Berita

Baru 10 Tahun, Wan Harriz Harumkan Nama Malaysia Di Qatar, Kini Mara Ke Final Dunia Di Itali

Share

Baru berusia 10 tahun, namun Wan Harriz Wan Abdul Qayyum sudah membuktikan bahawa kekangan kewangan, masalah kesihatan dan perjalanan ribuan kilometer bukan penghalang untuk mengejar impian.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru itu mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul johan Little Hippo English Play-Off Qualifier dalam pertandingan Hippo English Without Borders di Doha, Qatar, semalam.

Wan Harriz menewaskan 13 peserta lain dalam kategori berkenaan yang menghimpunkan 14 peserta dari tiga negara iaitu Malaysia, Arab Saudi dan Kyrgyzstan.

Lebih manis, kejayaan tersebut membuka laluan buatnya untuk melangkah ke World Final Hippo English Without Borders di Spoleto, Itali, yang dijadualkan berlangsung dari 28 September hingga 1 Oktober depan.

Wan Harriz lalui dua pusingan, saingi 93,000 murid

Kejayaan di Doha bukan hadir dalam sekelip mata. Sebelum memperoleh tiket ke Qatar, Wan Harriz terlebih dahulu perlu melepasi dua pusingan kelayakan pertandingan yang secara keseluruhannya membabitkan kira-kira 93,000 murid dari seluruh dunia.

Dia juga menjadi satu-satunya wakil SK Tasek Utara yang berjaya mara ke peringkat Play-Off Qualifier di Qatar. Play-Off Qualifier tahun ini diadakan di tiga lokasi berbeza iaitu Doha, United Kingdom (UK) dan Romania.

Sebelum pertandingan pada 8 Ogos, Wan Harriz turut mengikuti Hippo Summer Camp yang menyediakan kelas persediaan selain memberi peluang kepada peserta berinteraksi dan menjalani pelbagai aktiviti bersama kanak-kanak dari negara lain.

Ujian sebenar kemudian berlangsung menerusi format bertulis yang antaranya mengandungi soalan terbuka dan silang kata. Di sebalik keputusan membanggakan itu, perjalanan Wan Harriz ke Doha sebenarnya penuh dugaan.

Influenza, penerbangan ditunda dan keletihan

Beberapa hari sebelum berlepas, Wan Harriz dijangkiti influenza sehingga penerbangannya terpaksa dijadualkan semula.

Setibanya di Doha, tubuh kecilnya masih dalam proses pemulihan. Dia pada masa sama perlu berdepan jet lag serta keletihan akibat perjalanan dan jadual pertandingan sehingga pernah menangis kerana terlalu penat.

Namun, Wan Harriz tetap meneruskan perjuangan. Ibunya, Nur Saliha Ali Shastry, 34, yang berada di sisinya sepanjang perjalanan itu menyifatkan pengalaman berkenaan cukup bermakna kerana ia bukan sahaja pertandingan antarabangsa pertama anaknya, malah merupakan kali pertama Wan Harriz menaiki kapal terbang dan menjejakkan kaki ke luar negara.

“Sebagai ibu, setiap pencapaian anak sesuatu yang sangat bermakna. Terima kasih atas sokongan luar biasa semua. Kemenangan ini untuk semua yang percaya kepada impiannya,” katanya.

Bagi keluarga berkenaan, kemenangan itu juga menjadi penutup manis kepada satu lagi cabaran besar yang hampir menyebabkan Wan Harriz tidak dapat berada di Doha sama sekali.

Hampir terkubur kerana kekangan kewangan

Sebelum ini, Nur Saliha yang juga suri rumah dan suaminya, Wan Abdul Qayyum Wan Mahadi, 34, seorang pemandu bas, hampir membatalkan rancangan menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu ke Qatar kerana kekangan kewangan.

Namun impian Wan Harriz mendapat perhatian pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tasek Utara. Usaha mengumpul dana kemudian digerakkan bagi membantu menampung kos perjalanan dan perbelanjaannya ke negara Timur Tengah itu.

 

Sokongan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila Wan Harriz bukan sekadar berjaya sampai ke Doha, malah pulang membawa gelaran juara. Sepanjang berada di Qatar, keluarga itu turut menerima bantuan dan layanan baik daripada komuniti rakyat Malaysia di sana yang membantu mereka sejak tiba di lapangan terbang sehingga ke tempat penginapan.

Belum sempat meraikan kejayaan sepenuhnya, satu lagi misi besar sudah menanti Wan Harriz.

Kemenangan di Qatar melayakkannya berentap dengan peserta terbaik pada World Final di Spoleto, Itali, kurang dua bulan lagi. Namun seperti perjalanan ke Doha, faktor kos sekali lagi menjadi cabaran utama keluarga itu.

Dengan tempoh persediaan yang singkat, keluarga Wan Harriz kini bercadang mendapatkan sokongan kerajaan, agensi berkaitan serta syarikat korporat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan bakat kanak-kanak Malaysia.

Daripada seorang murid sekolah rendah di Johor Bahru yang hampir terpaksa melupakan peluang bertanding kerana kekangan kewangan, Wan Harriz kini hanya selangkah lagi daripada pentas akhir dunia.

Doha sudah menjadi saksi bahawa peluang yang diberikan kepadanya tidak disia-siakan. Kini, Spoleto pula menanti anak Malaysia berusia 10 tahun itu.

Sumber : Harian Metro, Threads salihashastry

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Published by
Darwisy