
Bermula sekadar aktiviti mengisi masa ketika pandemik COVID-19, siapa sangka permainan catur akhirnya membawa Ainul Mardhiyah Mohd Afif ke pentas SUKMA dan muncul sebagai antara atlet muda paling menyerlah tahun ini.
Pada usia baru 16 tahun, atlet catur Johor itu muncul antara atlet paling menyerlah di SUKMA Selangor 2026 selepas mencipta pencapaian luar biasa dengan menyapu bersih tiga pingat emas daripada kesemua acara individu yang disertainya.
Ainul mengungguli acara standard individu wanita, rapid individu wanita dan blitz individu wanita, sekali gus melengkapkan kempen cemerlangnya dengan tiga emas.
Namun di sebalik kejayaan tersebut, perjalanan Ainul Mardhiyah dalam dunia catur sebenarnya bermula bukan kerana mengejar pingat atau mahu bergelar atlet autisme.
Segalanya bermula ketika pandemik COVID-19 apabila bapanya memperkenalkan permainan catur kepada Ainul sebagai salah satu aktiviti untuk mengisi masa.
Ketika itu, Ainul sering berdepan rasa cemas selain mengalami kesukaran untuk melakukan beberapa tugasan harian. Catur kemudian menjadi salah satu ruang buat dirinya memberi fokus, mengurus emosi dan perlahan-lahan membina keyakinan diri.
Siapa sangka, daripada sebuah permainan yang diperkenalkan ketika berada di rumah, Ainul akhirnya menemui bakat yang bakal membawanya jauh dalam arena kompetitif.
Kemampuannya di papan catur berkembang pantas sehingga pada usia 13 tahun, Ainul Mardhiyah sudah berjaya bergelar juara wanita kebangsaan pada 2023.
Pencapaian tersebut turut membuka peluang buatnya membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila beraksi di Kejohanan Catur Remaja Dunia di Itali.
Daripada bermain untuk mengisi masa kepada mewakili negara, perkembangan itu memperlihatkan bagaimana bakat yang pada awalnya ditemukan secara tidak sengaja akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar dalam kehidupan Ainul.
Nama Ainul Mardhiyah kemudian semakin mendapat perhatian apabila tampil di SUKMA Sarawak 2024.
Dalam penampilan tersebut, dia berjaya menghadiahkan pingat emas menerusi acara rapid individu wanita, memberi petanda bahawa atlet muda itu mempunyai potensi besar untuk terus menyerlah.
Dua tahun kemudian, Ainul kembali ke pentas SUKMA dengan pencapaian yang jauh lebih besar.
Bukan sekadar mempertahankan reputasinya dalam acara rapid, dia turut menguasai dua lagi disiplin catur untuk membawa pulang keseluruhan tiga pingat emas di SUKMA Selangor 2026.
Kejayaan dalam ketiga-tiga acara individu itu juga memperlihatkan kemampuan Ainul menyesuaikan permainannya mengikut format pertandingan yang berbeza. Standard, rapid dan blitz menuntut pengurusan masa serta pendekatan permainan yang berbeza, namun ketiga-tiganya berjaya ditamatkan dengan pingat emas.
Daripada seorang kanak-kanak autisme yang diperkenalkan kepada catur bagi membantunya menangani rasa cemas, Ainul Mardhiyah kini berdiri sebagai seorang atlet yang mampu bersaing dan mencipta kejayaan di pentas temasya sukan negara.
Lebih daripada kisah mengenai pingat, perjalanan Ainul turut memperlihatkan bagaimana sukan boleh menjadi ruang inklusif untuk seseorang mengenali potensi diri.
Catur bukan sahaja menemukan dirinya dengan sebuah bakat, malah membuka ruang untuk dia berada setanding dengan atlet-atlet lain tanpa membiarkan autisme menjadi penghalang kepada apa yang mampu dicapainya.
Bagi Ainul Mardhiyah, perjalanan yang bermula ketika pandemik kini sudah membawanya daripada pertandingan kebangsaan ke kejohanan antarabangsa, sebelum mencipta satu lagi pencapaian membanggakan menerusi tiga emas di SUKMA.
Tiga pingat emas mungkin menjadi pencapaian terbaharunya, tetapi pada usia baru 16 tahun, perjalanan Ainul Mardhiyah di papan catur nampaknya masih panjang.
Sumber : Stadium Astro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.