
Nama Universiti Oxford sekali lagi menjadi sebutan apabila tiga anak kepada figura terkenal serantau mencuri perhatian warga maya menerusi pencapaian akademik dan penyertaan dalam program pembangunan diri di institusi berprestij dunia itu.
Biarpun masih di usia muda, langkah berani mereka membuktikan bahawa peluang global mampu digapai dengan usaha, sokongan keluarga dan keyakinan diri.
Engku Aleesya kembali menjadi tumpuan apabila remaja itu berlepas ke Oxford, United Kingdom bagi mengikuti kursus jangka pendek hasil pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan IGCSE. Momen penuh makna itu dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus memperlihatkan keharmonian hubungan keluarga yang turut menjadi bualan warga maya.
Detik berkenaan dikongsikan sendiri oleh Engku Emran menerusi hantaran di Instagram, memaparkan pertemuannya bersama pasangan pengantin baharu, Erra Fazira dan Muhammad Ezwan Zain. Ketiga-tiga figura penting dalam kehidupan Aleesya hadir bersama-sama bagi menghantar remaja tersebut memulakan fasa baharu dalam perjalanan akademiknya.
Dalam kapsyen hantaran itu, Engku Emran turut mengalu-alukan kehadiran Ezwan sebagai ahli baharu dalam keluarga. Tanpa kata-kata berlebihan, sekeping foto bergambar bersama sudah cukup menggambarkan penerimaan dan kematangan hubungan demi kebahagiaan anak perempuan mereka.
Selain itu, Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha sekali lagi menjadi perhatian apabila berkongsi berita membanggakan mengenai anak keduanya, Sophea Natasha, 12, yang berlepas ke Universiti Oxford, United Kingdom bagi menyertai program kepimpinan selama seminggu.
Detik Dr Sheikh Muszaphar bangga melepaskan anaknya itu memperlihatkan sokongan penuh seorang bapa terhadap perjalanan pendidikan anak sejak usia muda, sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai ibu bapa dan remaja di Malaysia.
Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau memuat naik rakaman video serta luahan perasaan ketika menghantar Sophea di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lebih menyentuh perasaan, Dr Sheikh Muszaphar baru sahaja tiba dari Sukan SEA Thailand selaku pengurus skuad taekwondo negara sebelum terus bergegas ke Pintu C22 demi memastikan sempat bertemu anaknya sebelum berlepas.
Bukan hanya dari Malaysia, anak kepada penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), iaitu Noah Sinclair, turut mencuri perhatian apabila kini mengikuti program jangka pendek Youth Fuel Global Winter Camp yang berlangsung di Universiti Oxford, United Kingdom.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh BCL menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya ketika menghantar anak lelakinya menyertai program berkenaan.
Youth Fuel Global Winter Camp merupakan sebuah program pembangunan diri dan kepimpinan antarabangsa yang disertai pelajar muda dari pelbagai negara, dengan Universiti Oxford sebagai lokasi penganjuran.
Program ini bagaimanapun bukan pengajian ijazah atau kemasukan rasmi sebagai pelajar Universiti Oxford, sebaliknya bersifat kursus jangka pendek yang memberi pendedahan awal dalam bidang kepimpinan, pemikiran kritikal serta isu global semasa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.