Bahaya Makan Papadom, 3 Penyakit Kronik Menanti Jika Anda Penggemarnya

Share

Papadom, memang enak bila dimakan bersama nasi kandar atau pun nasi briyani. Keropok ini sememangnya sinonim dijual di kedai-kedai mamak dan tidak sah tidak memakannya. Rasanya yang agak enak membuatkan papadom diterima sebagai penambah selera ketika menikmati nasi mamak!

Tapi pada penggemarnya, selepas ini, kenalah berhati-hati ya. Ini kerana ujian makmal yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati papadom sebenarnya sangat bahaya jika dimakan dalam kadar banyak.

Papadom antara keropok yang biasa dimakan dengan nasi setiap kali ke kedai mamak

Penggemar kerepek rangup yang dikenali sebagai papadom dinasihatkan agar mengurangkan pengambilannya kerana kandungan garam yang tinggi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, dalam ujian makmal yang dijalankan ke atas 11 sampel papadom, kesemuanya mengandungi lebih 1,000mg/100 gram garam.

Menurutnya, empat daripada sampel tersebut mengandungi lebih 2,000mg/100 gram garam.

“Pengambilan papadom yang banyak dalam makanan akan menyebabkan kandungan garam dalam badan tinggi. Ia akan menyebabkan tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

“Sekeping papadom mengandungi 260 mg garam. Bayangkan jika satu hidangan, anda mengambil lima keping papadom, maknanya kandungan garam yang diambil adalah 1,300mg,” katanya kepada media tadi.

Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendapati selepas ujian makmal dilakukan, papadom mengandungi garam yang tinggi

Jelasnya, walaupun papadom boleh dianggap tidak memudaratkan, pengambilan berlebihan akan menyebabkan sembelit dan perut berangin.

Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan menetapkan kadar garam dalam papadom agar pengambilan perasa itu dapat dikawal.

So korang, janganlah setiap kali makan nasi mamak, korang hentam ini ya, kalau dah sakit, nanti diri sendiri yang merana.

 

 

IKLAN