Anna Jobling Laris Di Indonesia, Dah 4 Projek Filem & Bergandingan Dengan Nama Besar

Share

Aktres jelita, Anna Jobling terus mencipta nama di seberang apabila kini sudah membintangi empat filem di Indonesia, termasuk karya terbaharu arahan Baim Wong berjudul Sukma.

Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling mengakui tidak pernah menyangka akan menerima begitu banyak tawaran berlakon di republik itu dan berpeluang bergandingan dengan nama besar industri perfileman mereka.

“Saya sebenarnya berdebar kerana masih dianggap ‘baby’ di sana. Saya sebolehnya mahu bawa nama Malaysia dengan baik di Indonesia.

“Saya mahu mereka lihat kita boleh berlakon dengan pengkarya di sana. Mereka sangat baik walaupun nama mereka besar. Saya dilayan macam kawan,” katanya kepada Remaja.

Filem Sukma yang baru selesai penggambaran turut dibintangi Luna Maya, Fedi Nuril dan Christine Hakim.

“Saya berada di Indonesia lebih tiga minggu dan baru balik. Saya tidak sabar tunggu tayangan filem ini,” katanya teruja.

Anna berkata, layanan yang diterima daripada pelakon dan kru di sana membuatkan dirinya lebih selesa menerima tawaran baharu.

“Saya pernah jumpa Christine pada majlis tayangan filem Lembayung sebelum ini. Apabila saya jumpa dia, saya cakap mahu bekerja dengannya suatu hari nanti.

“Alhamdulillah, saya dapat berlakon dengan Christine dalam Sukma walaupun saya tidaklah ada banyak ‘scene’.

“Christine adalah ibu yang sangat penyayang dan ‘caring’. Pernah kami ‘shoot’ jam 3 pagi, saya baring atas lantai, dia angkat kepala saya tidur atas pangku dia dan selimutkan saya,” ujarnya lagi.

Selain sibuk dengan projek di Indonesia, Anna turut mengakui dia mempunyai ramai sahabat di sana, termasuk pelakon dan penyanyi

Karel Susanteo.

“Saya ada ramai kawan di Malaysia dan Indonesia. Jadi, apabila saya pergi Indonesia untuk penggambaran atau acara, saya bertemu dan bertegur dengan ramai orang.

“Kami rapat dan saya akrab dengan semua kenalan di Indonesia. Kami sudah kenal lama, malah keluarga saling mengenali.

“Saya fikir tidak salah untuk saya berkawan sebab saya layak untuk bahagia. Tidak kisah dengan sesiapa pun sebab kerja ini sangat penat, jadi kawan dan keluarga buat saya gembira,” jelasnya.

Anna baru-baru ini dilihat menghadiri majlis resepsi pelakon Indonesia,

Amanda Rawles di Australia, di mana dia kelihatan mesra bersama Karel sehingga menimbulkan spekulasi hubungan rapat mereka.

Di Malaysia, Anna akan tampil dengan drama baharu bertajuk Setia Itu Mahal yang bakal disiarkan di TV3 tidak lama lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath