Anak Kak KM Jawab Tuduhan Netizen, Jelaskan Kenapa Tak Kongsi Gambar Berpakaian Pramugari -“Boleh Saja, Tapi…”

Share

Anak kepada usahawan sensasi, Liana Rosli atau lebih mesra dikenali sebagai Kak KM, tampil memberikan penjelasan selepas dirinya menjadi perhatian netizen berhubung isu kerjaya sebagai pramugari.

Menerusi satu hantaran di Instagram, anaknya, Nabila Razman atau Bella, menjelaskan keputusan berhenti kerja bukanlah sesuatu yang dibuat tanpa pertimbangan. Sebaliknya, dia mengambil kira faktor keluarga dan keperluan peribadi sebelum membuat keputusan tersebut.

“Saya letak jawatan kerana keluarga saya memerlukan saya di rumah, dan sejujurnya saya juga begitu,” jelas Bella yang turut mengakui itu merupakan pengalaman pekerjaan pertamanya.

Terdahulu, Bella menjadi sasaran kritikan sesetengah pengguna media sosial selepas videonya mengaku pernah bergelar pramugari tular baru-baru ini. Ada yang meragui kesahihan kerjayanya itu, malah menuntut bukti seperti gambar dirinya berpakaian seragam sebagai pengesahan.

Namun begitu, Bella tampil memberikan penjelasan bahawa dia terikat dengan polisi syarikat penerbangan yang tidak membenarkan sebarang perkongsian kandungan berkaitan tugasan atau imej berpakaian seragam di media sosial.

“Ada yang cakap, ‘post gambar pakai uniform dulu.’ Boleh saja, tapi siapa nak bayar saman saya nanti?”

“Saya dah tandatangan perjanjian. Bukan boleh suka-suka langgar syarat syarikat,” ujarnya tegas.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai pramugari, dia langsung tidak memuat naik sebarang perkembangan atau kandungan berkaitan kerjayanya bagi menghormati garis panduan ditetapkan majikan.

Sekadar info, sebelum ini Kak KM pernah mendedahkan bahawa anaknya menjalani latihan selama empat bulan sebelum memulakan tugas sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan yang berpangkalan di Singapura.

Dalam pada itu, Bella turut meluahkan rasa kesal terhadap individu yang menyebarkan tuduhan palsu terhadap dirinya dan menyatakan bahawa dia tidak akan memaafkan mereka yang telah mempersoalkan integritinya.

“Alhamdulillah, pahala percuma. Saya tidak akan maafkan sesiapa yang fitnah saya sampai bila-bila,” luah Bella penuh kecewa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: IG Nabilamalu

Published by
Fath