Berita

Aliff Syukri Imbau Kisah Jaja Di Kaki Lima, Titip Nasihat Buat Anak-Anak

Share

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila berkongsi pesanan penuh makna buat anak-anaknya mengenai realiti kehidupan dan pentingnya menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan ibu bapa.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman mengimbau kembali perjalanan hidupnya sebelum berjaya membina empayar perniagaan yang dimiliki hari ini.

Menurutnya, anak-anak perlu sentiasa mengingati asal-usul keluarga dan memahami bahawa segala kesenangan yang dinikmati kini bukanlah diperoleh dengan mudah.

“Ingat dan fahamlah asal usul awak semua daripada Aliff Syukri yang berniaga, menjaja di kaki lima, ketuk-ketuk pintu rumah orang..itulah bermulanya.

“Orang yang hebat itu tidak gentar, kalau dia susah dia masih ada kemahiran, rajin, ada usaha,” katanya.

Dedah Realiti Kehidupan Di Luar Yang Penuh Cabaran

Dalam masa sama, Aliff turut berkongsi pandangannya mengenai kehidupan di luar yang disifatkan penuh cabaran, terutama bagi mereka yang tidak pernah merasai kesusahan.

“Bila kita duduk di rumah yang mewah, tak pernah bekerja, bangun tidur lambat, dah terbiasa tak pernah rasa susah. Kalau keluar sahaja dari rumah ini, hidup akan merana sebab dekat luar sana terlalu keras.

“Orang nak dapatkan duit RM70 satu hari bersengkang mata packing, sapu sampah dan hantar barang.

“Ada yang sampai cacat, jatuh motosikal, tak jumpa anak sebab kerja siang malam,” katanya.

Ingatkan Anak-Anak Tentang Pengorbanan Ibu Bapa

Selain itu, Aliff turut mengingatkan anak-anaknya tentang pengorbanan yang dilakukan olehnya bersama isteri demi memberikan kehidupan yang selesa buat keluarga.

“Macam mana abah ini kena kuat bekerja nak menjulang nama kau. Bangun tidur ada aircond, rasa tak aircond yang mengalir itu penat jerih abah dan juga mama,” katanya.

Tidak Mahu Anak Terlalu Bergantung Kepada Kemewahan

Malah, menerusi ruangan kapsyen hantaran tersebut, Aliff berharap anak-anaknya tidak terlalu bergantung kepada kemewahan kerana percaya setiap individu perlu melalui kesukaran sebelum menikmati kejayaan.

“Anak-anak, abah tak nak biasakan awak semua dengan kemewahan. Sebab abah tahu, dunia di luar sana sangat jahat dan tak selalu memihak kepada kita.

“Akan ada saatnya awak semua penat berjuang sendirian, usaha tidak dihargai dan air mata terpaksa disembunyikan di sebalik senyuman.

“Setiap kesusahan yang datang bukan untuk menghancurkan, tetapi untuk membentuk kamu menjadi insan yang lebih kuat, lebih sabar dan lebih matang,” katanya.

Pesan Anak-Anak Supaya Jangan Mudah Berputus Asa

Pada masa sama, usahawan berusia 39 tahun itu turut berharap agar anak-anaknya sentiasa bersikap optimis serta tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup.

“Jika suatu hari nanti abah dan mama sudah tiada, abah harap anak-anak abah pegang satu pesan ini sampai bila-bila, jangan mudah menyerah.

“Orang yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah jatuh, tetapi mereka yang tetap bangun walaupun berkali-kali terjatuh,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya bersetuju dengan nasihat diberikan Aliff, selain menyifatkan pesanan itu sebagai peringatan berguna buat generasi muda agar sentiasa menghargai usaha dan pengorbanan ibu bapa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath