
Terbaru, bapa kepada pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang maut dipercayai dirempuh kenderaan yang dipandu guru wanita di hadapan surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas tampil memaafkan individu terbabit dan memilih untuk menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Menurut Mohd Azaudin Abdullah (43) sebagai seorang bapa, beliau menerima ketentuan yang berlaku dengan hati terbuka dan tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak.
“Sebagai bapa, saya memaafkan guru berkenaan dan selebihnya saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Artikel Berkaitan: Pelajar Tingkatan Satu Maut Dirempuh Kereta Di Hadapan Surau Dalam Kawasan Sekolah
Artikel Berkaitan: Tragedi Depan Surau Sekolah, Guru Dipercayai Tertekan Minyak Direman
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dilaporkan maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di hadapan surau sekolah, manakala seorang lagi pelajar yang turut terlibat mengalami kecederaan parah.
Mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan berada dalam keadaan serius.
Mohd Azaudin yang juga bapa kepada empat cahaya mata berkata, beliau dan keluarga reda dengan pemergian anaknya selain memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.
“Malah ketika berada di lokasi semalam pun sebaik melihat jasad anak terbujur kaku, saya hanya bertanya siapa yang melanggar anak saya dan guru berkenaan mengaku bahawa dia yang melanggar Fatimatul Hawa”
“Namun saya tidak berkata apa-apa termasuk memarahi dan sebagainya sebaliknya hanya berdiam diri,” ujarnya lagi.
Sementara itu, guru wanita berusia 57 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Difahamkan, majlis tahlil untuk mangsa akan diadakan di surau berdekatan kediaman keluarga di Kampung Chepa pada malam ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.