Berita

Anak Lelaki Amber Chia Mahu Teruskan Legasi Ibu, Berani Ceburi Dunia Model & Lakonan Seawal 15 Tahun

Share

Kemunculan seorang jejaka muda di samping supermodel tempatan, Amber Chia di pertunjukan fesyen jenama MAGlifestyle baru-baru ini telah memberikan kejutan kepada hadirin yang hadir. Siapa sangka, jejaka tinggi lampai itu merupakan anak remaja Amber sendiri yang dikenali sebagai Ashton.

Ketika ditemui REMAJA selepas acara berkenaan, Amber meluahkan rasa gembira apabila setelah 26 tahun berada dalam industri fesyen, akhirnya beliau kini dapat berjalan bersama-sama anak lelakinya di pentas peragaan.

“Saya sudah lama bekerjasama dengan MAGlifestyle, rasa sekurang-kurangnya untuk 15 tahun sudah.

“Sejak tahun lalu, MAGLifestyle telah mengeluarkan koleksi busana Tahun Baru Cina untuk seorang ibu gayakan bersama-sama anak lelaki atau anak perempuannya. Saya dan Ashton berkesempatan untuk terlibat dalam penggambaran kempen perayaan sebagai pasangan anak beranak.

“Tahun ini pula, we took it up a notch & kami diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam pertunjukan fesyen MAGlifetyle pula. Ini merupakan kali pertama kali melakukannya and I couldn’t be happier

,” ujarnya supermodel berusia 44 tahun itu.

Pertunjukan Fesyen MAGlifestyle Lunar 2026

Selain Amber dan Ashton, pertunjukan fesyen MAGlifestyle Lunar 2026 yang bertemakan ‘Sakura Bloom’ itu turut diserikan dengan pelbagai rekaan menarik untuk wanita dan lelaki yang inginkan busana istimewa bagi menyambut kehadiran ‘tahun kuda’ kali ini.

Kehadiran anak lelaki Amber Chia di acara berprestij itu nyata memberi sentuhan emosi dan simbolik, sekali gus memperlihatkan kesinambungan legasi dunia peragaan yang telah dibina Amber selama lebih dua dekad.

Pernah Jadi Model Sebelum Berhenti Seketika

Bercakap mengenai penglibatan Ashton sebagai seorang model, Amber berkongsi bahawa ini bukanlah kali pertama dia cuba memperkenalkan dunia fesyen kepada anaknya itu.

“Saya sudah mengajak Ashton untuk perlahan-lahan terlibat (sebagai seorang model) sejak kecil. Sampailah ketika berada di sekolah rendah, minat Ashton mulai luntur kerana tidak begitu gemarkan proses menunggu (persiapan solekan & dandanan).

“Kini pada usia 15 tahun, dia suarakan keinginannya untuk kembali ke dunia fesyen dan dunia hiburan kerana dia ingin menjadi seorang penghibur.

“Sebenarnya saya tidak kisah pun bidang apa yang ingin dia ceburi. Saya akan sokong asalkan dia tidak terlibat dengan elemen-elemen yang tidak bagus dan membahayakan,” luahnya yang juga sinonim dengan dunia lakonan.”

Cabaran Dunia Hiburan Zaman Kini

“Untuk menjadi penghibur di Malaysia pada zaman ini bagi saya lebih sukar. Offline di set perlu fokus, online di platform media sosial juga perlu aktif. Saya selalu ingatkan Ashton untuk selalu memikirkan jenis-jenis kandungan untuk media sosialnya.

“Kadangkala saya kena paksa dia juga (ketawa) tetapi harapnya dalam masa 1-2 tahun lagi, Ashton mampu menguruskan semua ini sendiri dan menjadi independent. Saya tidak lagi perlu menjadi ‘manager’ dia dan dia tidak perlu hidup di bawah bayang-bayang saya.”

I am sure one day, people will not see Ashton as ‘Amber Chia’s son’. Instead, people will look at me as ‘Ashton’s mother’ when he becomes more successful.”

“Sebagai seorang ibu, apa-apapun kita ingin melihat anak membesar dengan sihat, sejahtera dan menjadi seorang yang baik,” katanya sambil diperhatikan oleh Ashton.

Nasihat Amber Yang Ashton Paling Ingat

Dengan ketinggian dan usia yang masih muda, tentunya Ashton merupakan gambaran sempurna untuk seorang model lelaki. Menariknya, dia tidak melihat dunia peragaan sebagai satu-satunya cabang yang ingin diterokai. Sebaliknya, Ashton ingin sekali kembali ke pentas lakonan dan set penggambaran tidak lama lagi.

“Saya suka menyanyi tetapi sebagai kerjaya, saya memilih untuk berlakon. Sewaktu saya kecil, saya selalu menonton kelompok YouTubers yang mengeluarkan konten menarik dan pernah juga teringin menjadi seorang gamer.

Namun, semua itu kini sekadar hobi sahaja.

“Saya rasakan tahun 2026 adalah detik permulaan yang tepat untuk saya kembali ke pentas peragaan,” ujar remaja berkenaan. Saat diajukan tentang nasihat ibunya yang paling diingati, Ashton berkata, “Even if you mess up, do not show it and everything will be fine. Yakin sahaja dengan apa yang kita lakukan.”

Jauh sekali daripada berpaut kepada gelaran ‘nepotism baby’ yang merupakan trend popular dalam kalangan anak-anak kepada selebriti di seluruh dunia, REMAJA yakin Ashton bakal membina kerjayanya sendiri sambil meneruskan legasi Amber Chia yang bertahan selama ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ