Apabila empati hilang, remaja biadab beri gelandangan nasi tulang ayam semata-mata untuk dijadikan bahan jenaka di media sosial. Inilah realiti pahit yang sedang berlaku dalam kalangan segelintir anak muda hari ini — terlalu mengejar perhatian sehingga hilang nilai kemanusiaan.
Baru-baru ini, tular sebuah video pendek memaparkan sekumpulan remaja lelaki yang memberi bungkusan nasi berisi tulang ayam goreng kepada seorang lelaki gelandangan. Klip tersebut yang berdurasi kurang seminit menunjukkan mereka menikmati ayam goreng dari restoran makanan segera, sebelum memasukkan sisa tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada gelandangan itu. Lebih menyayat hati, mangsa yang tidak tahu-menahu diperlakukan begitu tetap mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Tiga remaja menikmati hidangan ayam goreng sebelum meletakkan tulang dalam bungkusan nasi sebelum diberikan kepada seorang gelandangan.
Konten Murahan, Hina Golongan Terpinggir
Apa yang lebih mengejutkan dan menjijikkan, di hujung video berkenaan, remaja tersebut merakam pula aksi memberi ayam goreng sebenar kepada seekor anjing dengan kapsyen sinis: “Kita perlu belajar membuat kerja kebajikan untuk membantu orang lain.” Walaupun video tersebut telah dipadamkan, ia telah pun tersebar luas dan mengundang kecaman hebat daripada netizen.
Ramai menyifatkan perbuatan itu bukan sahaja tidak beradab, malah jelas menunjukkan sikap menghina golongan miskin dan tidak bernasib baik. Lebih menyedihkan, semuanya dilakukan demi konten — demi tontonan dan ‘likes’ di media sosial.
Pendakwah Tampil Tegur, Ingatkan Nilai Islam
Ads
Pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung turut mengecam keras tindakan remaja berkenaan. Menurut beliau, perbuatan itu adalah satu bentuk penghinaan terhadap insan yang memerlukan, dan langsung tidak mencerminkan ajaran Islam.
“Selepas ini minta maaf, selesai. Inilah yang berlaku apabila menyalahgunakan akal yang ALLAH SWT kurniakan demi konten. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin, tetapi Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin,” tegasnya.
Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) turut menyeru agar orang ramai tidak menyalahkan mana-mana kaum secara umum kerana ini adalah tindakan individu, bukan mewakili sesebuah bangsa.
Ads
Bila Remaja Hilang Rasa Ihsan
Kejadian ini memberi gambaran jelas bagaimana segelintir remaja hari ini hilang arah dalam memahami erti sebenar belas ihsan dan hormat terhadap sesama manusia. Dalam dunia digital yang pantas ini, empati bukan lagi keutamaan — yang penting ialah siapa lebih viral, siapa lebih ‘trending’.
Bungkusan nasi dipercayai bersama tulang diserahkan kepada seorang gelandangan.
Sebagai remaja, kita perlu sedar bahawa setiap tindakan mencerminkan nilai diri. Gelandangan bukan bahan eksperimen atau jenaka. Mereka manusia seperti kita, yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup. Jika tidak mampu membantu, jangan pula kita menjadi penyebab luka mereka bertambah parah.
Gunakan Media Sosial Dengan Bijak
Ads
Platform digital bukan medan untuk menghina, sebaliknya ruang untuk menyebarkan kebaikan. Jadilah remaja yang bijak membezakan antara konten yang membina dan yang menjatuhkan maruah orang lain. Hentikan budaya memperlekeh dan mengejek orang susah demi populariti.
Kejadian remaja biadab beri nasi tulang ayam kepada gelandangan ini seharusnya membuka mata semua pihak. Nilai empati dan rasa hormat perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi. Bukan semua konten layak dijadikan hiburan, lebih-lebih lagi jika melibatkan penghinaan terhadap insan lain.
Remaja yang beradab bukan hanya celik teknologi, tetapi juga celik hati. Kembalilah kepada nilai murni bantu jika mampu, hormat jika tak mampu bantu. Itulah erti menjadi manusia sebenar.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pendidikan Percuma OKU IPTA Berkuat Kuasa Serta-Merta
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan pendidikan percuma OKU IPTA kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti, berkuat kuasa serta-merta. Inisiatif ini melibatkan kira-kira 3,000 pelajar OKU dan dilihat sebagai satu langkah progresif dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih adil serta inklusif.
Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menangani jurang pendidikan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan golongan berkeperluan khas yang sering berdepan kekangan fizikal, kewangan dan sokongan sosial untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Komitmen Kerajaan Terhadap Kebajikan Pelajar OKU
Perdana Menteri menjelaskan bahawa pelaksanaan pendidikan percuma OKU IPTA ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan tambahan. Pelajar OKU, menurut beliau, sering berhadapan pelbagai cabaran unik yang memerlukan dasar khusus dan sokongan berstruktur.
Keputusan ini bukan sekadar dasar kewangan, tetapi mencerminkan prinsip keadilan sosial yang menjadi teras kepada pembangunan negara. Pendidikan dianggap sebagai hak asas yang tidak seharusnya dinafikan hanya kerana kekangan fizikal atau keadaan sosioekonomi.
Melengkapkan Dasar Pendidikan Percuma Negara
Menurut Perdana Menteri, inisiatif pendidikan percuma OKU IPTA ini melengkapkan pengumuman terdahulu pada Oktober lalu apabila kerajaan memperkenalkan skim pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Skim tersebut memberi manfaat kepada hampir 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan peruntukan tahunan berjumlah RM120 juta.
Beliau menegaskan bahawa perancangan untuk meluaskan akses pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang bersifat sementara, sebaliknya telah dirangka sejak awal pelaksanaan dasar pendidikan negara sebagai pelaburan jangka panjang kepada pembangunan modal insan.
Akses Pendidikan Percuma Dari Peringkat Awal
Ketika ini, pendidikan percuma telah dilaksanakan secara menyeluruh dari peringkat Darjah Satu hingga Tingkatan Enam. Selain yuran persekolahan, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan sokongan termasuk elaun khas, bantuan kebajikan serta peruntukan pembelian buku dan kelengkapan pembelajaran.
Pendekatan menyeluruh ini bertujuan memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara agar mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa tekanan kewangan yang berlebihan, selari dengan matlamat pembangunan pendidikan nasional.
Fokus Kepada Budaya Membaca & Kualiti Pembelajaran
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan memperkukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar dan pendidik. Antara langkah yang diambil termasuk penyediaan peruntukan khas kepada guru bagi pembelian bahan bacaan tambahan yang lebih pelbagai dan berkualiti.
Langkah ini diambil susulan kebimbangan terhadap penurunan minat membaca yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut menjadi isu global. Sistem pendidikan yang berkesan, menurut beliau, perlu menggalakkan pembacaan kritikal dan meluas, bukan sekadar bergantung kepada buku teks semata-mata.
Pendidikan Sebagai Pemangkin Masa Depan Golongan OKU
Tambah Perdana Menteri, pembangunan bakat dan kualiti pembelajaran perlu disokong oleh ekosistem pendidikan yang inklusif serta menekankan pembinaan budaya ilmu dalam kalangan generasi muda. Pendidikan percuma OKU IPTA dilihat sebagai pemangkin utama untuk membolehkan golongan ini menyumbang secara aktif kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Inisiatif ini menghantar isyarat jelas bahawa golongan OKU tidak harus dipinggirkan daripada arus pembangunan negara. Sebaliknya, mereka perlu diberikan peluang sama rata untuk membina masa depan melalui pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan kerjaya profesional.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan pendidikan percuma OKU IPTA ini akan dimaklumkan oleh pihak berkaitan dari semasa ke semasa.
Terbaru, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali tampil menjelaskan bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 tidak hanya bergantung kepada penggunaan MyKad fizikal, namun sebaliknya akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran yang lebih fleksibel.
Menurut Datuk Armizan, rakyat tidak perlu risau jika menghadapi masalah menggunakan MyKad ketika membeli petrol bersubsidi kerana terdapat beberapa alternatif lain yang akan disediakan bagi memudahkan urusan tersebut.
Dalam pada itu, antara pilihan yang akan digunakan termasuklah aplikasi mudah alih yang sudah pun ditawarkan oleh syarikat minyak seperti Setel dan Shell App, yang membolehkan pengguna menikmati subsidi dengan lebih pantas dan mudah.
“Pengguna juga boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan meskipun kelayakan subsidi tetap disandarkan pada maklumat dalam MyKad, proses pembelian tidak akan terikat pada satu kaedah semata-mata.
Terdahulu, beliau hadir ke Konvensyen Mahasiswa Sabah yang berlangsung selama sehari dan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan kehadiran mahasiswa dari seluruh negeri.
Jelasnya lagi, kerajaan sudah membuat persiapan teliti sejak awal tahun ini bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan masalah besar kepada pengguna.
Langkah ini juga dijangka memberi manfaat kepada rakyat dengan sistem yang lebih teratur, adil serta tidak membebankan, selain mengelakkan situasi seperti beratur panjang di stesen minyak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Atlet negara, Wan Zarif Ikram kembali mengukir senyuman buat pasukan negara selepas tujuh (7) tahun apabila menuai pingat emas menerusi acara Masters lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, 22 Jun lalu.
Atlet berusia 17 tahun itu membuat penampilan kedua pada kejohanan berkenaan menumpaskan Jovi Ma dari Hong Kong (385 mata) setelah merekodkan keseluruhan 427 jatuhan pin, manakala pingat gangsa acara sama dimenangi rakan senegara, Ethan Damien Goh.
Wan Zarif yang merupakan atlet pelapis, mengakui turun dengan mentaliti juara membantu dirinya mengungguli podium di hadapan peminat sukan tenpin boling tanah air.
“Saya tak sangka sebab dari hari pertama kerja keras untuk acara individu tetapi tidak menjadi. Memang ada kekecewaan namun saya berjuang hingga ke akhirnya. Alhamdullilah hari ini, dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan”
“Selepas ini saya akan sertai Sukan Malaysia (SUKMA) dan menjadi wakil Terengganu. Saya sasarkan acara Single, All Events dan Masters”
Sementara itu, jurulatih skuad remaja kebangsaan, Alex Liew menyatakan rasa gembira apabila anak buahnya menyerlah dalam acara berkenaan yang kali terakhir dimenangi Tun Hakim pada edisi Kuching, Sarawak 2017.
“Kami ingatkan Wan Zarif untuk kekal tenang dan jangan terburu-buru. Dia melakukannya dengan baik dan saya gembira dengan keputusan keseluruhan. Saya kecewa dengan acara berpasukan sebelum ini sebab kita mempunyai masalah dan ini seperti membayar balik dengan dapatkan pingat emas,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menutup kempen edisi ke-23 dengan tiga emas, dua perak dan tiga gangsa.
Sebelum ini, Malaysia memenangi dua pingat emas menerusi acara All Events wanita yang diwakili Afiqah Kamilia Ali, selain atlet berusia 18 tahun itu membantu Intan Nor Edryana Nor Azliman, Nur Ainul Hayat Ad Nor dan Adelia Nur Irwan Syazalee menjuarai acara berpasukan wanita.
Dua pingat perak pula disumbang Intan Nor Edryana (All Events wanita) dan Malaysia B yang diwakili Amin Zulkarnain Zulkifli, Eldred Kho Yek Zhen, Muhammad Aiman Syahin dan Muhammad Aqil Faizal menerusi acara berpasukan lelaki.
Tiga pingat gangsa pula diperolehi menerusi Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Master lelaki serta Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi (individu wanita).
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kisah menyentuh hati Leong Kun Xuan yang berusia 10 tahun sanggup menderma sel stem demi menyelamatkan bapanya yang menghidap leukemia, sehingga meraih perhatian dan sokongan masyarakat.