Hiburan

Bang Chan Stray Kids Kalahkan RM BTS & G-Dragon, Kini No.2 Tertinggi KOMCA!

Share

Baru-baru ini, dunia K-Pop sekali lagi dikejutkan dengan pencapaian terbaru penyanyi, produser serta ketua kumpulan Stray Kids, Bang Chan, yang berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam industri muzik Korea Selatan dengan kemampuan luar biasa apabila jumlah kredit penulisan dan komposisi lagunya kini melonjak ke angka yang mengagumkan.

Difahamkan, setakat 20 November, Bang Chan atau pemilik nama sebenar Christopher Chahn Bahng (28) telah mendaftarkan beberapa lagu baru daripada album terkini Stray Kids berjudul “SKZ IT TAPE: DO IT”.

Menerusi penambahan itu, beliau kini mengumpul sebanyak 233 kredit di bawah organisasi Korea Music Copyright Association (KOMCA), sekaligus mengukuhkan reputasinya sebagai antara idola paling produktif dalam generasinya.

Kedudukan kredit terkini KOMCA

Pada masa yang sama, pencapaian itu turut mengangkat Bang Chan ke kedudukan kedua sebagai ‘Idola Paling Terkenal Sepanjang Zaman’ dalam senarai KOMCA. Lebih menarik, beliau juga merupakan idola generasi keempat dengan jumlah kredit tertinggi, selain menjadi yang termuda pernah menembusi kelompok tiga teratas.

Di samping itu, kedudukannya kini hanya dibelakang Ravi daripada VIXX yang kini di tempat pertama, menjadikan Bang Chan salah seorang pemuzik K-Pop paling berpengaruh yang menghasilkan karya sendiri. Populariti dan kemampuan kreatifnya terus diiktiraf bukan sahaja oleh peminat, tetapi juga dalam kalangan penggiat industri muzik.

Selain itu, Stray Kids sendiri bukan calang-calang kumpulan apabila dua lagi ahli trio produser 3RACHA iaitu Changbin dan Han turut tersenarai dalam 10 Teratas KOMCA. Changbin kini mengumpul 198 kredit, meletakkannya di kedudukan keenam, manakala Han dengan 191 kredit berada di kedudukan kelapan serta merupakan individu termuda dalam senarai.

Kedudukan ini sekaligus meletakkan Stray Kids sebagai satu-satunya kumpulan K-Pop generasi keempat yang mempunyai tiga ahli serentak tersenarai dalam kalangan idola paling diiktiraf dalam industri. Sejak debut pada 2018, mereka kekal konsisten dengan identiti sebagai kumpulan yang benar-benar menghasilkan muzik sendiri.

Trio produser 3RACHA

Sementara itu, pelancaran album “SKZ IT TAPE: DO IT” pada 21 November lalu menandakan satu lagi pencapaian penting buat kumpulan ini, terutama dengan pengaruh 3RACHA yang terus berkembang pesat. Kehadiran mereka sebagai produser muda semakin mencorak hala tuju muzik K-Pop moden.

Intihanya, dengan rentak inovatif dan kreativiti tidak berpenghujung, Stray Kids kini berdiri kukuh sebagai antara kumpulan paling berdikari dan berpengaruh dalam dunia K-Pop, sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih dan identiti muzik tersendiri sentiasa menjadi formula kejayaan mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE