Hiburan

Annie ALLDAY PROJECT Minta Peminat Jangan Spam E-mel Kampus, Sukar Urus Hal Akademik

Share

Baru-baru ini, penyanyi yang sedang meningkat naik, Annie dari ALLDAY PROJECT tampil menyuarakan permintaan secara terbuka kepada para peminat agar tidak lagi menghubunginya menerusi alamat e-mel universiti miliknya, selepas maklumat tersebut diketahui umum susulan kepulangannya menyambung pengajian di Universiti Columbia.

Menerusi satu siaran langsung berjudul ‘Study With Me’, Annie atau nama sebenarnya Moon Seo-yoon (24) dilihat menyiapkan tugasan kuliah sambil berinteraksi secara santai bersama peminat. Dalam siaran tersebut, beliau mengambil kesempatan untuk menjelaskan situasi sebenar yang sedang dihadapinya.

Menurut Annie, walaupun beliau memahami betapa mudahnya maklumat seperti ID sekolah boleh ditemui di internet, kemasukan e-mel daripada peminat ke alamat e-mel kampus sebenarnya boleh menimbulkan kesukaran dalam urusan akademiknya.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa e-mel universiti tersebut digunakan khusus untuk menerima maklumat penting daripada profesor serta pihak pentadbiran kampus. Selain itu, lambakan mesej yang tidak berkaitan dengan pengajian menyebabkan beliau sukar menapis e-mel yang benar-benar penting terutama untuk urusan akademik.

BACA: Annie AllDay Project Kembali Sambung Pengajian Di Universiti Columbia, Buktikan Rehat Bukan Noktah Kerjaya K-Pop

Walau bagaimanapun, Annie bagaimanapun menegaskan bahawa semua mesej yang diterimanya dipenuhi dengan sokongan serta kata-kata yang baik daripada peminat. Namun, beliau menjelaskan bahawa mesej tersebut akan lebih mudah dibaca sekiranya dihantar melalui ‘Dayoff’, platform peminat rasmi ALLDAY PROJECT, atau saluran komunikasi lain yang lebih sesuai.

Susulan itu, dalam nada berhati-hati, Annie sekali lagi berharap para peminat dapat memahami situasinya dan menghormati permintaannya dengan tidak lagi menghantar mesej ke alamat e-mel universiti berkenaan.

Di samping itu, Annie turut menyentuh mengenai kemungkinan bertemu peminat di kawasan kampus. Katanya, beliau tidak keberatan untuk membalas sapaan secara bersemuka dengan mesra, namun memohon pengertian sekiranya terdapat waktu di mana beliau tidak berada dalam keadaan terbaik.

Sebelum mengakhiri perbualan dengan nada berseloroh, Annie menyarankan peminat agar belajar bersungguh-sungguh dan memohon masuk ke Universiti Columbia sekiranya ingin bertemunya. Malah, beliau sempat bergurau bahawa akan berkongsi nota kuliah sekiranya ada peminat yang berjaya diterima masuk ke universiti tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE