duanya.
Di media sosial, frasa “Alysa Liu mindset” kini menjadi trend. Ia merujuk kepada cara fikir yang menekankan keseimbangan antara kejayaan, kebahagiaan dan kehidupan peribadi.
Sebelum Olimpik Milano-Cortina 2026, akaun Instagramnya hanya mempunyai sekitar 200,000 pengikut. Namun selepas kejayaannya di Itali, jumlah itu meningkat secara mendadak kepada lebih 7 juta pengikut dalam masa hanya dua minggu.
Perjalanan Alysa Liu dalam dunia figure skating sebenarnya sudah bermula sejak kecil. Dilahirkan di California pada tahun 2005 dalam keluarga imigran dari China, dia mula mencuri perhatian apabila menjadi juara kebangsaan Amerika Syarikat pada usia 13 tahun.
Kemenangan itu mencatatkan rekod sebagai juara termuda dalam sejarah kejohanan tersebut.
Pada usia 16 tahun, dia sudah beraksi di Olimpik Beijing 2022 dan memenangi gangsa di Kejohanan Dunia. Namun tidak lama selepas itu, dia mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan persaraan daripada sukan tersebut.
Keputusan tersebut dibuat kerana Alysa Liu mahu merasai kehidupan remaja yang lebih normal selepas bertahun-tahun berada dalam tekanan latihan dan pertandingan.
Sepanjang tempoh rehat itu, dia menghabiskan masa bermain video game, menonton anime, memberi tumpuan kepada pelajaran serta melakukan aktiviti luar seperti mendaki.
Walaupun pernah bersara, minat terhadap skating tidak pernah benar-benar hilang. Pada tahun 2024, Alysa Liu membuat keputusan untuk kembali ke gelanggang ais kali ini dengan pendekatan yang lebih santai dan berpaksikan minat.
Kembalinya ke arena sukan akhirnya membawa kepada detik paling manis dalam kariernya apabila berjaya meraih dua pingat emas Olimpik.
Selain pencapaiannya dalam sukan, dia juga dikenali dengan gaya peribadi yang unik. Rambut dua tona berwarna “milk tea” yang menjadi identitinya serta smiley face piercing
memberi imej yang berbeza daripada kebanyakan atlet figure skating yang biasanya mengekalkan gaya klasik.Gabungan bakat luar biasa, personaliti yang autentik dan sikap berani menjadi diri sendiri menjadikan Alysa Liu bukan sekadar seorang juara Olimpik.
Pada usia hanya 20 tahun, kisahnya kini menjadi simbol generasi muda yang percaya bahawa kejayaan tidak seharusnya mengorbankan kebahagiaan diri.
Atas sebab itu, ramai melihat Alysa Liu bukan hanya sebagai atlet hebat tetapi juga ikon baharu Gen Z yang memberi inspirasi kepada jutaan anak muda di seluruh dunia.
Sumber : VN Express International
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.