Penyanyi dan pelakon remaja berbakat besar, Alyssa Dezek, sekali lagi membuktikan bahawa kesibukan bukan alasan untuk gagal apabila berjaya meraih 6A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini. Kejayaan Alyssa Dezek ini membuktikan bahawa pelajar aktif seni juga mampu mencapai kecemerlangan akademik.
Kejayaan Alyssa Dezek Dalam Peperiksaan Percubaan SPM
Kejayaan Alyssa Dezek mencuri perhatian ramai apabila remaja yang aktif dalam dunia seni itu tetap mampu menyeimbangkan antara kerjaya dan akademik. Dalam masa yang sama, beliau turut menjadi inspirasi kepada ramai pelajar yang sedang mempersiapkan diri menghadapi SPM tidak lama lagi.
Disiplin dan Pengurusan Masa Jadi Kunci
Menurut Alyssa Dezek, kejayaan ini hadir hasil disiplin dan pengurusan masa yang baik, selain bimbingan daripada kelas dalam talian PTTI, platform pendidikan digital terkenal yang telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Most Straight A SPM Students in a Tuition (2024)”.
“Walaupun sibuk dengan penggambaran dan kerjaya seni, saya tetap cari masa untuk belajar. Saya nak buktikan bahawa kesibukan bukan alasan untuk gagal,” ujar Alyssa Dezek yang kini berusia 17 tahun.
Ads
Menghadapi Kecaman Dengan Tenang
Namun, di sebalik kejayaan itu, Alyssa Dezek turut berdepan kecaman segelintir netizen yang menuduh pencapaiannya berpunca daripada “kabel” dan bukan usaha sendiri. Menjawab dakwaan tersebut, beliau kekal tenang dan matang, menegaskan bahawa kejayaan sebenar datang daripada usaha serta semangat juang yang tinggi.
“Saya bersyukur sebab PTTI banyak membantu secara dalam talian. Dari markah yang tidak memuaskan, kini saya berjaya dapat A,” katanya ketika ditemu bual oleh Pakar SPM PTTI, Sir Race.
Inspirasi Untuk Pelajar SPM Seluruh Negara
Dengan semangat dan tekad yang kuat, Alyssa Dezek kini menyasarkan untuk memperoleh ‘straight A’ dalam peperiksaan SPM sebenar yang akan berlangsung dari 25 November hingga 23 Disember 2025. Peperiksaan lisan dan ujian amali dijadualkan bermula awal November, seperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Kisah Alyssa Dezek ini membuktikan bahawa remaja Malaysia mampu berjaya walau sesibuk mana sekalipun, asalkan tahu mengurus masa dan kekal berdisiplin. Dalam era digital yang penuh cabaran ini, kejayaannya menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian tanpa menjadikan kesibukan sebagai alasan.
Tahniah Alyssa Dezek! Remaja lain boleh jadikan kejayaan ini sebagai bukti bahawa usaha dan fokus adalah kunci utama menuju kecemerlangan, tidak kira di mana kita bermula. Kejayaan seperti ini bukan sahaja membanggakan diri sendiri, tetapi juga membuktikan bahawa kerja keras dan semangat tidak pernah sia-sia.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selama hampir 2 dekad, Menara Berkembar Petronas memegang takhta sebagai bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Namun, dengan pembangunan menara The Exchange 106 di kawasan Tun Razak Exchange (TRX) yang dijadualkan siap pada bulan September ini, ia awal-awal sudah ‘dijamin’ dapat menandingi ketinggian KLCC.
The Exchange 106 kini sudah jelas kelihatan dari mana-mana sudut bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dari lebuh raya SMART nampak, dari MEX nampak, dari Kampung Bharu pun nampak! Itu sudah menandakan betapa tinggi dan besarnya menara ini.
Tiga permandangan The Exchange 106 berlainan. (Dari kiri) dari Stesen MRT TRX, dari Lebuh Raya MEX dan dari puncak menara TM.
Sebelum ia siap untuk dibuka dan ruang dipenuhi, jom tengok 6 perkara paling istimewa mengenai kehebatan teknologi The Exchange 106.
01
Bangunan Tertinggi
Namanya saja sudah menjelaskan berapa banyak anak tingkat yang ada. Ia mempunyai 106 aras iaitu 18 aras lebih tinggi daripada KLCC. Jika KLCC berdiri setinggi 451.9 meter, The Exchange 106 pula mencecah 492.3 meter.
Ketinggian ini sekaligus membuatkannya tersenarai dalam 15 struktur tertinggi dunia setakat ini.
Jika di London, mereka mempunyai daerah khusus untuk kewangan saja yang dinamakan Canary Wharf, di Kuala Lumpur kita ada TRX. Ia dijangka bertukar menjadi ‘bandar kecil’ untuk tujuan perumahan, komersil dan riadah yang boleh mencipta 500,000 peluang pekerjaan.
Antara syarikat yang akan beroperasi di TRX ialah HSBC, Prudential, Lendlease (syarikat hartanah dari Australia) dan beberapa lagi.
03
Lebih 2,000 Parkir Kenderaan
Korang tak perlu gusar untuk cari parking dekat The Exchange 106. Ada kira-kira 2,116 buah lot parkir kenderaan yang dilaporkan untuk kegunaan penghuni bangunan ini.
04
Salah Satu Binaan Konkrit Terbesar Dunia
Cuba bayangkan, 20,000 meter kubik bahan binaan konkrit telah dicurahkan ke dalam tapak binaan The Exchange 106, bersamaan dengan 8 kolam renang Olympik!
Proses tersebut memakan masa hanya 48 jam, berbanding 53 jam yang diperlukan untuk mencurah konkrit untuk setiap menara KLCC.
Sebanyak 120 lori simen terbabit menggunakan 8.5 juta kilogram simen.
05
Pantas Dibina!
The Exchange 106 dibina oleh lebih 2,000 buruh daripada pelbagai latar belakang yang bekerja secara syif untuk tempoh 22 jam sehari. Setiap 2 ke 3 hari, mereka dapat menyiapkan 1 aras lantai. Semakin tinggi bangunan tersebut semakin cepat prosesnya, sehingga secepat 2 hari / 1 aras lantai.
06
‘Crown’ 48 Meter
Buat masa ini, binaan dan hiasa dalamannya turut dilakukan dengan pantas. Semuanya serba mewah bersesuaian dengan status The Exchange 106. Dari segi struktur luarnya pula, semua mata masih memandang ke arah ‘crown’ setinggi 48 meter di bahagian atas menara yang masih sedang dibina.
Diharap rakyat Malaysia boleh memaksimumkan penggunaan The Exchange 106 ini. Jangan jadi bangunan tinggi tanpa penghuni sudah ya.
Susulan konflik yang kian meruncing di Asia Barat, proses membawa pulang rakyat Malaysia dari beberapa negara menemui sedikit kesukaran.
Ini berikutan penutupan ruang udara di beberapa buah negara, bahkan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga dilaporkan menghentikan operasi buat sementara waktu di lokasi terjejas bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang.
Kementerian Luar melaporkan 641 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa buah negara di rantau tersebut setakat 8 Mac manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac.
Finalis Dewi Remaja Antara Yang Tersekat Perjalanan Pulang
Ada di antara mereka yang berada di luar negara atas urusan ibadah Umrah di tanah suci. Ada juga yang tersekat perjalanan pulangnya ke tanah air setelah selesai tempoh bekerja atau bercuti di luar negara.
Salah seorang daripada mangsa keadaan konflik di Asia Barat ini ialah pelakon dan penyanyi, Tengku Shatirah Amanda binti Tengku Ahmad Badrulddin.
Pelakon dan penyanyi, Shatirah Amanda.
Shatirah Amanda, 25 yang berada di Paris selama lebih dari seminggu bagi penggambaran sebuah projek filem ketika dihubungi REMAJA berkata, keberadaannya di sana mengikut perancangan asal hanyalah untuk tempoh pendek sahaja.
Namun, pengalaman berlakon dalam projek antarabangsa itu bertukar cemas apabila dia masih tidak dapat berbuat apa-apa untuk pulang ke Asia sejurus tamat kerja di sana.
“Penggambaran bermula di Jakarta dan kemudiannya di Perancis. Saya sepatutnya berada di sini (Paris) untuk beberapa hari sahaja bagi menyiapkan beberapa babak terakhir. Tiada perancangan pun untuk melanjutkan penginapan.
“Namun konflik yang berlaku menjadikan pengalaman ini antara pengalaman paling menggoncang emosi saya sepanjang saya hidup,” ujar pemenang tempat kelima pencarian Dewi Remaja 2019 itu.
“Sejurus selesai penggambaran, muncul berita mengenai konflik berterusan AS-Iran diikuti dengan berita gangguan jadual penerbangan. Naluri pertama saya adalah untuk panik!
“Saya terus terfikir, ‘Aku kena pulang secepat mungkin’. Namun saya hanya boleh merancang, Allah yang menentukan. Semua perkembangan terbaru terjadi dengan terlalu pantas. Satu-persatu penerbangan antarabangsa dibatalkan, beribu-ribu penumpang yang cuba mengubah rancangan perjalanan mereka terkandas.”
“Bersendirian di negara asing, kesihatan terganggu dan tidak tahu bila saya boleh pulang.
“Ia mewujudkan satu ketakutan yang belum pernah saya alami sebelum ini. Saya jadi trauma.”
“Apabila semua ini terjadi, saya yang bersendirian dan jauh dari tanah air menjadi takut. Sesungguhnya saya amat takut,” kongsi Amanda.
Setelah melalui episod duka ini, Amanda semalam selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari Perancis lalu disambut oleh ahli keluarganya. Namun, apa yang berlaku selama lebih dari seminggu ini jelas memberi kesan kepada selebriti itu.
Beberapa hari terawal selepas konflik berlaku menjadi antara detik paling sukar buat Amanda.
Apabila perasaan tertekan, takut dan kecewa bergabung pada waktu yang sama, dia yang menghabiskan masa di dalam bilik hotel sambil cuba mencari penerbangan pulang mengakui berdepan situasi kegoyahan emosi.
Kadangkala tangisan mengalir di pipi, kadangkala badan merasa lemah setelah tenaga fizikal dan mental banyak digunakan. Hanya doa dan kudrat yang menyakinkan Amanda untuk terus cuba kembali ke pangkuan keluarga yang berada beribu-ribu kilometer daripadanya.
Shatirah Amanda di set filem Rose Pandan Wangi ketika penggambaran di Jakarta, Indonesia.
“Produksi cuba untuk melakukan yang terbaik untuk kami sepasukan yang berada di Paris. Cuma apabila konflik antarabangsa tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut, semua orang panik membeli tiket penerbangan mengikut destinasi masing-masing.
“Saya fikir jika saya terus menunggu, keadaan mungkin menjadi lebih buruk. Lagipun, kos sara hidup di Paris boleh dikatakan tinggi dan banyak wang Ringgit telah dibelanjakan.
“Jadi seperti ahli produksi yang lain, saya cuba mengatur sendiri perjalanan pulang. Tiket memang mahal tapi terpaksa juga. Berulang kali saya menyemak laman web syarikat penerbangan.
“Tiket saya sahaja dibatalkan sebanyak tiga ke empat kali dan setiap kali ia berlaku, kemungkinan untuk saya dapatkan tiket baharu amatlah sukar. Boleh memakan masa beberapa hari sehingga seminggu.
“Keluarga saya di Malaysia turut khuatir dengan keadaan saya dan mereka terus menghubungi Wisma Putra bagi mendapatkan bantuan,” ujar Amanda.
Hasilnya, pihak Wisma Putra pantas meneliti kes Amanda dalam masa beberapa jam dan Amanda segera dihubungi oleh kedutaan Malaysia di Paris.
“Saya tak dapat gambarkan betapa leganya perasaan saya selepas beberapa hari bergelut keseorangan. Walaupun saya jauh di Paris, saya dapat rasakan negara saya dan keluarga saya ada bersebelahan dengan saya di waktu-waktu sukar seperti ini,” katanya.
Di saat kita tiada punca kebergantungan melainkan Yang Maha Esa dan keluarga, tentunya hati meronta-ronta untuk meminta bantuan dan ingin melihat hasilnya.
Biarpun emosi Amanda sedikit terganggu, sedikit sebanyak bantuan dari ahli keluarganya dan kedutaan Malaysia di Paris membuatkannya gigih mencari solusi.
“Saya tidak berhenti menelefon (VC) ibu saya terutamanya, bahkan sewaktu ingin tidur pun kami masih berhubung.
“Fokus saya sekarang hanyalah untuk pulang ke Malaysia dengan selamat. Untuk rapatkan diri dengan keluarga semula dan kembalikan tenaga saya yang telah hilang akibat insiden ini.
“Tak sabar rasanya untuk berehat dan recover sebelum meneruskan kerja-kerja yang tertangguh. Sesungguhnya, pengalaman ini telah mengajar saya betapa bernilainya hubungan kekeluargaan dan tanah air kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amanda tahu bukan hanya dirinya yang melalui perasaan ‘terperangkap’ di negara asing tanpa mengetahui perancangan untuk pulang.
Mohonnya agar mangsa-mangsa keadaan konflik Asia Barat ini kekal kuat dan jangan mudah berputus asa. Situasi sebegini akan terasa membebankan apabila seseorang jauh daripada orang yang mereka sayangi. Namun ketahuilah setiap permasalahan mempunyai solusinya.
“Keluarga anda sedang menunggu anda, kucing anda menunggu untuk dibelai oleh anda. Jangan putus asa. Kekal berhubungan dengan keluarga dan terus hubungi kedutaan negara sekiranya anda perlukan bantuan.
“Saya berharap kita semua yang terkandas akan menemui jalan pulang dengan selamat. Doakan yang terbaik,” simpul pelakon dan penyanyi itu.
Terdahulu, ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak 28 Febuari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel ke atas Iran. Ia diikuti serangan balas Tehran terhadap beberapa buah negara teluk berkepentingan AS termasuklah di Abu Dhabi, Qatar, Iraq, Lubnan dan Kuwait.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan operasi membawa pulang rakyat Malaysia digerakkan segera dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terjejas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bakat anak muda yang bernama Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank sering kali mendapat perhatian netizen kerana menghasilkan video-video kreatif yang dikongsi di laman instagramya. Sofian juga pernah menarik perhatian pelakon antarabangsa, Will Smith apabila video yang disunting olehnya dimuat naik semula oleh pelakon tersebut.
Instagram: Sofyank96
Baru-baru ini, Sofian telah pun menerima penghargaan apabila berjaya memenangi salah satu anugerah daripada Magic Of The Month, iaitu sebuah anugerah yang diberikan oleh digital creator terkenal, Zach King.
“Untuk mereka yang tidak tahu apa itu anugerah Magic Of The Month, sebenarnya setiap bulan Zachking akan menganjurkan Magic Of The Month ini, di mana followersnya boleh menghantar video dan pada hujung tahun, beliau akan memilih antara video terbaik untuk menerima anugerah Magic Of The Month ini,”
Instagram: sofyank96
“Saya memang mengagumi kehebatan Zachking dan pengalaman bertemu dengannya merupakan pengalaman paling manis buat saya. Dari dulu lagi, impian saya adalah untuk mendapat perhatian daripada Zachking dan Alhamdulillah, akhirnya beliau menyedari kehadiran saya dan kami juga sempat bertemu sebelum ini,” jelasnya.
Ketika dihubungi oleh wartawan Remaja, anak muda berusia 25 tahun ini menjelaskan bahawa minatnya terhadap kemahiran suntingan video bermula sejak usia 14 tahun lagi.
“Idea dalam menghasilkan setiap video-video saya adalah antara kerjasama saya dan juga dua lagi team kami. Biasanya, bagi satu video, ia bergantung kepada effects yang digunakan, jadi ada yang dapat siapkan dalam masa sehari sahaja, ada yang disiapkan dalam masa seminggu, malah sebulan pun ada,”
“Buat masa sekarang memang ramai yang berminat untuk belajar edit video dengan saya, termasuklah orang dari luar negara. Cuma, saya kekurangan masa untuk mengadakan kelas, jadi saya cuba untuk buat tutorial di YouTube sahaja,” jawab Sofian.
Walaupun sudah bergelar sebagai Zachking Malaysia, namun Sofian tetap ingin meneruskan pembelajarannya terhadap kemahiran suntingan video yang lebih baik.
Instagram: sofyank96
“Perancangan saya buat masa ini adalah untuk mempelajari skill yang lebih advance seperti membuat CGI yang dilakukan oleh filem luar negara. Saya juga ingin menubuhkan production VFX supaya kami boleh memberikan perkhidmatan sekiranya pihak luar memerlukan servis editing visual effects,” tambahnya.
Tahniah Remaja ucapkan kepada Sofyank yang juga turut terpilih sebagai #Remaja25Under25 baru-baru ini. Semoga anak muda ini terus sukses dan lebih bersinar dalam menghasilkan karya-karya yang hebat.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!