Hiburan

Annie AllDay Project Kembali Sambung Pengajian Di Universiti Columbia, Buktikan Rehat Bukan Noktah Kerjaya K-Pop

Share

Baru-baru ini, anggota kumpulan K-Pop rookie AllDay Project, Annie atau nama sebenarnya Moon Seo-yoon (24) meraih perhatian para peminat apabila disahkan bakal kembali menyambung pengajian di Universiti Columbia, New York, tanpa menjejaskan kerjayanya dalam industri hiburan.

Menurut agensi pengurusan beliau, The Black Label dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Annie akan kembali ke universiti tersebut bulan ini bagi mengikuti semester musim bunga dan tempoh rehat kumpulan yang sedang berlangsung akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Annie untuk memberi tumpuan kepada pengajian sehingga Mei ini.

Pada masa yang sama, agensi itu menegaskan bahawa Annie masih akan terlibat dalam beberapa aktiviti luar negara terpilih, termasuk acara sesi ‘fan sign’ bersama peminat, selagi ia tidak mengganggu komitmen akademiknya.

Menerusi kenyataan sama, kepulangan Annie ke Universiti Columbia tidak bermaksud aktiviti AllDay Project secara berkumpulan akan dihentikan. Anggota kumpulan lain seperti Tarzzan, Bailey, Woochan, dan Youngseo akan menjalankan aktiviti individu masing-masing bagi memastikan kelangsungan kehadiran mereka dalam industri K-Pop.

Terdahulu, Annie telah mencuri perhatian peminat sejak tempoh sebelum debutnya lagi, bukan sahaja sebagai idola K-Pop baru, tetapi juga disebabkan latar belakang keluarganya yang berprofil tinggi (chaebol) dalam dunia korporat Korea Selatan.

Beliau merupakan cucu kepada Lee Myung-hee, pengerusi Shinsegae Group iaitu sebuah syarikat gergasi peruncitan, serta anak sulung kepada Chung Yoo-kyung, presiden syarikat tersebut. Statusnya sebagai pewaris chaebol juga adalah sesuatu yang jarang berlaku dan mendapat perhatian meluas selepas Annie mula mencipta nama sebagai anak seni dalam industri K-Pop.

Annie bersama anggota AllDay Project

Memetik laporan The Korea Times, Annie mengambil jurusan sejarah seni dan seni visual di Universiti Columbia, satu bidang yang mengukuhkan lagi imejnya sebagai artis kreatif berpendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, dengan gabungan latar belakang keluarga, pendidikan ‘Ivy League’ dan kerjaya sebagai idola K-Pop juga menjadikan Annie antara figura yang menjadi tumpuan dalam kalangan generasi milenial dan Gen Z, sekaligus meletakkannya sebagai simbol generasi baru sebagai seorang bintang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE