
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman baru-baru ini mengakui bakal suaminya yang juga aktor popular, Fattah Amin merupakan seorang lelaki yang baik. Walaupun begitu, beliau pada masa yang sama berharap sikap bertolak ansur dan toleransi mampu menjadi kunci utama dalam melayari alam rumah tangga mereka kelak.
Menurut Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman (32), meskipun masih belum menjejakkan kaki ke fasa perkahwinan, keyakinannya terhadap perbincangan tanpa emosi menjadi asas penting dalam memastikan keharmonian suami isteri.
“Bagi saya, Fattah memang seorang lelaki yang baik, seorang anak yang baik. Saya belum berada dalam fasa perkahwinan, jadi tak mahu cakap lebih-lebih kerana bimbang orang salah anggap,” katanya.
“Tapi saya yakin, jika dia seorang yang baik, apa saja boleh dibawa berbincang. Maksudnya, tiada marah-marah, tiada perkara yang boleh merosakkan hubungan. Saya perlukan pasangan yang baik, yang boleh bertoleransi,” jelasnya.
“Saya tak tahu bagaimana takdir saya, tetapi saya mengharapkan yang terbaik untuk diri saya dan semua,” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut dikongsikan ketika sidang media pelancaran single duet terbaharunya bersama adik, Irfan Haris berjudul ‘Rasa & Takdir’ yang berlangsung di Imperial Lexis, pada Isnin.
Dalam pada itu, di majlis sama, Amira dan Fattah turut mengumumkan tarikh pernikahan mereka yang dijadualkan berlangsung Ahad ini, sekaligus menamatkan spekulasi hubungan yang hangat diperkatakan sejak hujung tahun lalu.
Mengulas mengenai persiapan menjelang hari bahagianya, Amira berkata dirinya tidak putus berdoa agar segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Selain itu, berharap agar orang ramai turut mendoakan yang terbaik buat dirinya dan pasangan.
Di kesempatan itu, Amira turut menegaskan bahawa pengalaman lalu atau trauma tidak wajar dijadikan penghalang untuknya membuka lembaran baharu bersama Fattah.
“Bagi saya, tak adil kalau kita biarkan trauma menghalang perjalanan hidup. Saya percaya pada takdir. Itu juga sebab wujudnya lagu Rasa & Takdir ini,” katanya lagi.
Tambah Amira, segala yang berlaku adalah perancangan Allah dan setiap pasangan pasti akan berdepan ujian dalam rumah tangga.
Berbicara mengenai single duet bersama Irfan, Amira menjelaskan lagu itu sebenarnya sudah dirancang sejak tahun lalu tetapi tertangguh atas beberapa faktor.
“Kadang-kadang kita dah rancang, tapi tak jadi. Jadi mungkin ini masa terbaik. Dari awal, saya dan Irfan sudah ada lagu untuk duet, tapi perlukan perbincangan dengan label dan pelbagai kandungan perlu disiapkan terlebih dahulu,” jelasnya.
Sementara itu, Amira menutup bicara dengan penuh yakin bahawa pelancaran lagu tersebut pada masa ini adalah yang paling tepat. Baginya, segala aturan adalah ketentuan Tuhan dan dia percaya kemunculan lagu berjudul ‘Rasa & Takdir’ itu hadir pada waktu yang benar-benar sesuai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.