
Nama Azri Khair mungkin pernah mencuri tumpuan sewaktu menyertai pencarian Hero Remaja 2020, namun kini finalis berbakat itu kembali mencuri perhatian apabila sah menandatangani kontrak bersama syarikat produksi tersohor tanah air, Metrowealth International Group (MIG).
Bercakap kepada Remaja, Azri meluahkan rasa syukurnya kerana perjalanan seni yang dimulakan dari Majalah Remaja kini kembali kepada akar yang membesarkannya dalam dunia hiburan.
“Boleh dikatakan perjalanan seni saya bermula dengan Majalah Remaja. Sebelum Hero Remaja, saya bermula dengan pencarian model untuk cover Majalah Remaja tujuh tahun lepas ketika saya berusia dalam lingkungan 21 tahun.
“Itulah permulaan saya menjejakkan kaki dalam industri seni dan Remaja sangat dekat di hati saya,” katanya.
Menurut Azri, minatnya terhadap dunia lakonan berkembang lebih mendalam selepas menyertai Hero Remaja. Malah, dia menganggap program realiti itu sebagai pencetus utama yang membentuk jati dirinya sebagai anak seni.
“Alhamdulillah dengan Hero Remaja, minat saya terhadap seni lakonan semakin mendalam sebaik sahaja tamat rancangan tersebut.
“Hero Remaja memanusiakan saya kerana program ini developt lakonan dan minat saya dalam seni. Orang ingat saya hilang selepas tamat rancangan realiti ini, tapi saya ada kerana semangat saya ada sebagai anak seni,” ujarnya jujur.
Pelakon berusia 28 tahun itu memilih untuk memulakan fasa baharu dalam kerjaya lakonannya bersama Metrowealth kerana yakin dengan kredibiliti syarikat produksi itu yang telah melahirkan ramai bintang terkenal tanah air.
“Saya memilih untuk melanjutkan kontrak bersama syarikat produksi Metrowealth kerana syarikat ini sudah terbukti berjaya membina kerjaya ramai selebriti tanah air seperti pelakon popular Shaheizy Sam dan Farid Kamil.
“Jadi, saya harapkan pada masa hadapan saya dapat mencapai tahap lakonan yang bagus seperti kedua figura tersebut.
“Tambahan lagi, syarikat ini amat aktif di media sosial, jadi dengan segala usaha yang diberikan oleh kru produksi dalam syarikat ini, saya percaya ia membawa kepada rezeki dan kejayaan. Insya-Allah,” katanya lagi.
Aktor berasal dari Shah Alam, Selangor itu turut berkongsi rasa hormatnya terhadap pengarah dan penerbit tersohor, David Teo yang juga merupakan pengasas MIG.
“Pendapat saya mengenai pengarah dan penerbit hebat, David Teo ialah dia bakal menjadi leader saya yang bagus.
“Saya amat hormat beliau dan kru produksi Metrowealth kerana mereka sangat profesional dalam bekerja,” dedahnya.
Azri mengakui cabaran terbesar yang dihadapinya dalam dunia seni bukanlah pesaing atau keadaan industri, tetapi dirinya sendiri.
“Persaingan dan cabaran terbesar saya dalam industri seni ini adalah diri saya sendiri.
“Kerana setiap hari saya berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi seorang pelakon yang bagus, itulah objektif berbesar saya,” katanya.
Biarpun rakan seperjuangannya dalam Hero Remaja kini sudah menempa nama, Azri tidak pernah merasa iri hati malah melihat itu sebagai rezeki masing-masing.
“Bagi sebaris dengan saya ketika Hero Remaja sebelum ini, saya tidak anggap ia pesaing kerana itu rezeki mereka kerana sudah berada di tahap mereka sekarang.
“Saya tidak rasa cemburu mahupun iri hati. Itu rezeki mereka, jadi saya percaya pada rezeki yang telah ditetapkan Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azri turut merakamkan penghargaan kepada guru teater yang telah banyak membantu menggilap bakatnya.
“Tidak lupa juga, saya ingin memberi penghargaan buat guru teater saya yang telah banyak developt bakat lakonan saya untuk menjadi lebih hebat,” katanya tulus.
Azri juga sempat menyentuh mengenai hubungan rapatnya dengan Imran Aqil, rakan Hero Remaja yang banyak memberikannya dorongan sejak dari awal.
“Rakan Hero Remaja saya, Imran Aqil banyak memberi nasihat dan pengetahuan yang dia ada sejak dalam program itu lagi.
“Apa yang saya lihat, Imran dah ada matlamat yang ingin dicapai sejak berada dalam Hero Remaja lagi,” jelasnya.
Menutup perbualan, Azri menyatakan hasratnya agar penonton mula mengenali dirinya melalui hasil kerja, bukan sekadar populariti semata-mata.
“Saya berharap penonton di luar sana akan nampak saya atas kerja saya di kaca televisyen, tiada benda lain lagi yang saya harapkan buat penonton.
“Saya harap penonton suka dengan kerja saya dan saya harap saya boleh berikan yang terbaik buat mereka.
“Insya-Allah, projek lakonan saya semuanya dalam susunan lagi. Moga banyak projek yang saya boleh lakukan di masa hadapan buat penonton,” ujar Azri penuh harapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.