Aril Eles, Daripada Penyanyi TikTok Ke Pentas Raise The Star MY, Dianggap Salah Seorang Peserta ‘Underdog’

Share

Daripada bergelar seorang guru sekolah rendah di Lembah Klang kepada peserta pentas realiti Raise The Star Malaysia (RTSMY), perjalanan seni Aril Eles bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun berbekalkan bakat, semangat serta keinginan untuk belajar; anak jati Kuala Kurau, Perak ini semakin mendapat perhatian dalam industri muzik tanah air terutama dengan penglibatannya dalam program realiti ini.

BACA: RTSMY: Zuana Akur Teguran Ajai, Kini Lebih Bersedia Hadapi Minggu Seterusnya

“Sebelum saya bergelar sebagai peserta RTSMY, saya seorang guru sekolah rendah sepenuh masa. Minat menyanyi dikongsi bersama adik-beradik yang lain.”

Minat Aril dalam bidang nyanyian bukanlah muncul secara tiba-tiba. Bermula sejak zaman kanak-kanak lagi, penglibatan Aril dalam bidang nyanyian turut mendapat sokongan keluarga di sekeliling.

“Minta itu timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi. Bukan saya sahaja tetapi adik-beradik yang lain juga menunjukkan minat ke arah bakat yang sama.

“Saya masih ingat lagi, arwah bapa meminta saya menyertai pertandingan karaoke ketika darjah empat dan sejak detik itulah saya sertai banyak program nyanyian sehingga sekarang,” kongsi Aril lagi.

Mental Sudah Bersedia

Bagi Aril, kecaman dan komen yang hadir daripada netizen bukanlah satu perkara baru. Namun dia memilih untuk mengambil pendekatan yang lebih terbuka terhadap setiap kritikan.

“Bila waktu senggang dan masa untuk ‘me time’ di rumah, waktu itulah saya ada masa untuk melayari media sosial. Saya dah ‘get ready’ secara mental untuk segala jenis komen.

“Saya selalu mengingatkan diri untuk terima apa saja komen yang dilontarkan kepada kita kerana komen-komen sedemikian boleh menaikkan semangat saya untuk menjadi lebih baik dalam bidang nyanyian,” ujarnya penuh yakin.

Namun, tidak semua komen yang diterima bersifat membina. Aril sendiri tidak terlepas daripada menerima komen negatif yang menjurus kepada aspek penampilan fizikalnya.

“Jika nak kata mengenai komen negatif yang saya dapat, banyak juga yang saya terima tapi bukan yang menyentuh tentang nyanyian. Tapi mereka banyak menyentuh mengenai penampilan.

“Ada yang saya boleh ketepikan sahaja tapi ada juga yang boleh menguji kesabaran. Saya baca tetapi saya tak simpan dalam hati dan saya lupakan. Saya ambil komen-komen itu untuk perbaiki diri saya, InsyaAllah,” tambahnya tenang.

Untuk pengetahuan korang, Aril bukanlah nama asing di platform digital sebelum penyertaannya dalam RTSMY. Menerusi platform TikTok, beliau aktif berkongsi konten nyanyian malah pernah berduet dengan penyanyi terkenal dari Indonesia, Fadhilah Intan

. Dari situ, Aril berjaya menambah pengikut baharu dan semakin ramai yang mula berminat untuk menonton persembahannya.

“Sebelum saya cuba RTSMY ini, saya pernah juga mencuba uji bakat Big Stage dan rancangan realiti lain yang pernah Astro anjurkan.

“Saya  berminat untuk mengetahui sejauh mana tahap nyanyian saya dengan menyertai pertandingan realiti. Bukan itu sahaja, saya ambil peluang ini untuk mendalami lagi ilmu lontaran vokal yang lebih terperinci. Saya belum pernah lagi mengikuti mana-mana kelas formal dan secara tidak langsung, RTSMY sebagai platform untuk mengasah kemahirannya,” ujarnya.

Menutup bicara, Aril meluahkan rasa syukur di atas peluang yang diberikan kepadanya menerusi RTSMY.

“Bila dapat jejakkan kaki di pentas sebesar RTSMY, saya sangat bersyukur kerana inilah impian saya selama ini. Sampai bila kita nak berada di media sosial saja kan… ‘why not’ kita sertai rancangan realiti sebenar. Saya harap ini adalah permulaan kepada perjalanan yang indah untuk saya bertapak dalam industri nyanyian tanah air,” simpulnya.

Saksikan Raise The Star Malaysia secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria atau strim hanya melalui Astro One dan sooka

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Fath