Aktres Hollywood, Angelina Jolie sekali lagi menggunakan platformnya untuk menyuarakan keprihatinan terhadap situasi di Palestin apabila berkongsi gambaran kemusnahan yang berlaku di Gaza selepas konflik berpanjangan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, bintang Maleficent itu memaparkan perbandingan keadaan sebelum dan selepas beberapa kawasan di Palestin dibedil, termasuk Rafah, Gaza dan Khan Yunis.
Menurut Jolie, paparan melalui Google Earth memperlihatkan perubahan ketara di kawasan terbabit yang kini dipenuhi kesan kemusnahan akibat peperangan.
Banyak Infrastruktur Musnah
Jolie berkata, kemusnahan yang berlaku bukan sahaja melibatkan kediaman penduduk, malah turut menjejaskan pelbagai kemudahan penting yang menjadi keperluan harian masyarakat.
“Seluruh kawasan kejiranan telah berubah menjadi timbunan runtuhan.
“Rumah, sekolah, universiti, hospital, jalan raya, sistem bekalan air dan infrastruktur yang menjadi tempat kebergantungan penduduk untuk meneruskan kehidupan telah rosak atau musnah,” katanya.
Beliau turut memetik analisis satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendapati sebanyak 82 peratus struktur di Gaza mengalami kerosakan setakat 16 Jun 2026.
Ads
“Apa Yang Berlaku Selepas Ini Amat Penting”
Bagi Jolie, imej satelit mungkin mampu menunjukkan skala kemusnahan yang berlaku, namun ia tidak dapat menggambarkan sepenuhnya pengalaman penduduk yang terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
“Google Earth menunjukkan kemusnahan fizikal itu dengan jelas dan luar biasa.
“Namun, situasi yang tidak dapat ditunjukkan adalah bagaimana rasanya hidup dalam keadaan kemusnahan, kehidupan keluarga yang terbunuh akibat peperangan dan bagaimana kehidupan mereka yang masih terselamat.
“Apa yang berlaku selepas ini amat penting. Penduduk memerlukan tempat perlindungan sebelum musim sejuk,” kata pelakon filem Maleficent itu.
Ads
Seru Bantuan Kemanusiaan Disegerakan
Dalam hantaran sama, Jolie turut menekankan keperluan untuk bantuan segera disalurkan kepada penduduk yang masih terselamat, khususnya dari segi makanan dan kemudahan asas.
“Bantuan kemanusiaan perlu disalurkan kepada orang awam pada skala yang diperlukan.
“Hospital memerlukan bekalan perubatan. Keadaan yang membolehkan orang awam membina semula rumah, sekolah, hospital dan komuniti mereka juga perlu diwujudkan.
Ads
“Kemusnahan itu dapat dilihat. Keperluan mereka juga perlu dikenal pasti dan dipenuhi untuk penduduk yang masih terselamat,” ujarnya.
Keprihatinan Jolie terhadap isu kemanusiaan di Gaza bukan perkara baharu.
Pada Januari lalu, beliau dilaporkan mengunjungi pintu sempadan Rafah di Mesir dan bertemu anggota Bulan Sabit Merah serta pemandu lori yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, menurut wartawan AFP.
Jolie sebelum ini turut mempunyai pengalaman lebih dua dekad bersama agensi pelarian PBB sebelum melepaskan jawatannya sebagai utusan khas pada akhir 2022.
Selepas itu, beliau menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan yang lebih meluas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka. Kes ini membuka mata ramai tentang isu keselamatan pelajar dan budaya diam dalam kalangan remaja.
Kejadian Mengejutkan Dalam Sekolah
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, keempat-empat pelajar terbabit direman selama enam hari bermula 11 hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, iaitu rogol secara berkumpulan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, S. R. Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Sabtu.
“Kes ini masih dalam siasatan lanjut dan semua suspek berusia 17 tahun merupakan calon peperiksaan SPM bulan depan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Insiden Dirogol Dalam Kelas Sendiri
Menurut laporan Sinar Harian, Siasatan awal mendapati, kejadian rogol bergilir-gilir itu berlaku sekitar jam 2.50 petang, 2 Oktober lalu di sebuah kelas di sekolah berkenaan.
Lebih mengejutkan, dua daripada suspek merakam perbuatan keji itu menggunakan telefon bimbit, sebelum video berkenaan tersebar dalam kalangan pelajar.
Kejadian terbongkar apabila ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah tentang video tersebut sebelum membuat laporan polis.
Mangsa, berusia 15 tahun, kini dipercayai sedang mendapatkan rawatan dan khidmat kaunseling susulan trauma akibat kejadian berkenaan.
Bila Tempat Belajar Jadi Tempat Trauma
Sekolah sepatutnya jadi tempat paling selamat untuk remaja menimba ilmu, tapi kes ini membuktikan masih wujud kegagalan dalam melindungi pelajar perempuan daripada jenayah seksual.
Lebih menyedihkan, pelaku bukan orang luar — tapi rakan sekolah sendiri.
Kes ini menimbulkan persoalan besar tentang:
•bagaimana sistem keselamatan sekolah dilaksanakan,
•sejauh mana pelajar faham tentang batas pergaulan dan consent,
•dan sejauh mana guru serta pihak sekolah peka terhadap tanda-tanda gangguan seksual di kalangan pelajar.
Isu Consent & Moral Awareness Dalam Kalangan Remaja
Dalam era digital sekarang, masih ramai remaja belum faham konsep “consent” (persetujuan).
Ramai anggap ia hanya isu orang dewasa, padahal kes rogol dalam kalangan pelajar menunjukkan kurangnya pendidikan seksual berasaskan hormat dan tanggungjawab.
Pendidikan tentang batas fizikal, komunikasi sihat dan empati perlu diajar awal — bukan hanya di rumah, tapi juga di sekolah.
Siasatan Masih Dijalankan
Polis Melaka mengesahkan siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta kesan penyebaran video berkenaan.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak terlibat.
Setiap pelajar berhak rasa selamat di sekolah, bukan takut masuk kelas.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Perodua baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka yang dikenali sebagai Perodua QV-E pada harga RM80,000 sekali gus menjadi pencapaian penting dalam usaha menyokong agenda nasional membangunkan ekosistem EV di negara ini. Pelancaran ini bukan sekadar pengenalan model baharu, tetapi satu detik sejarah yang menandakan kemajuan besar teknologi automotif tempatan.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sebuah pengiktirafan bahawa kehadiran Perodua QV-E bakal membuka lembaran baharu kepada industri mobiliti hijau negara.
Anwar: “Ini Bukan Sekadar Pelancaran EV, Ini Kepintaran Anak Tempatan”
Dalam ucapannya, Anwar tidak menyembunyikan rasa bangga terhadap kejayaan Perodua menyiapkan unjuran EV dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bila Tengku Zafrul mengusulkan hala tuju pada September 2023 untuk Perodua siapkan unjuran EV, saya sedikit gusar. Matlamat itu bercita-cita tinggi… mungkin tak cukup kemahiran tempatan. Tapi ini sangat membanggakan, bukan sahaja pelancaran EV, tetapi ia dihasilkan dengan kepintaran dan kegigihan anak tempatan.”
Kenyataan ini jelas memberi inspirasi besar kepada anak muda — bahawa Malaysia berpotensi menghasilkan teknologi bertaraf global, bukan sekadar menjadi pengguna ciptaan luar.
RM800 Juta Pelaburan & Kapasiti Pengeluaran Semakin Meningkat
Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad turut berkongsi bahawa pembangunan model Perodua QV-E melibatkan pelaburan sebanyak RM800 juta, dengan pemasangan dilakukan sepenuhnya di kilang terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.
Pada masa ini, Perodua menghasilkan 500 unit sebulan, namun angka itu dijangka meningkat kepada 3,000 unit sebulan menjelang suku ketiga 2026 — bukti keyakinan tinggi terhadap permintaan EV mampu milik di Malaysia.
Anwar melakukan gimik Majlis Peluncuran EV Pertama Perodua di Dewan Perdana MITI hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!
Spesifikasi Perodua QV-E: Jarak 445 KM, Bateri Tahan Lama & Ciri Keselamatan Pintar
Model ini hadir dengan spesifikasi yang mencuri tumpuan:
Bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 52.5 kW
Jarak pemanduan sehingga 445 km (NEDC)
Pengecasan lebih stabil dan tahan lama
Sistem keselamatan moden termasuk:
• Child Presence Detection (mengesan kanak-kanak tertinggal dalam kenderaan)
• Sistem bantuan pemandu pintar
• Kawalan kestabilan elektronik
Dengan jarak pemanduan melebihi 400 km, Perodua QV-E menjadi antara EV paling mampu milik dengan jangkauan tinggi di Malaysia. Sangat sesuai untuk kegunaan harian anak muda yang aktif dan bergerak dalam bandar.
Menandakan Era Baharu Mobiliti Hijau Buatan Malaysia
Pelancaran Perodua QV-E melambangkan permulaan kepada fasa baharu industri automotif negara. Ia membuka potensi besar dalam aspek seperti:
Pembinaan rangkaian pengecas EV di seluruh negara.
Perkembangan teknologi bateri tempatan.
Peluang pekerjaan baharu dalam bidang elektronik, automasi dan pembuatan pintar.
Mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil.
Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai antara hab EV terpenting di rantau Asia Tenggara.
Kesimpulan: Perodua QV-E Bukti Kuasa Inovasi Anak Malaysia
Bagi pembaca Majalah Remaja, Perodua QV-E bukan sekadar sebuah kereta baharu — ia satu simbol masa depan. Simbol bahawa generasi kini berada di tengah-tengah transformasi teknologi yang semakin maju, pintar dan lestari.
Dengan harga RM80,000, jarak pemanduan jauh, teknologi keselamatan moden dan pembabitan 100% tenaga tempatan, Perodua QV-E merupakan ‘game changer’ yang membuka ruang lebih luas untuk anak muda Malaysia menyertai gelombang EV global.
Inilah masa depan automotif negara. Dan ia bermula sekarang dengan Perodua QV-E, buatan anak Malaysia.
Pada era digital sekarang di mana frasa ‘content is king’ semakin popular dalam kalangan masyarakat, sesetengah daripada kita yakin untuk memuat naik sebarang kandungan tanpa memikirkan risiko di sebaliknya.
Jika ada antara korang perasan sejak kebelakangan ini, semakin ramai tenaga pengajar di sekolah yang memuat naik foto mahupun video memaparkan kertas soalan peperiksaan pelajar mereka sendiri yang dibiarkan kosong atau terisi dengan jawapan lucu dan salah.
Mungkin niat cikgu-cikgu tersebut adalah untuk berkongsi sesuatu yang berpotensi untuk tular di media sosial. Begitupun, budaya memuat naik jawapan pelajar ke dunia maya ini sebenarnya mengundang rasa bimbang terhadap kredibiliti seseorang guru itu sendiri dalam mendidik anak bangsa.
Perkara itu telah menarik perhatian pempengaruh muda tempatan, Zhiddin Aziz yang baru-baru ini menyeru agar guru-guru di Malaysia untuk menghentikan budaya tersebut.
Zhiddin Aziz merupakan alumni Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sepanjang bergelar penuntut di sana, Zhiddin turut berkhidmat secara separuh masa sebagai wartawan RTM dan menjadi pengacara bagi majlis-majlis rasmi.
“Saudara perasan tak sekarang bila ada kuiz, kemudian pelajar itu sekadar mengisi baris. Haa, guru itu pun ambil gambar kemudian muat naik dan menyatakan bahawa generasi Z dan alfa sekarang makin lemah padahal itu lumrah.
“Mana-mana generasi pun, mana-mana pelajar pun kalau tak boleh jawab soalan memang kita akan jawab saja apa yang kita tahu. Kadang-kadang, salin semula soalan. Bezanya, zaman kita itu tiada cikgu yang viralkan.
“Bukan apa, bila trend ini (jika) dibiar berulang, budak-budak rasa itu kelakar, rasa itu gemilang. Lalu mereka berani mengulang.
“Perkara itu lebih elok selesai di dalam bilik darjah. Adakah kita mengharapkan masyarakat internet akan mendidik? Tidak, mereka hanya mengherdik,” ulasnya.
Zhiddin, 22 yang juga merupakan anak kepada pengacara terkenal, Allahyarham Aziz Desa juga membuat perbandingan mengenai cabaran yang dihadapi oleh generasi sekarang berbanding generasi pelajar dahulu dan berpendapat setiap zaman mempunyai cabaran tersendiri.
“Zaman kita, mahu tidak mahu ada jadual kelas tambahan dan ada ujian memaksa untuk kita bertahan.
“Kalau nak dibuat perbandingan, saya rasakan zaman mereka lebih kuat kerana perlu hidup dengan menghadap bermacam-macam godaan. Kita pula lupa memotivasikan mereka sehingga generasi mereka jadi benar-benar lembik dan hilang kepercayaan diri,” tambahnya lagi.
Bagi penulis, tenaga pengajar seharusnya bertindak matang dalam mendidik para pelajar untuk memperbaiki kelemahan diri dan tidak menjadikan kelemahan tersebut sebagai sumber tularkan profil sendiri di alam maya atau kerana taksub mengejar ‘clout’.
Berfikirlah secara rasional agar nilai pendidikan kita menerusi peperiksaan yang dilangsungkan terus dipandang serius.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!